Skip to main content

Gaya Hidup

Ini cara elak kulit tumit merekah, jadi kasar

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tumit kaki kering merupakan salah satu masalah kulit yang sering dialami ramai, tetapi paling kurang diberi perhatian.

Pasti ramai yang bertanggapan tiada siapa yang akan melihat tumit kaki lebih-lebih lagi bila sudah memakai stokin dan kasut yang tertutup. Lantas, ramai yang masih tidak mengambil berat tentang masalah ini.

Namun, penting untuk ketahui puncanya dan apa yang boleh anda lakukan untuk mengelakkannya daripada terus melarat.

Apabila kulit tumit menjadi kering, merekah atau pecah-pecah ia bukan sahaja tidak cantik dipandang. Tapi, jika tidak cepat menanganinya kulit akan bertambah melecet dan membuat anda rasa tidak selesa.

Sebenarnya, tidak sukar untuk menjaga kulit kaki. Ia sama juga seperti membelai kulit wajah. Terdapat pelbagai cara yang boleh diamalakan setiap hari untuk selamatkan kulit tumit kaki anda.

Menurut kajian, terdapat pelbagai faktor yang sering dikaitkan dengan masalah ini. Selain kencing manis, radang sendi, psoriasis dan obesiti, terdapat banyak lagi faktor yang boleh menyumbang kepada masalah ini.

Anda tidak semestinya berpenyakit untuk mengalami masalah tumit kering atau menggelupas. Tetapi, jika keadaan sukar dikawal dan menjadi lebih buruk, segeralah bertemu dengan pakar.

PUNCA KULIT KERING

Diet kurang berkhasiat

Selain memberi kesan negatif kepada kesihatan secara keseluruhan, kekurangan khasiat seperti zat besi, kalsium, Omega-3 dan vitamin E juga dikaitkan dengan punca tumit kering, merekah dan pecah. Oleh itu pastikan anda mempunyai pengambilan makanan yang berkhasiat dan seimbang setiap hari.

Berusia

Seiring bertambahnya usia, kulit tumit juga akan mudah mengalami masalah rekahan. Ia adalah masalah biasa bagi golongan yang berusia. Selain itu, postur tubuh yang salah juga boleh menjadi penyebab keretakan tumit kaki. Elakkan daripada postur membongkok kerana ia akan memberi tekanan berlebihan di bahagian bawah tubuh.

Saiz dan bentuk kasut

Memakai kasut yang tidak sesuai dengan potongan kaki boleh menjejas keselesaan, kulit tumit dan juga postur tubuh anda. Jika anda mempunyai masalah kulit merekah dan kering, cuba elakkan daripada bergaya dengan sandal terbuka atau kasut bertumit tinggi.

a
Gambar: Pexels

Wanita hamil

Tidak semua wanita hamil akan mengalami tumit kering. Tapi, apabila berat badan bertambah, secara tidak langsung ia akan menjejas tekanan pada kaki. Oleh itu, mereka yang hamil tidak digalakkan untuk berdiri terlalu lama demi kesihatan agar kulit tumit tidak mudah pecah-pecah.

Kaki ayam

Jika anda mempunyai masalah tumit kering dan retak, cuba elak daripada berkaki ayam di dalam rumah. Tanpa disedari tumit kaki akan terdedah pada habuk, debu dan air yang akan membuat kulit menjadi lebih bermasalah dalam jangka masa yang panjang. Gunakan selipar lembut semasa di rumah.

Kulit sensitif

Kaki yang terdedah terlalu lama dalam air dan sabun akan menjejas kelembapan semula jadi kulit. Kandungan kimia yang ada dalam sabun akan mengeringkan kulit, sekaligus menjadi punca tumit merekah. Elakkan daripada menggunakan sabun secara keterlaluan dan pastikan kaki dibilas bersih.

8 CARA 'DIY' RAWAT TUMIT KAKI

Terdapat pelbagai cara untuk memanjakan kaki. Tidak perlu tunggu sampai kulit merekah atau melecet baru ingin menanganinya. Mudah untuk dilakukan di rumah dan menjimatkan!

•Losen pelembap

Sapukan losen atau minyak yang sesuai dengan kulit anda. Ia dapat membantu untuk memelihara kulit agar tidak kering dan merawat rekahan.

Sebaik-baiknya gunakan pelembap selepas mandi kerana vitamin yang ada dalam pelembap dapat serap pada kaki dengan lebih baik. Anda juga digalakkan untuk sapukan losen dan memakai stokin sebelum tidur.

•Avokado

Gunakan setengah biji avokado, lenyek atau tumbuk isinya sehingga lumat. Sapukan pada bahagian tumit yang kering dan pecah. Amalkan selalu sehingga tumit kaki kembali pulih seperti sedia kala.

Related article image
Gambar: Pexels

•Timun dan buah belimbing

Ambil sebatang timun atau sebiji belimbing dan kisar hingga lumat kemudian sapukan pada bahagian tumit dan urut perlahan-lahan anggaran 10-15 minit. Biarkan kering sebelum mencuci bersih. Lakukan secara rutin dan lihat keberkesanannya.

A
Related article image
Gambar: Pexels

•Rendam kaki

Hiris lemon dan campurkan sedikit garam atau serbuk penaik di dalam bekas berisi air suam. Rendam kaki selama 15 minit dan lap kering.

Related article image
Gambar: Pexels

•Skrub dan lulur

Sel-sel kulit mati dapat disingkirkan dengan cara menyental atau lulur sehingga kulit kembali sihat, lembut dan cerah bersinar. Pilihlah jenis skrub yang sesuai dengan kulit anda. Ia dapat merawat kulit kusam untuk kembali lembut.

Related article image
Gambar: Pexels
•Cuci kaki

Seperti rutin mencuci muka, jangan abaikan untuk mencuci celah-celah jari kaki setiap hari. Setelah mencucinya jangan biarkan lembap kerana kaki yang basah akan mudah membuat kulit pecah-pecah. Lap kaki kering.
Related article image
Gambar: Pexels
•Angkat kaki

Setelah sehari suntuk berjalan, beriadah atau berada di pejabat, apabila pulang ke rumah cuba sandarkan kaki yang penat ke dinding atau di atas kotak. Cara ini didapati dapat mencegah pembekuan darah setelah berdiri lama dan sekaligus dapat selamatkan tekstur kulit.
Related article image
Gambar: Pexels
Sumber : BERITA Mediacorp//fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita