Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Ingin kulit kekal sihat semakin usia meningkat? Amalkan rutin ini…

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Memiliki kulit yang sihat semula jadi sudah pasti menjadi dambaan semua tidak kira usia. Bukan sahaja ia dapat memberi penampilan yang lebih cantik dan bermaya, ia juga membantu untuk melambatkan proses penuaan sebelum tiba masanya.

Bergantung pada jenis kulit masing-masing, keberkesannya pasti ketara jika penjagaan kulit ini dipraktikan secara tetap. Ia bukan saja dapat menghasilkan tekstur kulit yang lebih lembut, mulus dan bermaya, tapi juga menjimatkan.

Tidak memerlukan perbelanjaan yang tinggi, yang penting harus rajin mencuba dan bijak membuat pemilihan.

12 CARA KEKALKAN KULIT CANTIK

1. Penjagaan konsisten

Penting untuk kenali jenis kulit anda. Pastikan rutin penjagaan asas yang terbaik seharian yang merangkumi pembersihan kulit dengan penggunaan toner dan pelembap.

Produk yang digunakan haruslah menepati jenis kulit anda. Amalkan rutin pagi dan malam yang konsisten untuk melihat peningkatan dalam penampilan kulit anda.
Gambar: Pexels

2. Ramuan asli

Bahan kecantikan yang digunakan dalam sesebuah produk merupakan perkara yang penting. Menurut kajian, kulit manusia menyerap 60 peratus daripada produk yang dipakai.

Oleh itu, sebelum membuat pembelian tidak kiralah produk penjagaan kulit, penjagaan rambut atau produk kecantikan, pastikan untuk membuat penyelidikan tentang ramuan yang digunakan.

Elak produk yang mengandungi bahan paraben, petrokimia serta sulfat yang boleh menjadi punca kerosakan pada kulit atau penyebab rambut kering dan sebagainya. Eloklah untuk mengunakan produk berbahan semula jadi.

Gambar: Unsplash

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Gambar: Unsplash

3. Pengelupasan

Proses ini merupakan kunci untuk kulit tampil menyerlah, sihat dan berseri.
Pengelupasan ringan membantu untuk menanggalkan sel-sel mati yang hadir di permukaan kulit. Inilah puncanya liang pori tersumbat selain hadirnya bintik hitam, jerawat serta jeragat.

Jika ingin melakukan proses pengelupasan, pilihlah skrub yang lembut. Bagi yang ingin berjimat, cubalah untuk buat skrub semula jadi sendiri. Anda boleh gunakan bahan seperti skrub kopi atau kelapa. Lakukan secara rutin, pengelupasan maksima dua kali seminggu. Hasilnya ketara, kulit tampil lebih segar dan menyerlah bersih.

4. Lindungi kulit

Krim 'sunscreen' atau tabir suria bukan satu pilihan tapi ia wajib dimiliki. UVA, UVB dan UVC sinar matahari merupakan punca utama penuaan awal yang tidak diingini.

Penggunaan krim ini dapat mencegah bintik-bintik gelap dan pigmentasi. SPF yang merupakan faktor perlindungan matahari menentukan sejauh mana ia dapat melindungi kulit anda. Pakar dermatologi mengesyorkan untuk memakai krim SPF 30 minima sebelum melangkah keluar.
Gambar: Unsplash
5. Kurangkan tekanan

Dalam kehidupan seharian ramai mempunyai jadual yang sangat padat. Akibatnya, tekanan akan datang secara semula jadi.

Tekanan yang tidak terkawal menjadi punca seperti sakit kepala dan hipertensi. Selain itu, ia juga boleh menyebabkan jerawat, keguguran rambut atau rambut beruban sebelum tiba masanya. Ini adalah hanya beberapa kesan tekanan yang teruk.

Anda boleh mencari cara untuk menguruskan diri dari tekanan hidup. Pastikan minuman air yang secukupya atau tenangkan minda dengan secawan teh panas dari masa ke semasa.

6. Minuman teh

Teh hijau sering dikaitkan dengan kecantikan luaran dan dalaman. Ia merupakan minuman sihat yang diperkaya dengan nutrien selain antioksidan yang sangat tinggi dan bermanfaat kepada tubuh. Kandungan catechins merupakan antioksidan yang menghalang kerosakan sel.

Ia membantu peredaran darah, mengurangkan kolesterol selain tekanan darah dan meningkatkan kesihatan kulit. Sekaligus ia juga dapat turunkan berat badan dengan mengurangkan penyerapan lemak. Cubalah biasakan diri dengan minuman teh hijau dan lihat sendiri keberkesanannya.
Gambar: Unsplash
7. Makanan berzat

Ungkapan ‘anda adalah apa yang anda makan’ adalah sangat tepat. Pastikan untuk menikmati sajian sihat seberapa yang boleh.

Pastikan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran dalam pemakanan harian anda selain makanan yang kaya dengan asid lemak Omega-3 dan yang tinggi dalam protein seperti telur, ayam, kacang dan keju. Diet yang sihat akan membuat anda lebih berseri dan sihat dari dalam dengan memberikan kesihatan yang diperlukan.
Gambar: Unsplash
8. Tidur secukupnya

Tidur malam yang baik berjalan seiring dengan bagaimana rupa dan perasaan anda. Ini penting kerana setiap tubuh akan membaiki dirinya semasa sedang tidur. Anggaran enam hingga lapan jam tidur bermutu adalah penting untuk anda bangun dan berasa hebat.

Bila mendapat tidur secukupnya, anda juga akan menikmati kulit yang lebih berseri, mengawal lingkaran gelap di bawah mata dan melewatkan proses penuaan. Kulit menghasilkan kolagen baru apabila anda tidur. Elakkan daripada berfikir panjang atau biarkan mengganggu waktu tidur kecantikan anda. Selain itu, usah asyik melihat telefon bimbit sebelum tidur kerana cahayanya juga akan menjejas kesihatan kulit anda.
Gambar: Unsplash
9. Bantal

Tahukah anda tidur di atas sarung bantal dari fabrik sutera sangat baik untuk wajah dan rambut. Apa kaitannya bantal dengan kesihatan kulit tanya anda? Ia membantu kulit kekal sihat, licin dan boleh mengurangkan penampilan garis-garis halus selain kedutan pada wajah. Sutera juga secara semula jadi tahan kepada hama habuk dan alergi lain.
Gambar: Unsplash
10. Beriadah

Senaman adalah sangat penting dan baik untuk kesihatan fizikal mahupun mental. Tidak kira sama ada ke gim, berlari-lari anak, berjalan pantas, berenang, yoga dan sebagainya, pastikan untuk lakukan secara konsisten.

Secara saintifik, terbukti sudah aktiviti fizikal dapat manfaatkan kulit selain tingkatkan mood anda. Ia bantu untuk meningkatkan peredaran darah selain jumlah oksigen, menghilangkan toksin, memberikan rangsangkan endorfin yang mengurangkan tekanan dan dapat menenangkan seluruh tubuh, termasuk kulit anda.
Gambar: Unsplash
11. Urutan wajah

Amalkan untuk urut muka setiap hari. Ia dikatakan dapat mengurangkan penampilan garis halus membuatnya tampil lebih sihat dan berseri. Anda boleh gunakan losen atau minyak kelapa untuk melembapkan kulit sambil mengurutnya.
Gambar: Unsplash
12. 'Topengkan' wajah

Berdasarkan jenis kulit anda, cuba gunakan 'masker' buat sendiri seperti madu, lidah buaya, telur, tairu, bijirin oat atau buah-buahan. Ia merupakan pilihan bahan yang sangat popular untuk masker buat sendiri.
Gambar: Unsplash
Sumber : BERITA Mediacorp/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan