Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

iPhone 5G pertama dijangka diperkenal secara maya pada 15 Sep

Apple pada Selasa (8 Sep) mengirimkan undangan ke sebuah acara online pada 15 September ini di mana ia bakal mendedahkan iPhone pertama yang dikhususkan untuk rangkaian telekomunikasi 5G paling pantas. 

Anggaran Waktu Membaca:
iPhone 5G pertama dijangka diperkenal secara maya pada 15 Sep

Logo Apple. (Gambar fail: AFP)

Diterbitkan : 09 Sep 2020 03:08PM Dikemas Kini : 09 Sep 2020 03:10PM

SAN FRANCISCO: Apple pada Selasa (8 Sep) mengirimkan undangan ke sebuah acara online pada 15 September ini di mana ia bakal mendedahkan iPhone pertama yang dikhususkan untuk rangkaian telekomunikasi 5G paling pantas.

Gergasi teknologi itu setakat mendedahkan bahawa penstriman acara itu akan bermula pada pukul 5.00 petang GMT (1.00 pagi waktu Singapura pada 16 Sep) daripada ibu pejabatnya di Silicon Valley.

Salinan emel mengenai undangan itu tersebar dengan pantas di media sosial, memaparkan logo Apple berwarna biru dalam versi video singkat yang kemudian mendedahkan tarikh acara berkenaan.

Undangan itu juga dimuat naik ke laman web Apple di mana acara itu akan distrimkan.

Apple sudah secara rutin menganjurkan acara pada waktu sebegini untuk memperkenalkan iPhone baru dan jangkaannya kali ini adalah tumpuan akan diberikan kepada model 5G dengan telefon-telefon bijak baru yang lain turut didedahkan.

Penganalisis Wedbush, Daniel Ives, dalam notanya kepada para pelabur berkata bahawa pemeriksaan ke atas rantaian bekalan Apple di Asia menguatkan keyakinannya terhadap "kitaran hebat" iPhone 12 yang dijangka akan dimulakan dengan pelancaran beberapa model baru pada bulan Oktober.

Encik Ives melihat pasaran China sebagai ramuan utama dalam resipi Apple untuk meraih kejayaan, menjangkakan ia membentuk sekitar 20 peratus daripada penambahbaikan iPhone pada tahun depan.

Rangkaian 5G disebut-sebut sebagai menjanjikan satu loncatan yang pesat dari segi jumlah dan kelajuan data tanpa wayar lantas membolehkan kemajuan dalam kenderaan pandu sendiri, realiti maya, ketersambungan kesihatan serta banyak lagi dengan sensor dan server berkomunikasi dengan serta-merta.

Penganalisis teknologi, Rob Enderle dari Enderle Group, memberi amaran bahawa Apple mungkin tidak mempunyai teknologi cip untuk iPhone 5G walaupun menginginkannya dalam pasaran.

Apple tahun lalu memeterai perjanjian bernilai AS$1 bilion (S$1.37 bilion) untuk memperolehi sebahagian besar perniagaan modem telefon bijak Intel - langkah yang memberi pembuat iPhone lebih banyak kawalan terhadap rantaian bekalannya.

Perjanjian itu dimeterai setelah Intel mengumumkan ia akan menggugurkan usaha untuk bersaing dengan cip modem bagi telefon bijak yang disegerakkan dengan rangkaian 5G.

Apple sudah melabur dalam cip mudah alihnya sendiri untuk meningkatkan prestasi dan ciri-ciri dalam perantinya selain mengurangkan kebergantungannya kepada pemimpin sektor Qualcomm.

Para pesaing telefon bijak biasanya melancarkan model yang dikemas kini sebelum musim perayaan hujung tahun namun ia mungkin dihambat kali ini ekoran gangguan ekonomi yang disebabkan oleh pandemik COVID-19.  

Sumber : AFP/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan