Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Ini 7 petua tangani masalah rambut beruban gunakan bahan asli…

Bayangkan. Umur belum mencecah 40 tahun, tapi rambut sudah putih. Ada lagu bagi keadaan seperti ini. Liriknya berbunyi... Jangan sampai tua, sebelum waktunya (nyanyian Sheila Majid).

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Bayangkan. Umur belum mencecah 40 tahun, tapi rambut sudah putih. Ada lagu bagi keadaan seperti ini. Liriknya berbunyi... Jangan sampai tua, sebelum waktunya (nyanyian Sheila Majid).

Pendeknya, tiada siapa yang mahu mengalami keadaan seperti itu. Boleh tertekan jadinya, kerana kerana ia mungkin menjejas imej kita. Jadi, apakah puncanya dan bagaimana cara untuk melambatkan proses penuaan awal ini?

Folikel rambut mempunyai sel pigmen yang menghasilkan melanin yang berfungsi sebagai zat yang memberi warna pada rambut. Lazimnya, semakin usia meningkat sel-sel ini akan mula mati dan pigmen akan berkurangan. Apabila tidak mempunyai pigmen, setiap helai rambut akan mula menjadi lebih ringan.

Lama kelamaan, perlahan-lahan rambut juga akan bertukar menjadi warna putih. Ini proses yang normal bagi orang-orang yang sudah berusia.

Menurut kajian, rambut hitam yang bertukar menjadi putih sebelum masanya selalunya mempunyai kaitan dengan masalah seperti genetik, kurang vitamin, stres atau tekanan, pengambilan ubat-ubatan, penggunaan produk rambut yang tidak bersesuaian, faktor gaya hidup dan sebagainya.

4 PUNCA PENUAAN AWAL

  • Kekurangan vitamin B6, B12, biotin, vitamin D dan E dapat mendorong proses penuaan rambut kerana tubuh kurang zat. Ini memengaruhi pigmentasi lalu membuat rambut mula bertukar warna kelabu dan putih. Selain kurang vitamin, stres oksidatif juga boleh membuat rambut beruban pada usia muda. Stres jenis ini amat berbahaya kerana jumlah radikal bebas dalam tubuh melebihi kemampuan tubuh. Lantas, ia juga merupakan penyebab utama pelbagai penyakit kronik selain penuaan.
  • Bagi yang mempunyai masalah kesihatan dan perlu mengambil ubat-ubatan seharian, adakalanya ia juga meningkatkan risiko rambut cepat beruban walaupan usia baru mencecah 20-an dan 30-an tahun. Ini tidak dapat dielakkan, tapi anda boleh melambatkan prosesnya dengan menjaga pemakanan. Pastikan ia berkhasiat, selain mengamalkan gaya hidup sihat.
  • Kerap mewarnakan rambut merupakan sesuatu yang digemari golongan muda kerana inginkan penampilan yang lebih ikut fesyen dan gaya terkini. Malangnya, jika kerap mewarnai rambut ia juga boleh menjejas mutu rambut dan kulit kepala. Pewarna rambut mengandungi kandungan kimia yang tinggi dan akan mengurangkan melanin. Ini boleh membuatkan rambut anda memutih jika anda berhenti mewarnainya.
  • Satu kajian juga mendapati mereka yang kerap merokok mempunyai risiko rambut beruban sebelum usia 30 tahun dan ada juga pada usia lewat 30-an. Namun semua ini bergantung pada tubuh masing-masing. 

7 CARA TANGANI MASALAH UBAN

1. Lemon & Minyak Kelapa
Buah lemon mengandungi pelbagai khasiat seperti vitamin B, C dan juga mineral phosphor. Khasiat ini sangat penting untuk pemeliharaan sel-sel pigmen di folikel rambut dan pada masa yang sama ia dapat membantu memudarkan rambut beruban.

Cara rawatan: Campurkan 2 sudu kecil perahan lemon ke dalam 2 sudu makan minyak kelapa. Didihkan selama 1-2 minit hingga hangat. Biarkan sejuk dan gunakannya untuk mengurut kulit kepala dan usapkan pada rambut secara rata. Biarkan 30 minit hingga khasiatnya menyerap. Bilas dan cuci bersih dengan syampu dan perapi. Amalkan 2 kali seminggu.

2. Teh Hitam
Diperkaya dengan bahan antioksidan, teh hitam dapat mencegah penumbuhan uban. Ia juga dapat membantu menggelapkan warna rambut dan membuatnya kilat.

Cara rawatan: Ambil 2 sudu kecil serbuk teh, letakkan dalam cawan berisi sedikit air. Saring teh dan oleskan pada rambut dan kulit kepala. Urut kulit kepala perlahan-lahan untuk 10-15 minit dan biarkan selama 1 jam. Kemudian, bilas rambut, cuci bersih dengan syampu dan perapi. Amalkan tiga kali seminggu.

3. Daun Kari
Bau daun ini harim dan ia sering digunakan untuk memasak lauk kari. Selain dijadikan bahan masakan, daun kari juga dikatakan dapat memulihkan pigmen melanin di folikel rambut dan membantu mengembalikan warna rambut. Ia kaya dengan khasiat vitamin B yang dapat membantu merangsang tumbuhan rambut dan vitamin pigmentasi.

Cara rawatan: Rebus segenggam daun kari bersama 3 sudu makan minyak kelapa. Angkat, sejukkan dan saringkan minyak. Biarkan sejuk kemudian urut di kulit kepala selama 15 minit dan usapkan rata pada rambut. Biarkan selama 30 minit atau biarkan semalaman. Kemudian bilas bersih dan cuci rambut dengan syampu dan perapi. Ulang dua hingga tiga kali seminggu.

4.Bawang Besar
Banyak kegunaan bawang. Selain menjadi bahan masakan, bawang juga dapat memperbaiki tesktur rambut dan didapati dapat mengurangkan uban.

Cara rawatan: Bawang dicencang kecil dan campurkan dengan 1 sudu makan minyak zaitun. Tapis bahan. Ambil minyak dan oleskan pada rambut dan kulit kepala selama 10 minit dan biarkan selama 30 minit. Bilas bersih dengan air dan cuci rambut dengan syampu dan perapi. Amalkan dua kali seminggu.

5. Biji Betik
Menurut kajian, kandungan dalam biji buah betik ternyata mengandungi pigmen yang serupa dengan melanin dan khasiat dari zat ini dapat membantu untuk menghitamkan rambut.

Cara rawatan: Sangar biji betik hingga kering. Kemudian tumbuk atau kisar hingga halus dan campurkan dengan minyak kelapa secukupnya. Kemudian sapukan pada rambut perlahan-lahan dan mengurutnya pelahan-lahan. Biarkan 30 minit atau sampai kering. Kemudian bilas bersih dan syampu rambut.

6. Lidah Buaya
Diperkaya dengan pelbagai khasiat, lidah buaya sering digunakan sebagai pewarna semula jadi untuk mewarnakan rambut kerana ia bebas kimia. Hasilnya ia dapat meningkatkan kesan perwarnaan.

Cara rawatan: Bukan saja mampu menghitamkan rambut, tapi juga melebatkannya. Ambil bahagian lidah yang bertekstur seperti gel. Sapukan pada rambut, sapu rata dan kemudian bilas bersih dengan air sejuk. Kemudian cuci rambut bersih dengan syampu. Amalkan dua hingga tiga kali setiap seminggu.

7. Bunga Raya
Masker bunga ini dapat menguatkan dan memelihara folikel rambut. Pada masa yang sama ia juga dapat merangsang penumbuhan rambut yang sihat dan mencegah rambut beruban secara pramatang. Ia juga boleh menjadi agen pewarna rambut.

Cara rawatan: Ambil 10–15 kuntum bunga raya dan bilas hingga keluar minyak seperti lendir. Basahkan rambut terlebih dahulu dan lumurkan minyak seperti lendir ini pada rambut. Biarkan selama 3-5 minit dan bilas rambut hingga bersih. Ulangi rejim ini 2-3 kali seminggu.

Bagaimana? Mudah bukan? Hampir kesemua bahan-bahan asli ini mudah didapati di pasar atau pasar raya. Modalnya juga tidak mahal.

Yang penting ia bahan asli, bebas dari kimia dan toksin. Hasilnya mungkin tidak dapat dilihat serta merta. Namun ia dijangka dapat melambatkan proses penuaan rambut. Selamat mencuba! 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan