Ingin tidur dalam bas? Kini terdapat 20 bas lama yang diubahsuai kepada resort baharu
(Gambar: The Bus Collective)
SINGAPURA: Pernahkah anda membayangkan menginap di dalam bas semalaman?
The Bus Collective adalah sebuah resort yang baharu di tengah-tengah Changi Village, dan seperti yang disarankan oleh namanya, ia mempunyai bas yang diubah suai menjadi bilik-bilik suite mewah. Tempahan penginapan mulai 1 Disember kini sudahpun dibuka.
Walaupun kesedaran terhadap alam sekitar diutamakan di resort ini, kemewahan dan reka bentuknya tidak diabaikan.
Terdapat 20 bilik suite tetamu di The Bus Collective – masing-masing diberikan gabungan ciri-ciri menarik termasuk kaunter bilik air marmar dan pancuran mandian hujan.
Harga bilik bermula dari S$398, termasuk sarapan pagi. Terdapat pelbagai konfigurasi bilik, dengan sesetengah bilik menawarkan tab mandi yang mewah. Anda boleh melihat bilik dan membuat tempahan melalui laman web rasmi The Bus Collective.
Bagi mereka yang tertarik dengan idea tidur di dalam bilik yang dahulu merupakan sebuah mod pengangkutan, anda pasti gembira apabila mengetahui bahawa bilik-bilik itu masih mengekalkan beberapa ciri-ciri bas asal. Selain roda dan panel yang jelas, terdapat juga tempat duduk pemandu bas di dalam bilik yang boleh anda cuba – sesuatu yang anda pasti tidak boleh lakukan dalam perjalanan harian anda menaiki pengangkutan awam.
Kerjasama antara WTS Travel dengan rakan kongsinya ini adalah yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara.
Pengarah Urusan WTS Travel, Micker Sia berkata: “Dengan memperkenalkan The Bus Collective, kami mentakrifkan semula layanan mewah, dan memberi makna baharu kepada konsep mementingkan alam sekitar untuk pelancongan di Singapura.
"Melalui pemikiran inovatif dan pelaksanaan yang bijak, kami memberi nafas baharu kepada bas-bas lama, mengubahnya menjadi pengalaman yang tiada tandingan untuk tetamu kami.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.