Skip to main content

Gaya Hidup

Ini 10 tip dapatkan durian berisi dan ada oomph!

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jika diperhatikan terdapat pelbagai jenis durian di pasaran. Jika anda seorang penggemar durian, apa yang anda utamakan semasa membuat pemilihan untuk membelinya? Bagaimana cara untuk memastikan durian yang dipilih dan dibeli mempunyai isi yang gebu dan rasa yang enak?

Ada kalanya semasa memilih durian, warnanya kuning, lemak dan menyelerakan. Tapi, setelah beli dan bawa pulang, harapan untuk menikmati durian yang enak bertukar menjadi kecewa bila rasanya tidak seenak yang dibayangkan.

Tidak kira apa jenis durian yang menjadi pilihan, agar anda tidak tersalah pilih atau rasa kecewa bila ingin menikmatinya, cubalah tip dan cara-cara berikut ketika membuat pemilihan.

(Gambar: Unsplash)


10 TIP PILIH DURIAN

1. Bentuk bulat


Cuba pilih yang berbentuk bulat. Rata-rata durian yang mempunyai bentuk bulat didapati mempunyai isi yang lebih banyak jika dibandingkan dengan yang berbentuk lonjong.

2. Berat durian

Selalunya ramai yang bertanggapan buah durian yang berat mempunyai isi yang padat. Tapi tanggapan ini kurang tepat. Menurut penjual durian, buah durian yang ringan tidak bererti ia tidak mempunyai banyak isi. Sebaliknya makin ringan, makin banyak isi durian. Jika perlu membuat pilihan antara dua durian, pilihlah yang ringan.

(Gambar: Unsplash) 


3. Tidak merekah

Usah beli durian yang sudah merekah kerana ia dikhuatiri sudah lama dan dan tidak segar. Selalunya durian yang sudah merekah mempunyai rasa yang kurang enak. Apabila kulit buah durian retak dan pecah, ia akan membuat isi di dalamnya bercampur dengan udara dan akan menjejas rasanya menjadi tawar dan masam.

4. Kulit

Penting juga untuk memastikan kulit luarannya tidak rosak. Jika kulitnya sudah busuk atau berlubang, selalunya isi di dalamnya juga akan terjejas dan mungkin sudah busuk.

5. Aroma

Apabila berada di gerai durian, cuba anda perhatikan gelagat pembeli. Pasti ada yang suka bau buntut durian semasa membuat pemilihan. Jika baunya ‘kuat’, enak dan berlemak ia menandakan durian itu masih segar. Sebaik-baiknya pilihlah buah yang belum merekah kerana ia menandakan buahnya masih segar.

Jika buah durian sudah matang ia selelunya mempunyai aroma yang harum dan kuat. Ramai pembeli yang gemar ‘mengambil’ bau durian dulu dengan mendekatkannya pada hidung. Jika baunya tidak kuat, ia bermakna durian itu belum masak sepenuhnya dan perlu diperam.

(Gambar: Pexels)


6. Duri

Pastikan duri durian keras. Cuba tekan dengan jari perlahan-lahan dan jika buah itu sudah lama, durinya lembut. Kalau masih baharu, ia keras. Sebaiknya-baiknya pilihlah durian yang durinya pendek dan jarang,dan mudah dibuka, selalunya jenis ini juga mempunyai isi yang padatmanis dan enak.

7. Tangkai

Ramai yang gemar memilih durian berdasarkan warna, saiz dan baunya. Menurut penjual durian, jika tangkainya panjang ia selalunya menghasilkan durian yang bermutu. Ingin tahu betul atau tidak, lain kali apabila ingin membeli durian, cubalah pilih tangkai durian yang panjang dan lihat sendiri sama ada isinya gebu dan manis.

Durian yang mempunyai tangkai yang tebal dan pendek dikatakan mempunyai isi yang banyak dan tebal. Sementara yang bertangkai panjang dan kurus pula menandakan buah itu mempunyai isi yang sedikit dan tidak tebal.

(Gambar: Pexels)


8. Warna

Setelah membuat pilihan durian, mintalah penjual untuk belah durian untuk rasa dan lihat isi di dalamnya. Jika kurang elok, minta ia ditukar. Ada kalanya walaupuan kulit durian berwarna kuning ia tidak semestinya isinya juga sama warna kuning. Oleh itu penting untuk periksa sebelum beli.

9. Musim

Beli durian juga mengikut musim. Menurut penjual durian, belilah durian semasa musim panas atau kering. Elak beli semasa musim hujan dan lembap. Bagi penggemar durian, anda pasti ingin rasa puas bila menikmatinya. Pilihlah jenis yang bermutu. Walaupun harganya mahal sedikit yang pastinya ianya berbaloi dan rasanya tidak mengecewakan!

10. Belah lima

Cuba lihat dibawah durian ada berapa belahan. Selalunya antara 5-5 belah. Menurut penjual durian, cubalah pilih yang mempunyai belah lima kerana selalunya isinya adalah lebih banyak



4 PENCUCI MULUT DURIAN

Selain dimakan mentah, durian juga sering dijadikan sebagai bahan untuk sajian pencuci mulut. Yang pasti setibanya musim durian, pelbagai sajian yang boleh dicuba dengan buah yang digelar raja segala buah-buahan ini. Penggemar durian bukan hanya boleh menikmatinya begitu sahaja tapi juga menjadikannya sebagai salah satu bahan dalam pelbagai resipi pencuci mulut.

Antaranya, kek, kuih muih, sajian ringan selain lauk pauk yang berasaskan durian. Tidak kira apa juga jenis durian yang digunakan, Musang King atau D24 dan sebagainya, dengan sentuhan yang kreatif cita rasanya pasti dapat dipelbagaikan. Antaranya:

(Gambar: Pexels)


Crepe durian

Pencuci mulut ini pastinya menjadi pilihan mereka yang gemar manisan. Ia diperbuat dari kulit lempeng dan inti atau didalamnya diletakkan krim dan juga isi durian.

Cendol

Pencuci mulut yang tidak asing lagi bagi ramai. Kini mudah untuk mendapatkan pencuci mulut ini. Tidak perlu ikut musim untuk dapat menikmati cendol durian. Bagi penggemar durian anda pasti akan memilih cendol yang berasaskan santan, gula melaka den durian kegemaran anda!

Serawa

Pencuci mulut ini juga merupakan antara yang menjadi pilihan peminat durian. Serawa durian boleh dinikmati begitu sahaja atau digandingkan dengan pulut dan sebagainya.

(Gambar: Unsplash)

Durian goreng

Ada yang mendapatinya pelik tapi ramai juga yang gemar menikmatinya. Cara untuk membuatnya mudah, anda hanya perlukan campuran tepung goreng serba guna sebelum menggorengnya. Sesuai untuk sajian pagi dan teh petang dan disajikan selagi hangat.

Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita