Ingin tahu mengapa anda tidak terjangkit COVID-19?
Gambar Hiasan: Mark Marcus Ramos
KUALA LUMPUR: Walaupun terdapat sekumpulan besar individu yang pernah dijangkiti COVID-19, tanpa disedari, terdapat juga segolongan individu yang langsung tidak pernah dijangkiti.
Tanpa mengambil kira faktor vaksinasi, penjelasan paling mudah ialah mereka ini tidak pernah berdepan dengan virus itu secara langsung.
Ini kemungkinan paling biasa bagi mereka yang terlindung, seperti tidak kerap keluar rumah atau berjumpa sesiapa, lapor Astro AWANI.
Namun Lindsay Broadbent, Felo Penyelidik di Pusat Pengajian Perubatan, Pergigian dan Sains Bioperubatan, Queen's University of Belfast, memetik dari laporan CNA, menjelaskan satu teori mengenai punca terdapat satu golongan yang berjaya mengelakkan jangkitan virus tersebut.
Menurut Broadbent, walaupun mereka terdedah kepada virus, ia gagal mewujudkan jangkitan walaupun selepas virus itu masuk ke saluran pernafasan.
Ini mungkin disebabkan oleh kekurangan reseptor yang diperlukan untuk SARS-CoV-2 mendapatkan akses kepada sel.
"Apabila dijangkiti, terdapat perbezaan dalam tindak balas imun seseorang individu terhadap SARS-CoV-2 yang memainkan peranan dalam menentukan tahap gejala.
"Ada kemungkinan tindak balas imun yang cepat dan kuat boleh menghalang virus daripada mereplikasi ke tahap yang lebih teruk pada peringkat pertama.
"Keberkesanan tindak balas imun terhadap jangkitan sebahagian besarnya ditentukan oleh umur dan genetik. Gaya hidup sihat pasti membantu.
"Sebagai contoh, kita tahu bahawa kekurangan Vitamin D boleh meningkatkan risiko jangkitan tertentu.
"Tidak mendapat tidur yang cukup juga boleh memberi kesan buruk terhadap keupayaan tubuh kita untuk melawan patogen yang menyerang," katanya dalam artikel di The Conversation, terbitan CNA.
Tambah Astro AWANI lagi, para saintis yang mengkaji punca utama COVID-19 yang teruk telah mengenal pasti faktor genetik pada hampir 20 peratus kes kritikal.
Sama seperti genetik boleh menjadi salah satu faktor penentu tahap penyakit, susunan genetik juga mungkin memegang kunci kepada ketahanan terhadap jangkitan SARS-CoV-2.
Terdapat juga kemungkinan jangkitan sebelumnya dengan jenis koronavirus lain mengakibatkan imuniti reaktif silang.
Dalam hal ini, sistem imun mungkin mengenali SARS-CoV-2 sebagai serupa dengan virus yang pernah menyerang dan menggerakkan tindak balas imun.
Terdapat tujuh koronavirus yang menjangkiti manusia; empat yang menyebabkan selesema biasa dan masing-masing satu menyebabkan SARS (Sindrom Pernafasan Akut Teruk), MERS (Sindrom Pernafasan Timur Tengah) dan COVID-1, menurut Astro AWANI.
Jika anda berjaya mengelakkan jangkitan COVID-19 setakat ini, mungkin anda mempunyai imuniti semula jadi terhadap jangkitan SARS-CoV-2 atau mungkin anda sekadar bernasib baik.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.