Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Ini 5 cara jaga kesihatan jantung anda menurut pakar kardiologi

Anggaran Waktu Membaca:
Ini 5 cara jaga kesihatan jantung anda menurut pakar kardiologi

Serangan jantung adalah punca kematian utama dalam kalangan wanita di Singapura. (Gambar: Designecologist/Unsplash)

NEW YORK: Jika anda merupakan antara jutaan orang yang membuat azam Tahun Baru untuk menurunkan berat badan, bersenam atau makan makanan lebih sihat, berikut adalah satu lagi sebab untuk melakukannya: Ia boleh melindungi jantung anda.

Penyakit jantung adalah punca utama kematian di Amerika Syarikat. Dan tabiat seperti merokok, diet yang kurang baik dan gaya hidup yang tidak aktif boleh menyediakan asas untuk penyakit muncul sebelum sebarang gejala muncul.

Tabiat tersebut "tidak akan membunuh anda pada keesokan harinya," namun ia mungkin menentukan betapa baik anda hidup dalam dekad terakhir hidup anda, kata Dr Kyla Lara-Breitinger, pakar kardiologi dan penolong profesor perubatan di Mayo Clinic di Rochester, Minnesota.

PERTAMA, PERIKSA KEADAAN ANDA

Doktor boleh menggunakan paras tekanan darah, kolesterol dan gula darah anda untuk meramal risiko anda menghidap penyakit jantung dan mencadangkan rawatan yang sesuai.

Oleh itu, mulakan dengan melawat doktor anda supaya anda diperiksa, kata Dr Sadiya Khan, pakar kardiologi pencegahan di Sekolah Perubatan Feinberg Universiti Northwestern.

JIKA ANDA MEROKOK, BERUSAHA UNTUK BERHENTI

Menurut Persatuan Jantung Amerika, merokok bertanggungjawab bagi kira-kira satu pertiga daripada semua kematian yang berkaitan dengan penyakit jantung.

Merokok menyebabkan keradangan, meningkatkan pembentukan plak, di mana plak tersebut mungkin pecah dan membentuk darah beku, yang boleh menyebabkan serangan jantung atau angin ahmar. E-rokok dan pen vape juga mengandungi nikotin dan bahan lain yang berbahaya untuk kesihatan jantung.

Terapat bukti yang menunjukkan bahawa gabungan ubat dan kaunseling adalah salah satu cara paling berkesan untuk membantu perokok berhenti.

JANGAN PANDANG RENDAH KEPADA TANGGA

Petua utama Dr Khan untuk pesakit, selepas berhenti merokok, adalah untuk melihat berapa banyak tangga yang boleh mereka panjat tanpa rasa termengah-mengah, dan kemudian mula berusaha memperbaiki keadaan anda.

Senaman yang kerap menguatkan otot jantung dan menjadikan badan lebih cekap menarik oksigen daripada darah. Ia juga menurunkan tekanan darah dan paras glukosa, serta membantu mengurangkan lemak badan berlebihan yang boleh menyebabkan rintangan insulin dan penyakit metabolik lain.

Persatuan Jantung Amerika mencadangkan supaya orang dewasa mendapat aktiviti aerobik sederhana sebanyak 150 minit setiap minggu, meskipun tidak semua orang mempunyai 30 minit setiap hari untuk melompat di atas treadmill atau melakukan latihan intensiti tinggi, kata Dr Lara-Breitinger.

Di situlah matlamat kecil dan latihan yang singkat boleh dilakukan.

Jika anda bekerja dari rumah, sebagai contoh, cuba berehat antara mesyuarat untuk melakukan l'unges' atau menaiki tangga.

MAKAN MAKANAN SIHAT

Doktor mencadangkan untuk mengamalkan diet yang terdiri daripada tumbuhan seperti bijirin penuh, protein tanpa lemak serta buah-buahan dan sayur-sayuran segar.

Diet DASH terbukti berkesan, terutamanya untuk orang yang mempunyai tekanan darah tinggi, dan penyelidikan selama berdekad menyokong manfaat kesihatan diet Mediterranean.

Jika anda makan banyak daging merah sekarang, mulakan dengan menggantikan beberapa makan malam anda setiap minggu dengan makanan berasaskan tumbuhan atau ayam atau ikan tanpa lemak, kata Dr Lara-Breitinger.

Menggantikan makanan diproses, iaitu barangan berbungkus yang sering ditemui di lorong tengah kedai runcit, dengan makanan yang kurang diproses juga boleh mengurangkan kemungkinan untuk anda mengalami keadaan metabolik seperti obesiti atau kencin manis, meningkatkan risiko penyakit jantung.

UTAMAKAN REHAT

Mendapatkan tidur selama tujuh hingga sembilan jam setiap hari adalah penting untuk kesihatan jantung dan metabolisme yang lebih baik, kata Dr Lara-Breitinger.

Kekurangan tidur meningkatkan hormon tekanan anda, menggalakkan keradangan yang boleh menyebabkan pembentukan plak di arteri.

Ia juga boleh mengganggu irama sirkadian anda dan menjejas metabolisme anda, yang menyebabkan berat badan naik, rintangan insulin dan, akhirnya, kencing manis Jenis 2, tambah Dr Lara-Breitinger.
 
Sumber : New York Times/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan