Ini 3 tanda 'luar biasa' tubuh anda kekurangan air
Dengan cuaca yang agak bahang kebelakangan ini, anda mungkin kerap berasa dahaga atau sering mencapai botol minuman air sejuk.
(Gambar: Unsplash)
SAN FRANCISCO: Dengan cuaca yang agak bahang kebelakangan ini, anda mungkin kerap berasa dahaga atau sering mencapai botol minuman air sejuk.
Rasa kehausan mungkin salah satu tanda badan anda mengalami penyahhidratan atau 'dehydration'.
Namun selain berasa dahaga, terdapat tanda-tanda lain bahawa tubuh anda kekurangan air.
Dalam satu video Instagram, seorang doktor dari Amerika Syarikat, Dr Karan Raj, berkongsi tiga tanda 'luar biasa' namun mudah kelihatan apabila seseorang itu mengalami penyahhidratan, menurut laporan ETX Studio.
MENGIDAMKAN GULA
Apabila anda kekurangan air, anda mungkin mengidamkan manis-manisan.
Pakar perubatan itu menjelaskan bahawa ini disebabkan oleh penyahhidratan kerana "hati anda menghadapi kesukaran memproses glikogen menjadi glukosa."
Ini bermakna terdapat kurang glukosa dalam darah dan ia kemungkinan boleh menyebabkan serangan hipoglemik yang boleh mencetuskan pening kepala atau rasa tidak selesa.
MATA KERING
Air mata berfungsi lebih daripada sekadar untuk menangis.
"Air mata juga membasahi dan membersihkan mata anda," jelas Dr Raj, seperti yang dipetik ETX Studio.
Kekurangan air dalam tubuh menyebabkan mata berasa kering dan mudah gatal.
NAFAS BERBAU
Seseorang yang mengalami masalah kurang air akan kurang menghasilkan air liur. Maka lebih banyak bakteria dihasilkan dalam mulut mereka.
Gabungan kedua-dua itu menyebabkan nafas mereka berbau.
Menurut Dr Raj, satu lagi cara untuk memeriksa jika tubuh anda kekurangan air adalah dengan mencubit kulit jari, lapor rencana ETX Studio.
"Jika anda minum air secukupnya, kulit anda akan kembali anjal setelah dicubit," jelasnya.
Jika tidak, kulit itu akan hilang keanjalan dan mengambil masa lebih lama sebelum ia kembali kepada keadaan normal, menurut rencana ETX Studio.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.