Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Ini lagi 15 aktiviti keluarga sempena cuti sekolah hujung tahun

Memandangkan cuti sekolah hujung tahun ini lebih sebulan lamanya, mungkin ada lagi hari-hari yang belum diketahui apa yang boleh dilakukan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Anda mungkin sudah merancang kegiatan-kegiatan untuk dilakukan semasa cuti sekolah ini.

Namun memandangkan cuti sekolah hujung tahun ini lebih sebulan lamanya, mungkin ada lagi hari-hari yang belum diketahui apa yang boleh dilakukan.

Pada Rabu (24 Nov), kami senaraikan 11 kegiatan yang boleh dilakukan bersama anak-anak, hari ini (25 Nov), kami senaraikan lagi 16 aktiviti untuk anda!

Selain 'staycation', terdapat banyak tempat yang boleh diterokai di sekitar kota Singa ini.

Malah, bukan saja beriadah di Iuar, anda juga boleh menyertai pelbagai aktiviti menarik secara maya, dalam sekitaran selesa di rumah.

1. SG HOTEL ON WHEELS

Nikmati 'staycation' unik di dalam kontena!

SG Hotel on Wheels adalah tempat penginapan yang pertama seumpamanya dan terbaru di Singapura. Kontena-kontenanya yang berwarna-warni pasti membuat anda tertawan.

Buat masa ini hotel kontena bergerak itu berada di tempat letak kereta terbuka di Downtown East di Pasir Ris.

Terdapat pilihan dua saiz kontena – 20 kaki untuk dua orang tetamu dan 40 kaki untuk empat orang tetamu.

Setiap kontena direka dengan konsep dan reka hias dalaman yang berbeza, berhawa dingin, dilengkapi dengan TV dan ada Google Home.

Untuk tempahan dan maklumat lanjut layari https://sghotelonwheels.com/room-information/

2. THE GREAT MISCHIEF

Apa kata anda 'gantung periuk' seketika dan keluar makan bersama keluarga di kafe baru yang terletak di Galeri Nasional Singapura.

The Great Mischief adalah sebuah kafe bar dibuka yang menyediakan makanan halal.

Ia menawarkan pelbagai sajian seperti aneka sandwic, crepe, tortilla kentang dan telur, aneka minuman sejuk, panas dan banyak lagi.

Semasa di sana, anda juga boleh meninjau-ninjau pameran-pameran menarik di Biennale Kanak-kanak.

Di mana: The Great Mischief, #01-17 National Gallery Singapore, 1 St Andrew’s Road S178957

3. MUD KRANK

Bagi yang gemarkan kegiatan lasak, ini untuk anda! Siap sedia untuk pakaian anak-anak comot dan kotor.

Itulah antara daya terikan di satu-satunya taman ATV di Singapura.

Terletak di kawasan Kranji, kanak-kanak boleh memandu All-Terrrain Vehicle (ATV) di kawasan litar berlumpuh. Pasti seronok!

Di mana: 10 Neo Tiew Lane 2, Gallop Kranji Farm Resort, Farm H. S718813. Untuk tempahan dan keterangan lanjut layari https://mudkrank.com/

4. TANGKAP IKAN

Pasti anda akan berasa teruja apabila dapat tangkap ikan besar!

Ada beberapa tempat yang boleh dikunjungi untuk kegiatan memancing.

Antaranya D’Best Recreation yang merupakan tempat memancing air masin yang terbesar di Singapura. Bawa bekalan makan atau snek dan minuman sambil menanti dapat ikan besar!

Di mana: 90 Pasir Ris Central (Pasir Ris Town Park) S519635. Tel: 6580 9030. Untuk keterangan lanjut layari https://dbestfishing.com.sg

5. BERBASIKAL TEROKA S'PURA

Sejak pandemik bermula dan sempadan pula ditutup demi keselamatan, semakin ramai orang memilih untuk 'melabur' wang membeli basikal.

Dapatlah mereka meneroka kawasan-kawasan yang belum pernah dikunjungi dan jatuh cinta lagi dengan Singapura.

Ini lebih-lebih lagi dengan adanya laluan-laluan penghubung taman atau 'park connectors' di merata negara. Anda juga boleh santai berbasikal di tepi pantai atau taman-taman berhampiran tempat tinggal anda.

Selain membeli atau menyewa basikal, kegiatan ini antara yang paling boleh dimampui, mudah dan cara seronok untuk mempererat hubungan keluarga.

Jangan lupa bawa air yang mencukupi untuk basahkan tekak yang dahaga dan topi.

6. TAMAN PERMAINAN

Tidak kira di mana sahaja, taman permainan merupakan tempat kegemaran kanak-kanak.

Bermain sorot-sorot , berlari-lari selain memanjat di taman permainan pastinya akan membuat si cilik berasa seronok.

Cuti sekolah ini, apa kata anda bawa anak-anak bermain di taman-taman permainan di estet-estet perumahan lain. Yang pasti, setiap taman permainan membawa ciri-ciri dan reka bentuk tersendiri.

7. JELAJAH PULAU

Ayuh! Teroka pulau-pulau kecil di Singapura.

Generasi muda sekarang ini, ramai yang tidak pernah tinggal dalam suasana kampungan. Jadi, inilah masanya untuk membawa mereka ke Pulau Ubin dengan menaiki feri dan lakukan pelbagai aktiviti di sana.

Selain ke Ubin, anda juga boleh jelajah Pulau Coney dengan berjalan kaki melalui Punggol Promenade Nature Walk atau naik bot ke pulau-pulau yang lain.

Sebelum itu pastikan untuk memakai pakaian dan kasut sukan yang selesa.

8. JELAJAH AMERIKA SELATAN BERSAMA andBeyond!

Laluan VTL atau skim laluan perjalanan penumpang sudah divaksin sudah dilanjutkan kepada lebih banyak negara.

Namun, jika anda sekeluarga belum bersedia untuk bercuti ke luar negara usah gusar!

Nikmati percutian dalam sekitaran selesa di rumah anda sendiri bersama andBeyond!

Syarikat pelancongan ini sudah menghasilkan pelbagai aktiviti menarik dengan menampilkan pelbagai benua untuk ‘dikunjungi’ bersama keluarga.

Layari https://www.andbeyond.com/bringing-south-america-home/ untuk lebih banyak maklumat.

9. INTERAKSI 'SECARA LANGSUNG' BERSAMA HAIWAN

Anda tidak perlu ke taman haiwan untuk melihat haiwan secara dekat. Kini, anda boleh melakukannya secara maya dan secara langsung!

Anda juga dapat mengenali penjaga haiwan yang mesra dan ramah dan mereka dapat menjawab apa saja soalan tentang haiwan.

Untuk keterangan lanjut dan tempahan, layari https://www.wrs.com.sg/en/hello-from-the-wild-side.html

10. MY LITTLE CLIMBING GYM

Gim ini sesuai untuk mereka yang berusia dari dua hingga 12 tahun.

Ia direka dengan tembok yang berwarna warni dan rekaan yang menarik. Bagi yang sudah mahir, bolehlah cuba untuk memanjat tembok setinggi empat meter.

Terdapat pelbagai kelas dan tawaran menarik. Layari https://mylittleclimbingroom.com
DI mana: The Promenade @ Pelikat, 183 Jln Pelikat #B1-101 S537643

11. BOLING 

Aktiviti yang digemari ramai dan sesuai untuk seisi keluarga.

Isikan hujung minggu dengan bermain boling bersama anak-anak. Tidak kira di mana anda tinggal, pastinya terdapat pusat permainan boling yang berhampiran.

Agar tidak kecewa, jangan lupa untuk membuat tempahan awal, lebih-lebih lagi pada musim cuti sekolah.

12. MUZIUM AIS KRIM

Ini masanya untuk berseronok dengan dikelilingi ais krim. Jangan takut, ais krim ini tidak akan cair.

Terletak di Dempsey Hill, muzium ini ‘manis’ dengan cat merah jambu yang sejuk mata memandang.

Muzium seluas 60,000 kaki persegi itu akan membuat pengunjung terpesona. Kalau anda suka 'selfie', inilah tempatnya!

Anda juga boleh menikmati ais krim 'free flow' sepanjang berada di muzium itu. Sebelum pulang jangan lupa beli cenderahati hati.

Di mana: 100 Loewen Road, S248837. Dibuka Khamis – Ahad, 10 pagi – 11 malam. Layari
https://www.museumoficecream.com/singapore untuk tiket dan maklumat lanjut.

13. TAMAN DI PESISIRAN

Bersantai sehari suntuk menikmati keindahan di taman ini. Jalan-jalan di ruang berhawa dingin dan singgah ke kawasan Supertree Observatory yang bermandikan cahaya lampu warna-warni melalui acara lampu dan bunyi di Garden Rhapsody.

Bila di sana, jangan lupa untuk melihat pameran keretapi Orient Express, Festival Kanak-kanak dan banyak lagi.

Di mana: 18 Marina Gardens Dr S018953. Untuk maklumat lanjut dan tempahan tiket, layari https://www.gardensbythebay.com.sg

14. BAUCAR TEROKA SEMULA S'PURA

Belum sempat gunakan baucar ini? Usah tangguh lagi.

Cuti sekolah adalah masa yang tepat untuk teroka tempat-tempat menarik dengan menggunakan baucar ini.

Anda tak pasti ke mana nak pergi? Banyak tempat yang boleh dikunjungi, contohnya, Singapore Flyer, Sentosa, Wild Wild Wet, Singapore Musical Box Museum dan banyak lagi.

Jangan lupa untuk buat tempahan menggunakan baucar ini sebelum tarikh luput pada 31 Disember 2021.

15. SENAMAN MESRA KELUARGA DI RUMAH

Mungkin anda perlu bekerja dari rumah atau WFH.

Bagaimana nak hiburkan anak-anak yang ada di rumah sepanjang hari?

Dari si kecil hingga remaja, terdapat pelbagai aktiviti yang boleh mereka lakuan seperti yoga.

Sebelum itu pastikan anda mempunyai jaringan internet!
Layari https://www.youtube.com/user/CosmicKidsYoga untuk si cilik bagi ibu bapa yang mempunyai anak remaja, klik https://www.nike.com/sg/ntc-app 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan