Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Ini 16 cara mudah bakar kalori dalam sehari

Anggaran Waktu Membaca:
Ini 16 cara mudah bakar kalori dalam sehari

(Gambar: Pexels)

SINGAPURA: Tidak kira jantina, ramai yang mendambakan bentuk tubuh yang cantik. Memiliki tubuh yang ideal bukan saja membolehkan anda untuk bergaya dengan pelbagai pakaian mengikut trend terkini, ia juga baik untuk kesihatan secara menyeluruh.

Tidak cukup hanya setakat berdiet atau memilih pemakanan. Untuk membantu anda mengecapi berat badan ideal atau menurunkan berat badan, anda juga digalakkan untuk bersenam seharian atau seberapa kerap yang boleh untuk membakar kalori.

Selain melakukan senaman secara tetap, terdapat pelbagai lagi cara mudah yang boleh dilakukan seharian yang dapat membantu untuk membakar kalori dalam tubuh. Berikut cara-cara mudah yang boleh dilakukan seharian di mana saja.

1. Telefon sambil berjalan

Pernah tak terlintas di fikiran bila berbual di telefon sambil berjalan ia dapat membantu mengurangkan kalori. Tidak sangka kan? Apabila anda menelefon selama 1 jam, ia dapat membakar sekurang-kurangnya 100 kalori.
(Gambar: Pexels)
Kajian mendapati bila anda bercakap di telefon sambil berjalan di ruang pejabat ia dikatakan mampu membakar sejumlah kalori. Jadi jika ada peluang cubalah berbual di telefon bimbit dengan klien sambil berjalan. Tapi, pastikan perbualan anda tidak menjejas orang-orang di lain di pejabat.

2. Jalan kaki

Sama seperti berbual di telefon, tapi cara ini agak lebih praktikal. Contohnya, semasa waktu makan tengahari cubalah untuk keluar dari pejabat dan gerakkan tubuh. Jangan malas untuk berjalan ke kafe atau kantin berhampiran. Walaupun jaraknya tidak jauh, ia tetap dapat membantu untuk membakar lebih banyak kalori.

3. Kemas rumah

Bagi yang sibuk bertugas, seringkali anda akan luangkan masa pada hujung minggu untuk mengemas rumah. Sementara suri rumah sepenuh masa pula, anda pasti akan melakukan tugas mengemas setiap hari.
(Gambar: Pexels)
Tahukah anda, dengan mengemas rumah anggaran 40 minit, anda dapat membakar 100 kalori dalam sehari. Oleh itu, jadikan rutin mengemas rumah sebagai satu kebiasaan kerana hasilnya berkesan. Sambil mengemas putarkan muzik kegemaran anda agar tidak rasa bosan!

4. Cuci, lipat dan gosok pakaian

Jika anda seorang suri rumah sepenuh masa yang sibuk 24 jam di rumah, tugas seharian anda juga dapat membantu membakar 100 kalori. Bagaimana caranya?

Dengan menghabiskan anggaran 45 minit untuk mencuci, menyidai selain menggosok pakaian setiap hari.
 
(Gambar: Pexels)
5. Kemas katil, tukar cadar

Adakah anda jenis yang malas ingin mengemas katil? Rugilah kalau tak kemas. Tahukah anda mengemas katil, menyusun bantal, menukar cadar dan sarung bantal juga dapat membakar 100 kalori.
 
(Gambar: Pexels)
6. Potong sayur dan memasak

Memasak kelentang-kelentung di dapur juga membantu anda untuk membakar kalori. Luangkan masa anggaran 40 minit untuk memotong sayuran atau menyiang ikan dan sebagainya. Aktiviti ini dikatakan dalam membantu membakar 100 kalori.
(Gambar: Pexels)
7. Beriadah dan senaman

Apabila anda bermain boling sekurang-kurangnya 40 minit ia dapat membantu membakar 100 kalori. Jika bermain lebih lama pasti lebih banyak kalori yang mampu dibakar. Tapi, dengan satu syarat, elak daripada menikmati cemelan atau snek semasa melakukan aktiviti ini.
(Gambar: Pexels)
8. Berdiri

Ini antara amalan seharian yang paling mudah. Semasa di pejabat, anda juga boleh amalkan berdiri selang beberapa jam semasa membuat panggilan atau bercakap dengan rakan kerja. Percaya atau tidak, berdiri juga membantu untuk membakar kalori.

Selain itu dengan berdiri selama 20 minit di dalam bas atau MRT selepas berjam-jam duduk di pejabat atau di rumah ia juga dapat membantu membakar 100 kalori. Bagi anda yang memerlukan untuk berdiri sepanjang hari semasa bertugas, ia dapat membantu untuk membakar tambahan anggaran 50 hingga 60 kalori setiap jam.

9. Membeli-belah

Inilah aktiviti kegemaran ramai terutamanya golongan wanita. Membeli-belah bukan sahaja dapat memberikan kepuasan kerana dapat membeli barang atau keperluan yang diinginkan. Dalam pada masa yang sama ia juga mampu membakar kalori tanpa diketahui ramai.
 
(Gambar: Pexels)
Walaupun setakat berjalan-jalan di pusat membeli-belah tanpa membeli apa-apa selama anggaran 40 minit atau lebih, anda sudah dapat membakar 100 kalori.

10. Bakul atau troli

Ramai yang mungkin sudah terbiasa dengan menggunakan troli apabila membeli-belah di pasaraya. Ia merupakan satu kemudahan dan pastinya tidak memenatkan tangan untuk mengangkat bakul yang berisi pelbagai keperluan.

Tapi, jika barang yang ingin dibeli tidak terlalu banyak, bolehlah gunakan bakul. Tahukah anda, membawa bakul selama 30 minit dapat membakar sebanyak 110 kalori.
 
(Gambar: Pexels)
11. Tidur

Betul ke tidur dapat membakar kalori? Menurut kajian, anda boleh membakar 100 kalori semasa tidur. Bagaimana caranya? Tambahkan pengambilan protein dan elak daripada terlebih tidur pula kerana ia boleh membuat tubuh rasa kurang bermaya dan lemah.
 
(Gambar: Pexels)
12. Menari

Seperti berjalan, riadah mendengar muzik, menari juga mampu membantu tubuh untuk membakar kalori dengan cepat. Jika anda menari selama 20 minit ia dapat membakar 100 kalori. Lakukan ia sebagai satu riadah di rumah.
(Gambar: Pexels)
13. Naik turun tangga

Jika mempunyai pilihan untuk gunakan lif atau tangga, yang mana menjadi pilihan? Pastinya lif. Sebaliknya anda boleh memilih kedua-duanya. Jika menghabiskan lima minit sehari berjalan menaiki tangga anda akan membakar anggaran 230 kalori dalam seminggu.
(Gambar: Pexels)
14. Senaman ringan dan yoga

Tidak ada masa atau malas untuk berlari-lari anak? Cuba berehat dan lakukan senaman ringan di dalam keselesaan rumah seperti yoga selama 30 minit. Aktiviti ini dikatakan dapat membakar anggaran 100 kalori.

Pada masa yang sama ia juga dapat membantu untuk tingkatkan pelbagai pergerakan dalam sendi, mengurangkan tekanan dan secara tidak langsung membantu memperbaiki kualiti tidur anda.
(Gambar: Pexels)
15. Lompat tali

Luangkan masa tujuh hingga 10 minit untuk melompat tali atau 'skipping'. Anda boleh membakar 100 kalori dalam masa yang singkat dan ia juga dapat tingkatkan koordinasi serta membina kekuatan otot pada kaki.
(Gambar: Pexels)
16. Ketawa

Mudah dan aktiviti yang menyihatkan! Ketawa seberapa banyak bila menonton TV atau semasa bersama keluarga atau rakan-rakan. Di dalam tubuh manusia terdapat hormon stres dan salah satunya digelar kortisol. Bila seseorang ketawa, pengaruh kortisol terhadap tubuh akan dihadkan.

Proses pembakaran kalori akan meningkat seiring dengan peningkatan frekuensi jantung saat tertawa dan membantu tubuh untuk membakar kalori.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa