Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Ini 10 cara pilih durian yang 'kaw-kaw'...

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Berita baik buat penggemar durian. Musim durian belum habis lagI!

Raja buah ini masih jelas kelihatan dan laris di jual di kedai-kedai buah dengan harga dan saiz yang berbeza-beza, bergantung kepada berat dan jenis durian.

Walaupun harga sebiji durian premium seperti Mao Shan Wang atau Musang King agak mahal sedikit daripada yang lain, ia tetap menjadi pilihan ramai terutamanya penggemar durian yang inginkan kepuasan apabila menikmatinya.
TIP PILIH DURIAN

Setiap durian berbeza-beza dari segi rasa, jenis, asal usul dan saiz. Yang mana satu mempunyai isi padat, rasa manis, masam, kelat dan sebagainya? Agar anda tidak tersalah beli, cuba cara-cara ini.
Aroma

Semasa menghidu aromanya, cuba dapatkan durian yang baunya manis dengan kombinasi aura pahit. Durian jenis ini dikatakan sukar untuk membuat anda rasa muak kerana rasanya juga tidak terlampau manis.

Berat

Pasti ramai yang tidak tahu bahawa semakin ringan buah durian, semakin banyak isinya. Semasa memilih durian, jika terdapat dua biji durian yang sama saiznya, pilihlah yang paling ringan.
Bentuk

Rata-rata durian yang berbentuk bulat dikatakan mempunyai isi yang banyak jika dibandingkan dengan durian yang bentuknya lonjong.

Tangkai

Selain bentuk dan berat durian, perhatikan juga tangkainya. Jika tangkainya pendek dan tebal ia dikatakan mempunyai isi yang banyak dan tebal. Elakkan daripada membeli durian yang tidak mempunyai tangkai atau jika tangkainya kering dan sudah terpotong.
Bunyi

Perasan atau tidak, ada juga yang suka ‘mengetuk-mengetuk’ durian semasa ingin membuat pilihan. Katanya jika inginkan isi yang baik, semasa ketuk durian pastikan bunyinya padat.

Duri

Perhatikan bentuk duri durian. Anda digalakkan untuk memilih durian yang durinya pendek dan jarang jika inginkan isi yang padat.
Juring

Pilihlah durian yang berjuring lima kerana ia dikatakan paling ideal jika anda inginkan isi yang banyak dan saiz besar. Semakin banyak juringnya, isinya juga semakin kecil.

Kulit

Jika inginkan rasa durian yang lebih segar, pilih durian yang belum dikopek. Beri tumpuan pada keadaan kulitnya dan pastikan ia tidak merekah. Jika terdapat tompok atau bintik hitam, ia menandakan isi di dalamnya sudah busuk atau tidak segar.

Musim

Akhir sekali, jika anda teringin nak makan durian, belilah ketika musim panas atau kering. Elak membelinya semasa musim hujan atau lembap.

KHASIAT DURIAN UNTUK KESIHATAN

Musim durian sering dinanti-nantikan oleh penggemarnya. Namun ada juga golongan yang tidak suka menikmati durian dan kurang senang dengan bau dan rasanya yang menusuk. Namun, hakikatnya raja buah ini juga didapati mengandungi pelbagai kebaikan dan khasiat untuk kesihatan dalaman.

Apa pun, walaupun ia diperkaya dengan pelbagai khasiat, pastikan juga untuk menikmatinya secara sederhana.

Khasiat

Baik untuk kesihatan tulang dan gigi. Buah durian diperkaya dengan vitamin B6, B1 dan B2 selain kalsium dan kalium. Selain itu ia juga mengandungi vitamin B6 yang dapat menghasilkan serotonin yang berkesan dalam mengatasi masalah tekanan.

Tenaga

Menarik, durian dapat membantu menyalurkan lebih banyak tenaga kepada tubuh serta merta selepas menikmatinya. Anda hanya perlu menikmati 100gm buah durian untuk memperoleh 21 peratus karbohidrat yang diperlukan oleh tubuh.
Awet muda

Nak tampil lebih muda dari usia? Durian didapati mempunyai khasiat vitamin C yang tinggi. Kehadiran vitamin C dapat melambatkan proses penuaan pada kulit wajah dan tubuh.

Kandungan sulfur

Tubuh akan menjadi panas secara semula jadi apabila anda menikmati durian kerana adanya sulfur dalam buah ini. Sulfur sifatnya panas. Sebab itulah jika sesiapa makan durian, tubuh akan mudah menjadi panas. Jika menikatmatinya dalam jumlah yang berlebihan anda digalakkan untuk minum banyak air agar tidak sakit tekak atau batuk.
Bakar lemak

Jika ada dalam kalangan anda yang makan durian sampai berpeluh-peluh, ia menandakan sulfur asli yang hadir dalam durian sedang aktif. Ia bukan sahaja dapat membantu meningkatkan haba dalam tubuh, tapi juga membantu untuk membakar lemak degil, membuat anda lebih langsing.

Sistem pencernaan yang sihat

Kandungan serat yang tinggi dalam buah ini membantu untuk memastikan sistem percenaan baik dan lancar.
Sumber : BERITA Mediacorp//fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan