Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Ini caranya anda boleh elak selesema, batuk berjangkit satu rumah

Memang sukar untuk melindungi diri anda apabila anda tinggal sebumbung dengan orang yang sedang sakit.

Anggaran Waktu Membaca:
Ini caranya anda boleh elak selesema, batuk berjangkit satu rumah

(Gambar: Ulf Lundin/Rex Features)

Diterbitkan : 29 Jan 2018 10:18PM Dikemas Kini : 31 Jan 2018 11:50PM

NEW YORK: Memang sukar untuk melindungi diri anda apabila anda tinggal sebumbung dengan orang yang sedang sakit.

Kerap membasuh tangan sememangnya salah satu cara untuk mencegah penyakit, baik di dalam mahupun di luar rumah, kata seorang doktor di ProHealth Care Associates di Huntington, New York.

"Elak daripada berada dekat (dengan orang yang sakit) mungkin boleh membantu, " kata beliau seperti yang dipetik New York Times.

Tidur sekatil pula boleh meningkatkan kemungkinan anda dijangkiti penyakit pasangan namun ini sukar dielak, tambah Dr Thompson.

"Anda (juga) tidak boleh keluar meninggalkan rumah (begitu saja)."

Selain itu, kerap membersihkan kaunter dan tempat-tempat yang sering disentuh, seperti pemegang pada pintu peti sejuk, juga mungkin dapat mengurangkan kuman.

Cawan yang dikongsi, di mana pasangan suami isteri meletakkan berus gigi, juga boleh menjadi sumber jangkitan, tambah Dr Susan Rehm, naib pengerusi Jabatan Penyakit Berjangkit di Cleveland Clinic.

"Pastikan tisu dan barangan lain yang mengandungi cecair (tubuh atau hingus) segera dibuang dan tidak disentuh orang lain," saran beliau.

Jika pasangan anda mengalami selesema, perlindungan terbaik (bagi anda) adalah menerusi suntikan vaksin, kata Dr Rehm, lapor New York Times.

Sesetengah doktor akan memberikan anggota keluarga ubat antivirus sebagai perlindungan tambahan.

Dr Rehm berkata apabila beliau bimbang terdedah kepada penyakit, beliau memberi tumpuan kepada perkara-perkara asas yang boleh dikawal seperti makan dengan betul, bersenam dan mendapatkan tidur yang mencukupi.

"Itu akan dapat membantu saya bertahan daripada terdedah (kepada jangkitan) atau sekurang-kurangnya memberi saya kekuatan untuk melaluinya."

Dr Pritish Tosh, seorang pengkaji penyakit berjangkit di Mayo Clinic pula berkata, penting untuk mengingati etika pernafasan apabila anda sakit.

Ini termasuk batuk dan bersin ke ceruk siku anda berbanding tapak tangan, lapor New York Times.

Menurut Dr Tosh, beliau sendiri pilih untuk menjauhkan diri daripada anggota keluarga yang lain apabila sakit.

Anggota keluarga sering terdedah kepada kuman dalam tempoh yang sama, maka jangkitan yang berlaku ibarat 'lepas satu, satu' itu merupakan perkara biasa, kata beliau.

Yang pasti, jika penyakit anda bermula beberapa hari selepas pasangan anda, anda tahulah siapa yang patut 'dipersalahkan'. 

Sumber : Agensi berita/NK/nk

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa