Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Ini cara simpan lauk Raya agar tidak cepat basi & tahan lama

Anggaran Waktu Membaca:
 Ini cara simpan lauk Raya agar tidak cepat basi & tahan lama

Ayam MAsak Merah (Gambar: Aizam Omar)

SINGAPURA: Pagi Syawal diraikan dengan pelbagai juadah dan hidangan yang enak untuk tetamu yang datang berkunjung. Agar makanan yang dimasak pada petang Raya dapat bertahan 24 jam atau lebih, penting untuk memastikan cara masakan yang betul selain penggunaan bahan yang tepat.

Lemak cili padi, rendang, sambal sotong, sambal goreng pengantin dan ayam masak merah. Inilah antara hidangan popular yang sering menjadi santapan semasa lebaran. Tidak lengkap perayaan tanpa lauk pauk enak ini yang akan digandingkan dengan ketupat, lontong atau lemang.

PEXEL
(Gambar: Pexel)

Lazimnya lauk yang bersantan merupakan antara yang popular dan digemari ramai kerana rasanya enak dan berlemak. Tapi, jika memasak lauk yang bersantan, penting untuk memastikan santan yang digunakan adalah jenis segar. Kelapa yang digunakan haruslah yang baru diparut.

Apabila ingin perah santannya pula anda harus menggunakan air suam dan elak daripada menggunakan kelapa parut yang sudah disimpan di dalam peti ais selama beberapa hari.

coconut pexel
(Gambar: Pexel)

Bagi yang memilih untuk menggunakan santan kotak pula sebagai ganti, beli lah dalam saiz atau jumlah yang diperlukan untuk satu-satu masakan sahaja. Elakkan daripada menggunakan lebihan santan atau menyimpan bakinya di dalam peti ais.

Selain prihatin dengan penggunaan santan, cara memasak juga penting.

Pastikan lauk-pauk bersantan dimasak dalam tempoh yang lama menggunakan api serderhana. Apabila anda ingin memekatkan kuah semasa memasak, tuangkan sedikit air yang sudah dimasak atau yang sudah ditapis. Cara-cara ini didapati berkesan dan boleh membuat lauk bersantan bertahan lebih lama.

lemak cili padi
(Gambar: Aizam Omar)

Bila ingin panaskan lebihan lauk bersantan pastikan ia dilakukan tanpa bertutup. Jika ingin simpan lauk di dalam peti ais, sejukkan dulu hingga wapnya hilang.

Setelah wap panas sudah hilang barulah boleh masukkan lauk ke dalam bekas yang bertutup dan diletakkan di dalam peti sejuk bahagian beku. Jika ingin memanaskannya, keluarkan terlebih dahulu lauk dan letakkan pada suhu bilik sebelum dipanaskan semula untuk hidangan.

BAHAN UNTUK DIELAKKAN & CARA MASAKAN

Berikut tips dan panduan untuk anda bagi memastikan lauk-pauk anda dapat bertahan lama.

SAYURAN BERAIR
tomato
(Gambar: Pexels)

Jika menggunakan tomato dalam masakan, sebaik-baiknya buangkan bijinya kerana ini dapat membantu untuk elakkan makanan jadi cepat basi dan berair. Selain tomato, timun juga didapati berair dan penghasilan air dari sayur ini boleh merosakkan makanan yang menjadi punca sajian mudah basi.

MASAK SEHINGGA MENDIDIH
pots
(Gambar: Pexels)

Tidak kira apa juga lauk-pauk yang ingin dimasak, biarkan kuahnya benar-benar mendidih sebelum padamkan api. Contohnya jika masak daging atau ayam, pastikan isinya benar-benar sudah empuk dan kuah mendidih dengan betul sebelum menutup api. Proses ini penting lebih-lebih lagi jika lauknya berkuah.

SUDIP KERING

SUDIP(Gambar: Pexels)

Jangan gunakan sudu yang basah untuk menceduk lauk atau masakan yang siap dimasak dan juga jangan gunakan tangan untuk menyentuh makanan ada.

Gunakan sudip kering atau sudu yang sudah dilap kering. Masakan tidak boleh terkena air atau tangan bagi mengelakkan daripada pencemaran dan mudah basi. Jangan masukkan lauk yang tidak habis ke dalam periuk.

ASAM KEPING

Selalunya sajian yang mengandungi santan tidak dapat bertahan lama dan cepat basi. Jika ingin melambatkan proses basi, cuba tip ini. Masukkan satu atau dua asam keping ke dalam lauk yang sedang mendidih apabila sudah hampir selesai masak. Elakkan daripada memasukkan terlalu banyak agar rasa kuah tidak terjejas.

LAP WAP NASI

Sejurus saja periuk nasi berbunyi tanda nasi sudah masak, biarkan wap yang terkumpul keluar dari periuk nasi. Ini akan membuat nasi tidak terlalu lembab. Ambil kain bersih atau tisu untuk lap wap pada penutup periuk. Dengan demikian nasi boleh lah tahan lama dan tekstur lembut.

GORENG SAMPAI PECAH MINYAK

Bila menumis bahan-bahan haruslah ditumis sehingga garing dan penting untuk pecah minyak. Mudah untuk lihat sama ada sudah pecah minyak ke belum.

Warna tumisan akan bertukar menjadi gelap atau yang paling ketara minyak akan terpercik sedikit daripada kuali. Tunggu sampai pecah minyak barulah masukkan bahan lain. Bukan saja sajiand dapat tahan lebih lama, ia juga rasa lebih sedap.

SEJUKKAN MAKANAN

Sebelum simpan atau masukkan sajian ke dalam bekas penutup untuk disimpan di dalam peti ais, pastikan makanan sudah benar-benar sejuk. Jangan masukkan makanan hangat atau baru dipanaskan ke dalam peti sejuk.

Nah! Tidak sukarkan untuk elakkan lauk-pauk yang dimasak menjadi cepat basi.

Yang penting usah gunakan bahan-bahan yang mudah rosak dan amalkan cara masakan yang betul. Pakar masak juga berpendapat, lauk-pauk yang dimasak lama di atas api dengan menggunakan bahan segar dapat bertahan berhari-hari walaupun tanpa meletakkannya di dalam peti sejuk.

Apa pun pilihan sajian yang bakal dimasak menjelang Hari Raya nanti, pastikan anda gunakan bahan yang segar dan amalkan cara masakan yang tepat selain menjaga kebersihan semasa memasak!

Sumber : BERITA Mediacorp/NK/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan