Skip to main content

Gaya Hidup

Ini 10 makanan wajib ada dalam diet untuk minda yang positif dan emosi stabil

Anggaran Waktu Membaca:
Ini 10 makanan wajib ada dalam diet untuk minda yang positif dan emosi stabil
Gambar hiasan memasak di dapur. (Gambar: Pexels)
SINGAPURA: Dalam melalui jadual yang sibuk dan padat, selain sering mengejar masa setiap hari, ramai antara kita yang pasti ingin mencari cara untuk berasa lebih tenang, ceria dan kekal bertenaga.

Selain sering bersenam, bermeditasi, melancong atau meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan untuk beriadah, anda juga boleh menemui ketenangan melalui makanan.

Kajian sains menunjukkan bahawa apa yang kita makan sebenarnya boleh memberi kesan besar terhadap mood dan kesejahteraan mental kita. Walaupun banyak perkara dalam hidup berada di luar kawalan kita, pilihan makanan tetap di tangan sendiri.
Related article image
Gambar hiasan seorang wanita menikmati hidangan. (Gambar: Pexels)
Pemakanan yang seimbang dan kaya dengan khasiat bukan sahaja baik untuk kesihatan fizikal, ia juga penting untuk keseimbangan emosi. Sesetengah makanan mengandungi bahan semula jadi yang membantu otak menghasilkan hormon kebahagiaan seperti serotonin dan dopamin, yang mampu menjadikan kita lebih ceria, tenang dan berfikiran positif.

Pada masa yang sama, tabiat makan yang sihat secara konsisten juga bukan sahaja dapat memberi keceriaan dan tenaga kepada tubuh, malah membantu menstabilkan emosi serta meningkatkan tumpuan dan daya ingatan.

Kajian juga menunjukkan bahawa buah-buahan dan sayur-sayuran merupakan antara makanan terbaik yang dapat membantu meningkatkan mood. Individu yang mengambil lebih banyak buah dan sayur pada setiap hari didapati berasa lebih ceria dan sejahtera. Menariknya, rasa bahagia itu juga boleh kekal hingga ke hari berikutnya.

Sementara itu, makanan yang mengandungi banyak gula dan yang diproses secara berlebihan merupakan antara yang sering dikaitkan dengan gangguan mood selain peningkatan tahap tekanan. Malah, pengambilan daging merah secara berlebihan juga turut dikaitkan dengan tekanan psikologi.

Namun demikian, jika kita bijak membuat sedikit perubahan dalam corak pemakanan, ia dapat membantu diri menjadi lebih tenang, bertenaga dan positif. Berdasarkan satu kajian saintifik, pelbagai jenis makanan didapati berkesan dalam mempengaruhi emosi dan dapat meningkatkan kesihatan mental.

10 MAKANAN BAIK UNTUK MINDAH, EMOSI

1. Sayuran hijau
Related article image
Sayuran hijau.
Bayam, kailan, kangkung dan pelbagai sayuran hijau lain mempunyai kandungan folat, zat besi, magnesium serta omega yang tinggi. Semua ini penting untuk keseimbangan kimia dalam otak dan juga baik untuk kesihatan mental.

2. Buah sitrus
Related article image
Buah sitrus. (Gambar: Unsplash)
Selain diperkaya dengan vitamin C, bau segar daripada buah-buahan sitrus seperti oren dan limau juga mampu meningkatkan tenaga dan rasa ceria. Kajian menunjukkan bahawa aroma sitrus boleh merangsang sistem saraf parasimpatetik yang menenangkan minda dan memberi rasa segar.

3. Beri biru
Related article image
Beri biru. (Gambar: Pexels)
Buah kecil berwarna ungu ini sarat dengan flavonoid iaitu sebatian tumbuhan yang membantu melancarkan aliran darah ke bahagian otak untuk mengawal emosi. Kajian menunjukkan bahawa hanya dua jam selepas meminum jus beri biru, ia boleh menunjukkan peningkatan mood yang ketara.

4. Kunyit
Related article image
Serbuk kunyit. (Gambar: Unsplash)
Bahan biasa dalam masakan seharian ini mengandungi kurkumin, bahan aktif yang dikaitkan dengan peningkatan fungsi otak dan pengurangan simptom kemurungan serta kebimbangan. Beberapa kajian mendapati bahawa pengambilan suplemen kurkumin secara tetap boleh memperbaiki mood dan memberi kesan yang serupa dengan ubat penstabil emosi ringan.

5. Coklat gelap
Related article image
Coklat gelap. (Gambar: Unsplash)
Berita baik untuk penggemar coklat! 'Dark chocolate' atau coklat gelap mengandungi sebatian psikoaktif yang merangsang pengeluaran endorfin, sejenis bahan kimia yang menjadikan kita berasa senang dan puas. Menurut kajian, mereka yang mengambil coklat gelap secara berkala mempunyai risiko kemurungan 70 peratus lebih rendah berbanding mereka yang tidak makan coklat langsung. Namun, elakkan coklat susu kerana kandungan gulanya terlalu tinggi.

6. Makanan ditapai
Related article image
Tempe. (Gambar: Pexels)
Yogurt, tempe, kimchi dan makanan lain yang ditapai atau yang melalui proses 'fermentation' kaya dengan probiotik yang menyokong kesihatan usus. Hubungan antara usus dan otak ternyata sangat rapat. Usus yang sihat boleh mengurangkan isyarat tekanan yang dihantar ke otak. Kajian mendapati mereka yang mengambil lebih banyak makanan ditapai didapati kurang mengalami kebimbangan sosial.

7. Kekacang
Related article image
Kekacang. (Gambar: Pexels)
Kacang merah, kacang hitam dan pelbagai jenis kekacang diperkaya dengan magnesium serta folat. Selain itu ia mempunyai gabungan penting untuk membantu penghasilan serotonin dalam otak.
Menurut kajian, individu yang kerap mengambil kekacang cenderung mengalami simptom kemurungan dengan lebih jarang.

Antaranya, walnut yang merupakan sumber asid lemak omega-3 yang baik untuk otak. Kajian juga mendapati lebih 26,000 dewasa yang makan segenggam walnut setiap hari berasa lebih bertenaga dan positif selain kurang rasa putus asa, terutamanya dalam kalangan wanita.

8. Makanan laut
Related article image
Tuna. (Gambar: Pexels)
Ikan berlemak seperti salmon, tuna dan sardin dikenali sebagai makanan untuk minda. Kandungan omega-3 yang tinggi membantu mengurangkan keradangan dalam otak dan mencegah gangguan kemurungan.

9. Kacang dhal
Related article image
Kacang dhal.
Ia bukan sahaja murah dan mengenyangkan, malah kaya dengan magnesium dan mineral yang penting untuk mengawal tindak balas tubuh terhadap tekanan. Kekurangan magnesium sering dikaitkan dengan kebimbangan, mudah marah, keletihan dan gangguan tidur.

10. Air
Related article image
Air. (Gambar: Pexels)
Ramai yang sering terlepas pandang tentang kepentingan air. Kekurangan air boleh menyebabkan keletihan, sukar menumpu perhatian dan peningkatan tahap kebimbangan. Kajian menunjukkan bahawa individu yang meningkatkan pengambilan air harian berasa lebih bertenaga dan kurang mengantuk, manakala mereka yang mengurangkannya menjadi lebih mudah marah dan gelisah.

PILIHAN BIJAK

Ternyata terdapat pelbagai makanan seharian yang boleh membantu untuk tingkatkan semangat. Tapi, ada juga yang boleh menurunkannya. Antaranya, diet yang tinggi gula, makanan proses dan lemak tepu boleh tingkatkan risiko kemurungan dan kebimbangan. Oleh itu, sebelum menikmati sesuatu sajian, pastikan ia adalah pemilihan yang bijak dan cuba untuk amalkan keseimbangan dalam diet seharian anda.

Hadkan pengambilan gula tambahan begitu juga dengan kafein. Jika mengambilnya terlalu banyak ia boleh mengganggu tidur dan membuat anda rasa resah. Pada masa yang sama, cuba elak menikmati daging merah setiap hari. Dua hidangan seminggu sudah memadai.

Percayalah kunci kepada kebahagiaan tidak semestinya datang daripada perkara besar, kadangkala ia bermula di meja makan. Dengan memilih makanan yang sihat, berwarna-warni dan penuh nutrien, kita bukan sahaja dapat menjaga tubuh, tetapi juga membantu otak untuk berfungsi dengan lebih baik dan stabil secara emosi.

Jadi, pada hujung minggu ini, jika anda sedang merancang menu, pastikan untuk membuat pilihan makanan yang bukan sahaja mengenyangkan, tetapi juga mampu menyalakan semula rasa bahagia dan ceria dari dalam. Ingat - ‘anda adalah apa yang anda makan dan mungkin juga apa yang anda rasa'.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita