Skip to main content

Gaya Hidup

Ingin kawal berat badan? Boleh cuba 5 tip ini...

Cuba anda fikirkan berapa banyak gula yang ada dalam makanan dan minuman anda setiap hari.

Anggaran Waktu Membaca:
Ingin kawal berat badan? Boleh cuba 5 tip ini...

(Gambar: Unsplash)

Diterbitkan : 26 Mar 2022 08:26PM

KUALA LUMPUR: Cuba anda fikirkan berapa banyak gula yang ada dalam makanan dan minuman anda setiap hari.

Usai bangun pagi sahaja, ada yang sudah mula mencapai roti yang disapu gula ataupun air kopi yang ditambah gula.

Ini belum lagi masuk waktu makan tengah hari atau makan malam.

Bagi yang ingin menurunkan berat badan, sebaiknya anda boleh mulakan dengan mengurangkan atau berhenti terus minum minuman manis.

Berikut lima tip yang dikongsi oleh rencana MASKULIN seperti dinukil Astro AWANI bagi mereka yang ingin mengurangkan pengambilan gula dan mengawal berat badan.

GANTIKAN DENGAN AIR KOSONG

Sebaiknya, anda digalakkan untuk menggantikan minuman manis dengan minum air kosong.

Air manis seperti minuman bergas, air sirap dan kordial mempunyai kandungan gula yang sangat tinggi.

Air kosong pula tidak mengandungi gula dan kalori berbanding minuman manis yang lain.

Sebagai contoh, satu tin air bergas mengandungi kira-kira tujuh sudu teh gula. Satu sudu teh gula pula membekalkan 20 kilokalori.

Oleh itu, satu tin air bergas akan membekalkan sebanyak 140 kilokalori.

Sekiranya seseorang mengambil tiga tin minuman bergas setiap hari, jumlah kalori itu adalah sebanyak 420 kilokalori.

HADKAN PENGAMBILAN

Tidak dapat dinafikan sesetengah minuman berasa lebih sedap jika ditambah gula atau susu pekat.

Jika anda mahu menambah bahan-bahan itu, ambillah dalam kuantiti berpatutan dan sedikit sebanyak 1 sudu teh sahaja.

KURANGKAN DALAM MASAKAN

Satu lagi cara yang dapat bantu mengurangkan pengambilan gula seseorang adalah dengan tidak mencampurkannya ke dalam masakan, seperti dinukil Astro AWANI.

Gula merupakan salah satu bahan utama dalam masakan seperti kuih-muih dan kek.

Contohnya bagi menyediakan lapan biji kek cawan cip coklat, kira-kira 100 gram gula diperlukan.

Justeru, anda boleh kurangkan sukatan gula sebanyak sepertiga daripada sukatan biasa.

Selain itu, anda juga boleh elakkan daripada menambah hiasan manis-manisan pada kek cawan. Gunakan sahaja buah-buahan sebagai hiasan.

MINUMAN SAMPINGAN

Rasa mengidam untuk minum minuman manis memang sesuatu yang biasa jika kita sentiasa mengamalkan pengambilan minuman sedemikian, seperti dinukil Astro AWANI.

Sebaiknya, elakkan makanan dan minuman bergula antara hidangan utama dengan sebelum waktu tidur.

Pengambilan kudapan iaitu makan antara waktu makan utama berupaya meningkatkan pengambilan tenaga harian.

Malah, kajian menunjukkan bahawa gula yang terkandung dalam kudapan merupakan penyumbang utama kepada peningkatan pengambilan tenaga itu.

GANTIKAN PENCUCI MULUT DENGAN BUAH-BUAHAN

Kuih muih, kek dan bubur mengandungi gula dan kalori yang tinggi berbanding buah-buahan.

Justeru, gantikan kudapan yang tinggi kandungan gula dengan snek yang sihat bagi mengurangkan pengambilan kalori harian.

Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita