Inilah yang berlaku jika anda buang kanta lekap di dalam jamban
Lebih 45 juta orang di Amerika Syarikat menggunakan kanta lekap dan sebahagian besar daripada mereka menggunakan kanta lekap jenis pakai buang.

Gambar hiasan. (Gambar: Brian Snyder/Reuters)
AMERIKA SYARIKAT: Lebih 45 juta orang di Amerika Syarikat menggunakan kanta lekap dan sebahagian besar daripada mereka menggunakan kanta lekap jenis pakai buang.
Namun jika kanta lekap yang diperbuat daripada plastik itu tidak dibuang dengan cara yang betul, ia boleh meninggalkan kesan buruk.
Hasil kajian yang dibentangkan semasa mesyuarat Persatuan Kimia Amerika yang diadakan di Boston baru-baru ini menunjukkan bahawa 20 peratus daripada lebih 400 pengguna kanta lekap yang ditinjau secara rambang membuang kanta lekap mereka di dalam mangkuk tandas atau sinki, dan bukan di dalam tong sampah.
Laporan New York Times menukil para penyelidik sebagai mengatakan bahawa kanta lekap tidak mudah lupus di dalam pusat rawatan air kumbahan dan ini mungkin menyebabkannya terurai dan timbul di permukaan air. Ini sekaligus menyebabkan kerosakan sekitaran dan mungkin menyumbang kepada masalah pencemaran mikroplastik yang kian meningkat. Malah, kajian yang dijalankan pada 2015 mendapati bahawa terdapat sekitar 93,000 hingga 236,000 tan metrik mikroplastik di laut.
Penapis berupaya menghambat sisa bukan biologi daripada memasuki loji-loji rawatan air kumbahan, kata Dr Rolf Halden, pengarah Pusat Kejuruteraan Kesihatan Alam Sekitar di Universiti Arizona State, dan Charles Rolsky, seorang siswazah dan ketua kajian itu.
Bagaimanapun menurut mereka, kanta lekap adalah nipis dan mudah lentur sehinggalah ia boleh terlipat dan menembusi penapis tersebut. Menurut laporan New York Times, para penyelidik juga menemu bual para kakitangan yang bekerja di pusat-pusat seumpama itu, yang mengesahkan bahawa mereka pernah ternampak kanta lekap dalam sisa air.
Sisa-sisa kecil plastik daripada pelbagai sumber pernah dikesan di dalam laut dan kawasan-kawasan perairan yang lain, di mana mereka mungkin dimakan oleh ikan-ikan, batu karang dan haiwan-haiwan lain. Sisa-sisa plastik itu mungkin mengandungi jumlah tinggi bahan-bahan cemar daripada sekitarannya dan dengan itu, organisma juga mungkin terjejas dengan bahan-bahan tersebut, lapor New York Times.
Bungkusan kanta lekap sedia ada tidak memaklumkan para pengguna cara-cara untuk membuangnya, kata Dr Halden yang menyarankan syarikat-syarikat supaya membubuhkan label yang memaklumkan para pengguna supaya membuang kanta lekap di dalam tong sampah.
Dr Halden menarik perhatian bahawa sesetengah pengilang sudahpun mula melaksanakan program mengitar semula bagi mendapatkan semula plastik daripada kanta lekap. Meskipun kanta lekap bukanlah sumber utama pencemaran mikroplastik di laut, ini adalah sesuatu yang dapat dijauhi.
Encik Rolsky berkata, hasil kajian itu juga mendorong beliau untuk terus menggunakan cermin mata. "Ini memberikan saya satu lagi sebab," kata beliau sambil ketawa, "untuk terus memakainya untuk selama-lamanya."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.