Skip to main content

Gaya Hidup

Ingin turunkan berat badan? Cuba kurangkan dua bahan ini dalam diet seharian …

Bagi yang sedang berusaha untuk menurunkan berat badan, anda mungkin pernah mendapat nasihat untuk menjaga diet selain menghadkan pengambilan gula serta kurangkan garam dalam pemakanan seharian.

Anggaran Waktu Membaca:
Ingin turunkan berat badan? Cuba kurangkan dua bahan ini dalam diet seharian …

Mengurangkan jumlah gula dan garam secara perlahan-lahan dapat membantu menurunkan berat badan. (Gambar: Sumber web)

SINGAPURA: Bagi yang sedang berusaha untuk menurunkan berat badan, anda mungkin pernah mendapat nasihat untuk menjaga diet selain menghadkan pengambilan gula serta kurangkan garam dalam pemakanan seharian. Tapi, mungkin ada yang masih kurang pasti dan tertanya-tanya sejauh mana cara ini berkesan?

Menurut kajian, cara ini dapat membantu tapi jika ia dilakukan dengan cara yang betul dan konsisten. Mulakan secara perlahan-lahan atau bertahap. Apa yang pasti, anda tidak perlu menghapuskan terus dua bahan ini dalam diet atau masakan seharian, sebaliknya belajar untuk mengawal pengambilannya.

Mengurangkan jumlah gula dan garam secara perlahan-lahan bukan sahaja dapat membantu untuk menurunkan berat badan, ia juga boleh memperbaiki kesihatan secara menyeluruh. Tahukah anda, apabila terdapat gula yang berlebihan dalam tubuh, ia akan disimpan sebagai lemak dan boleh menjadi antara punca obesiti.

Apabila kita kerap dan berterusan mengambil makanan yang terlalu manis dan masin setiap hari, tubuh boleh menghidap penyakit kronik seperti kencing manis, kerosakan buah pinggang, masalah jantung dan sebagainya.

Selain gula, garam atau sodium juga merupakan mineral penting untuk keseimbangan air dalam tubuh. Tetapi, jika ia diambil terlalu banyak dalam sajian seharian, garam juga boleh menyebabkan tekanan darah tinggi serta tingkatkan risiko serangan jantung, angin ahmar dan masalah buah pinggang.
Related article image
Ramai yang mengambil dua kali ganda kadar garam yang disarankan setiap hari, tanpa disedari. (Gambar: Pexels)
Kajian mendapati rata-rata ramai di antara kita mengambil dua kali ganda kadar garam yang disarankan setiap hari, tanpa disedari. Garam ini bukan sahaja diperolehi dari sajian yang dimasak, tapi dari bahan dan makanan sampingan yang lain. Contohnya, makanan segera, sosej, kerepek, snek dan banyak yang lain.

Walaupun kedua-dua rasa manis dan masin diperlukan untuk mencipta rasa dalam setiap sajian dan masakan. Sebenarnya ia boleh digantikan dengan bahan asli yang bebas gula dan garam.

Antaranya, bahan seperti Stevia yang berasal dari daun pokok Stevia. Dalam zaman yang serba moden ini, Stevia mudah didapati di pasaran.

Ia adalah pengganti untuk pemanis atau gula yang mempunyai nilai kalori yang lebih rendah. Selain Stevia, madu dan gula perang juga adalah alternatif manisan yang baik untuk digunakan dalam diet seharian.
Related article image
Campuran rempah-ratus boleh digunakan sebagai pengganti garam. (Gambar: Pexels)
Untuk pengganti garam pula, anda boleh menggunakan campuran rempah-ratus selain bahan seperti perahan air lemon, limau nipis, bawang putih, bawang besar dan sebagainya. Malah, menggunakan bahan semula jadi untuk mendapatkan rasa yang lebih 'oomph' dalam masakan adalah pilihan yang lebih sihat dan terbaik.

Ia juga tidak berisiko untuk kesihatan diri kerana makanan segar dan bahan semula jadi mempunyai nilai kesihatan yang lebih tinggi berbanding dengan makanan yang diproses.

GARAM DAN GULA

Mengurangkan kadar penggunaan garam dalam masakan seharian tidaklah sukar seperti yang digambarkan oleh ramai. Sebaliknya, ia adalah perkara yang mudah. Sebagai permulaan, anda hanya perlu campurkan jumlah garam yang paling minimum ke dalam masakan.
Related article image
Paras gula darah bergantung kepada jenis makanan yang dimakan. (Gambar: Unsplash)
Contohnya, jika anda seorang penggemar keju, cubalah alternatif untuk gunakan keju yang tidak bergaram dalam sajian. Selain itu, elak daripada terlalu bergantung pada makanan-makanan instant atau sajian segera yang sudah siap untuk dimakan yang selalunya mengandungi kuantiti perasa dan garam yang sangat tinggi.

Selain garam, jika kita juga kerap menikmati makanan dan minuman manis ia juga boleh tingkatkan risiko untuk menghidap penyakit kencing manis atau diabetes. Pola pemakanan tinggi gula selalunya dikaitkan dengan peningkatan paras gula dalam darah dan masalah rintangan insulin.

Namun begitu, jika anda bijak mengurangkan sajian dan minuman manis, ia juga dapat membantu menstabilkan paras gula darah. Lebih awal anda mula, lebih baik kesannya terhadap kesihatan jangka panjang.

Makanan manis bukan sahaja tinggi kandungan gula, tetapi juga biasanya sarat dengan kalori dan kurang zat pemakanan. Dengan mengurangkan gula dan menggantikannya dengan makanan tinggi protein serta serat, anda bukan sahaja dapat menurunkan berat badan, malah lebih mudah mengekalkan berat badan yang ideal. Ini digandingkan pula dengan senaman ringan secara berkala, hasilnya pasti lebih berkesan,

Gula berlebihan bukan sekadar menjadi ancaman kepada paras gula darah, ia juga akan menjejas kesihatan mulut. Kajian menunjukkan pengambilan makanan manis seperti snek, manisan dan kuih-muih adalah antara punca utama berat badan berganda, gigi berlubang selain penyakit gusi dalam kalangan kanak-kanak mahupun dewasa.

Jika anda seorang yang gemar manisan, cubalah untuk mengurangkan pengambilan gula dalam diet harian. Ia bukan sahaja dapat menjaga kesihatan jantung, tapi juga mengurangkan risiko penyakit kronik yang lain.
Related article image
Pengambilan gula boleh mendatangkan kesan terhadap kesihatan jantung. (Gambar: Pexels)
Perlu ingat kesihatan jantung bukanlah isu yang hanya melibatkan warga emas. Sebaliknya, ia perlu diberi perhatian sejak usia muda lagi. Sebagai permulaan, cuba ubah diet pemakanan anda secara bertahap dengan mengurangkan pengambilan dua bahan ini gula dan garam.


ELAK PERUBAHAN DRASTIK

Dalam percubaan untuk kurangkan garam dan gula demi kesihatan, ia juga tidak bermakna anda perlu melakukannya secara mendadak. Usah terus menghentikan pengambilan gula dan garam sepenuhnya.

Mulakan dengan langkah kecil. Contohnya, kurangkan sedikit garam dalam masakan dan gula dalam minuman secara berperingkat. Selain itu, pilihlah snek atau cemilan yang lebih sihat serta lebihkan pengambilan air kosong.
Related article image
Kesedaran untuk menjaga pemakanan adalah permulaan kepada gaya hidup yang lebih sihat. (Gambar: Pexels)
Tubuh anda akan berterima kasih kelak. Kesedaran untuk menjaga pemakanan adalah permulaan kepada gaya hidup yang lebih sihat, bertenaga dan bermutu. Apa pun yang ingin dinikmati, dengan mengurangkan pengambilan garam dan gula ia bukan sahaja dapat membantu untuk menurunkan berat badan, tapi juga memperbaiki kesihatan tubuh secara keseluruhan.

Walaupun ia mengambil masa, percayalah perubahan ini mampu untuk memberikan pelbagai manfaat kesihatan yang ketara untuk jangka masa yang panjang jika kita mengamalkannya secara konsisten.

Tunggu apa lagi? Hujung minggu ini adalah masa yang terbaik untuk memulakan sesuatu yang baharu. Ini termasuk perubahan ke arah pemakanan yang lebih sihat. Mulakan dengan langkah yang kecil dan lihat sendiri keberkesanannya untuk jangka yang panjang.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita