Skip to main content

Gaya Hidup

Ini cara mudah masak daging korban; yang penting isinya empuk lagi menyelerakan

Setibanya bulan Zulhijjah, umat Islam di seluruh dunia bersiap sedia menyambut Hari Raya Haji atau Aidiladha yang sinonim dengan ibadah korban.

Anggaran Waktu Membaca:
Ini cara mudah masak daging korban; yang penting isinya empuk lagi menyelerakan

Penting untuk memahami teknik asas penyediaan dan cara memasak daging korban untuk menepati selera ramai. (Gambar: Unsplash)

SINGAPURA: Setibanya bulan Zulhijjah, umat Islam di seluruh dunia bersiap sedia menyambut Hari Raya Haji atau Aidiladha yang sinonim dengan ibadah korban. Daging korban yang diperolehi akan diagihkan kepada masyarakat, khususnya golongan yang memerlukan.

Namun, tidak semua orang yang biasa berdepan dengan cabaran untuk menyediakan dan memasak daging korban yang segar, lebih-lebih lagi bagi mereka yang tidak selalu berada di dapur. Daging korban yang tidak diproses dan dibersihkan dengan betul boleh menjadi liat atau mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan.
Daging korban memerlukan teknik tertentu untuk disediakan. (Gambar: Unsplash)
Oleh itu, penting untuk memahami teknik asas dalam penyediaan dan cara memasaknya agar hasil hidangan bukan sahaja empuk dan enak, tetapi juga menepati selera ramai. Berikut tip ringkas dan cara yang dapat membantu untuk menyediakan hidangan daging korban yang lebih bermutu, empuk dan pastinya menyelerakan.

CARA BERSIHKAN

Penting untuk memastikan cara persediaan yang betul. Bagi yang jarang ke dapur, anda pasti akan menganggap proses ini sangat leceh dan remeh. Namun apa yang tidak diketahui ramai, proses-proses ini sebenarnya memainkan peranan yang sangat penting kerana ia akan menentukan hasil sajian anda nanti.
Cara persediaan yang betul adalah penting bagi seseorang yang memasak menggunakan daging korban. (Gambar: Unsplash)
Nyahbeku

Daging korban yang diperolehi perlu disimpan di dalam peti sejuk bahagian beku. Apabila ingin menggunakan dalam masakan, penting untuk nyahbeku dengan cara yang tepat agar ia lembut. Anda hanya perlu letakkan daging dalam air bersuhu bilik tanpa membuka plastik atau bungkusannya. Ini penting untuk mengekalkan tekstur semula jadi daging dan mengelakkan pencairan mendadak yang boleh menjejaskan rasanya.

Selain itu, elak dari penggunaan air panas, ketuhar gelombang mikro atau biarkan daging terlalu lama di suhu bilik. Cara-cara ini akan menjejas keseimbangan kelembapan dalam daging dan menjadikannya liat serta tidak masak sekata.

Hapuskan bau hanyir

Untuk menghilangkan bau daging, anda boleh cuba gaulkan ia dengan satu sudu tepung gandum atau lebihkan tepung mengikut kuantiti daging. Pastikan untuk cuci dan bilas bersih sebelum dimasak. Cara ini didapati amat berkesan dan ia membantu untuk menyerap lebihan darah serta mengurangkan bau hanyir yang tidak menyenangkan.

Lembutkan daging

Untuk dapat menikmati sajian daging yang lembut dan empuk, cubalah untuk perapkan daging dengan hirisan betik muda yang diperkaya dengan enzim semula jadi. Tapi, jika sukar untuk mendapat betik muda, anda juga boleh gunakan sedikit soda bikarbonat dan perapkan ia selama 20 hingga 30 minit sebelum memasaknya.

BAHAGIAN DAGING

Tidak semua bahagian daging sesuai untuk dimasak dengan cara yang sama. Oleh itu, penting untuk kita memahami setiap bahagian daging. Dengan demikian, anda bukan sahaja dapat memasaknya dengan lebih berkesan, tetapi juga mengelakkan pembaziran kerana setiap bahagian mempunyai kelebihan yang tersendiri.
Bukan semua bahagian daging sesuai untuk dimasak dengan cara yang sama. (Gambar: Unsplash)
  • Dada – Bahagian ini selalunya lebih liat tetapi berperisa. Anda perlu masak daging bahagian dada ini lebih lama. Tapi hasilnya pasti memuaskan. Sesuai untuk dipanggang atau direbus.
  • Tulang rusuk - Bahagian ini diperkaya dengan rasa dan ianya berlemak. Tepat untuk masakan yang berkuah. Contohnya, sup atau rusuk lauk masak lemak. Ia cepat empuk dan menyerap rasa dengan baik.
  • Batang pinang – Juga dikenali sebagai bahagian tenderloin, ia merupakan bahagian yang paling lembut. Lantas, membuatnya sesuai untuk dimasak rendang, disalai atau dimasak lauk gulai.
  • Sirloin – Ia mengandungi lemak yang seimbang dan lembut. Ideal untuk berbeku atau dipanggang menggunakan bahan mengikut citarasa masing-masing. Cecahkan dengan sos pilihan untuk dapatkan rasa yang ada oomph!
RENEH PERLAHAN DAN CARA SIMPAN DAGING

Cara merebus daging perlahan menggunakan kaedah slow cooking merupakan pilihan yang terbaik untuk menikmati isi yang lembut, empuk dan berjus. Tidak sukar untuk merebus daging, anda hanya perlu gunakan periuk yang besar dan reneh daging anggaran 45 minit hingga 1 jam, bergantung pada potongan daging.

Ada juga yang memilih untuk menggunakan pressure cooker yang mengambil masa yang lebih singkat anggaran 20 minit. Penting untuk memastikan jumlah air yang mencukupi semasa proses merebus daging bila menggunakan periuk tekanan atau 'pressure cooker'.

Tidak kira sama ada menggunakan periuk biasa atau 'pressure cooker', apabila ingin merebus daging, anda juga boleh meletakkan bahan seperti halia, serai, lengkuas selain limau perut untuk memperolehi aroma dan rasa daging yang lebih menyelerakan.

Penting juga untuk sentiasa memerhatikan masakan anda. Kacau dari semasa ke semasa, periksa tahap masakan dan pastikan ia tidak melekat atau hangus.
Periksa tahap masakan dan pastikan daging tidak melekat atau hangus. (Gambar: Unsplash)
Di samping itu, cara simpan daging juga penting. Penyimpanan yang bijak dapat membantu untuk mengurangkan pembaziran dan menjimatkan masa memasak. Penting untuk elak cuci daging sebelum menyimpannya di dalam peti sejuk bahagian beku.

Mencuci daging boleh menyebabkan ia lebih mudah untuk rosak. Sebaliknya, anda boleh lapkan daging dengan tisu dapur untuk menghilangkan lebihan darah, kemudian bungkus kemas dalam bekas kedap udara atau plastik pembungkus makanan.
Asingkan bahagian daging mengikut keperluan masakan yang diperlukan. (Gambar: Unsplash)
Selain itu, pastikan untuk asingkan bahagian daging mengikut keperluan masakan yang diperlukan. Contohnya, setengah atau 1kg. Dengan caranya ini ia dapat memudahkan proses nyahbeku dan anda tidak perlu mencairkan keseluruhan daging yang beku untuk satu masakan sahaja.

Ok, apa pun sajian daging korban yang ingin dimasak nanti, selamat mencuba & Selamat Hari Raya Aidiladha!
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita