Skip to main content

Gaya Hidup

Ini cara turunkan suhu dalam rumah tanpa bergantung kepada alat hawa dingin

Anggaran Waktu Membaca:
Ini cara turunkan suhu dalam rumah tanpa bergantung kepada alat hawa dingin

Gambar: Unsplash

Diterbitkan : 22 Jul 2022 06:36PM

SINGAPURA: Sejak kebelakangan ini, cuaca panas terik di Singapura ini menimbulkan rasa bercinta betul hendak ke mana-mana. Panas, berpeluh-peluh dan melekit!

Malah, duduk di rumah juga boleh terasa bahangnya. Bagi sebahagian orang, keadaan ini boleh menimbulkan masalah kulit dan kesihatan seperti ruam, kulit kering dan rasa letih.

Walaupun ada kediaman yang dilengkapi alat hawa dingin dan sedikit sebanyak membantu mengharungi cuaca panas, kadangkala serba salah dibuatnya apabila melihat bil elektrik yang mungkin melambung gara-gara ia dihidupkan 24 jam.

Penggunaan alat hawa dingin secara kerap juga salah satu daripada punca pemanasan global, yang merupakan isu alam sekitar utama pada masa kini.

Jadi, bagaimana caranya untuk mengatasi musim panas ini?

a
Gambar: Unsplash

Terdapat pelbagai alternatif yang boleh dicuba dan diamalkan di rumah. Ia didapati berkesan dan secara tidak langsung dapat membuat kediaman anda lebih dingin. Dengan demikian anda tidak perlu terlalu bergantung kepada alat hawa dingin. Apa yang lebih menarik, cara-cara ini juga mesra dompet.

RUMAH DINGIN TANPA HAWA DINGIN

Lekatkan lapisan berwarna sedikit gelap pada tingkap

a
Gambar: Unsplash

Walaupun langsir merupakan cara yang paling mudah dan berkesan untuk mengelakkan cahaya mentari terik daripada masuk ke dalam rumah, ada juga yang tidak gemar memakai langsir.

Jika demikian anda mempunyai alternatif untuk memasang lapisan berwarna sedikit gelap (tinted) pada tingkap-tingkap di rumah anda. Satu kajian mendapati, lapisan-lapisan ini dapat mengurangkan haba cahaya matahari dan sekaligus mengekalkan cahaya semula jadi. Ada juga yang dapat melindungi anda daripada pancaran sinaran ultraungu atau UV. Hasilnya, rumah kekal pada suhu yang lebih dingin.

a
Gambar: Unsplash

Bidai dan langsir dengan rona gelap

a
Gambar: Unsplash

Pancaran cahaya matahari yang masuk melalui tingkap ternyata akan meningkatkan lagi suhu bilik dan sesebuah ruang. Bayangkan jika kediaman anda mempunyai tingkap yang besar. Maka lebih banyaklah haba yang akan terkumpul.

Oleh itu bidai dan langsir berwarna gelap didapati berkesan untuk mengelakkan cahaya mentari daripada masuk langsung ke dalam rumah dan memanaskan ruang. Apabila ingin keluar rumah, biasakan untuk menutup langsir atau bidai. Dengan demikian anda akan pulang ke rumah yang lebih dingin.

Kolam dan hiasan air

a
Gambar: Unsplash

Adanya hiasan air atau kolam kecil di sudut rumah dapat membantu mendinginkan kediaman selain mewujudkan suasana yang lebih tenang.

Air dapat meningkatkan kelembapan pada kediaman, memperbaiki dan menyejukkan udara di ruang di mana hiasan air itu diletakkan.

Tetapi, jika memilih untuk mengadakan sudut kolam kecil, pastikan anda bertanggungjawab untuk memastikan airnya bersih dan ia dijaga dengan baik untuk mengelakkan lumut atau pembiakan nyamuk.

Pastikan sistem penapisan yang baik dan air yang bersih agar air tidak berbau. Ini penting lebih-lebih lagi jika anda ingin memelihara ikan di dalam kolam hiasan itu.

Lampu LED

a
Gambar: Unsplash

Semua peralatan elektronik menghasilkan haba apabila menjana elektrik dan ia menyumbang kepada kenaikan suhu bilik. Ini termasuk penggunaan lampu mentol di dalam rumah.

Dengan pertukaran dan peralihan kecil dari mentol biasa kepada mentol LED, ia dapat membantu untuk menyejukkan kediaman dan yang penting menjimatkan bil elektrik setiap bulan.

Malah pilihan mentol LED warna putih bukan sahaja dapat memberikan pencahayaan yang lebih lembut tapi juga dapat menurunkan suhu di sesebuah kediaman.

Bersihkan kipas siling

a
Gambar: Unsplash

Berapa kerap anda bersihkan kipas siling? Pasti ada yang jarang atau tunggu sampai menjelang Hari Raya baru ingin bersihkan kipas.

Tahukah anda lapisan habuk tebal yang melekat pada kipas siling merupakan antara sebab utama yang mempengaruhi kesan dingin kipas.

Jika habuk melekat terlalu lama ia bukan saja membuat kipas nampak kotor tetapi juga menjejas kelajuan kipas kerana ia memerlukan lebih banyak tenaga untuk berpusing.

Oleh itu, pastikan untuk bersihkan kipas secara rutin. Kemudian lihat serta rasakan sendiri perbezaannya. Ada yang menganggapnya perkara remeh tapi perbezaannya pasti ketara.

 

Sumber : BERITA Mediacorp//fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita