Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Ingin hari anda lebih produktif, bersemangat? Jangan tinggalkan sarapan; ini sebabnya...

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Ada pepatah Inggeris yang berbunyi: "Breakfast like a king; lunch like a prince; dinner like a pauper". Yang bermaksud sarapan seperti seorang raja; makan tengah hari seperti seorang putera; makan malam seperti seorang papa kedana.

Daripada pepatah itu, dapat dirumuskan bahawa sarapan pagi merupakan waktu makan yang paling dititikberatkan.

Bukan sahaja ia dapat memberi tenaga dan kecergasan mental, ia juga dapat mengekalkan tahap kesihatan yang baik, membuat anda lebih fokus, produktif dengan pemikiran yang lebih tajam.

Sarapan merupakan rutin pagi yang tidak harus diabaikan atau dilengahkan sebelum anda memulakan tugas di pejabat mahupun bekerja dari rumah, ke sekolah dan sebagainya. Tahukah anda, waktu terbaik untuk bersarapan ialah satu jam sejurus selepas bangun dari tidur.

Kandungan glukos dalam darah adalah lebih rendah apabila seseorang baru bangun dari tidur. Semasa tidur malam kita diibaratkan seperti sedang berpuasa tujuh hingga lapan jam. Oleh itu, dengan mengambil sajian pagi yang berkhasiat ia dapat membantu untuk memberikan kecergasan dan tenaga yang mencukupi agar kita dapat mulakan hari dengan lebih baik.

Bagi yang mempunyai anak-anak yang bersekolah pula, rutin untuk bersarapan pagi haruslah dipupuk sejak usia kecil lagi. Anak-anak yang sedang membesar melalui proses pembangunan fizikal dan mental. Lantas, otak yang sedang berkembang memerlukan zat makanan yang secukupnya. Oleh itu, penting untuk menitik beratkan rutin bersarapan pagi sebelum ke sekolah pada usia awal agar ia menjadi satu kebiasaan.

Namun ramai juga yang malas untuk bersarapan kerana takut perut akan mula sakit bila makan awal pagi atau takut tidak cukup masa untuk bersiap ke pejabat dan sekolah jika perlu siapkan sarapan.
Pada hal anda tidak perlu menikmati pelbagai sajian di atas meja untuk bersarapan, dengan adanya roti atau bijirin yang berkhasiat ia sudah mencukupi.

Elak daripada menikmati manisan, makanan berminyak atau nasi yang membuat tubuh berasa berat. Sebaik-baiknya sajian yang diambil harus mengandungi protein yang berfungsi untuk membina tisu-tisu dalam tubuh dan sekali gus dapat membekalkan khasiat.

BERAT BADAN TERKAWAL

Bukan setakat isi perut atau membuat anda lebih fokus, malah sarapan pagi secara tetap juga berupaya memberi tubuh tenaga untuk melaksanakan pelbagai aktiviti sepanjang hari. Ia mampu meningkatkan tumpuan dan gerak kerja anda. Yang menariknya, ia juga dapat membantu untuk turunkan kadar kolesterol.

Jangan takut berat badan akan naik atau tubuh akan mengembang seperti belon apabila anda mengambil sarapan pagi. Percayalah sarapan tidak akan membuat anda gemuk, kecuali jika makanan yang diambil mengandungi bahan yang kurang sihat atau jika anda menikmati nasi dan lauk pauk yang berlemak dan berminyak.

Terdapat sebahagian orang yang ingin menurunkan berat badan atau tampil kurus lalu mengelak bersarapan pagi. Menurut kajian, ia adalah satu kesilapan bagi yang berdiet untuk tidak mengambil sarapan pagi. Golongan sedemikian kononnya berasa takut jika berat badan akan berganda secara mendadak. Sebaliknya jika amalkan sarapan pagi secara tetap, berat badan akan lebih mudah dikawal berbanding dengan mereka yang tidak suka atau jarang bersarapan pagi.

Oleh itu jika selalunya anda tidak mengendahkan sarapan, mungkin sudah tiba masanya untuk cuba melakukan satu perubahan dalam rutin seharian anda. Pastinya belum terlewat lagi!

5 SAJIAN RINGKAS

Bijirin, roti, muesli atau buah-buahan kering seperti aprikot, kranberi dan kurma mudah disediakan dan tidak memerlukan anda bertungkus lumus di dapur pada awal pagi untuk menyiapkan sarapan.

Yang penting ia berkhasiat.

Apa juga pilihan anda, pastikan pengambilan yang sederhana agar ia tidak membuat perut senak gara-gara ingin memulakan pagi hari dengan rutin yang sihat. Sebagai permulaan, cuba salah satu daripada lima saranan berikut.

1. MUESLI

Muesli digemari oleh golongan dewasa dan kanak-kanak.

Gambar hiasan. (Gambar: Unsplash)

Ia lebih menyelerakan dengan gandingan tairu rendah lemak, buah-buahan segar seperti raspberi dan strawberi. Tairu rendah lemak merupakan sumber kalsium serta protein yang baik untuk tubuh.

2. BUBUR OAT

Elakkan daripada mengambil sajian yang terlalu manis kerana ia akan mudah membuat anda berasa mengantuk selang beberapa jam. Bubur oat merupakan antara sajian sihat yang bebas gula. Untuk menikmatinya anda boleh padankan dengan susu segar pilihan.

Gambar hiasan. (Gambar: Unsplash)

3. PISANG

Menikmati pisang untuk memulakan pagi hari anda merupakan alternatif yang tepat dan baik untuk menggantikan gula. Penting untuk mengelak daripada memilih pisang yang terlalu muda.

Padankan dengan wafel atau pankek, strawberi, blueberi atau kranberi kering yang diperkaya dengan vitamin C, di samping zat besi yang dapat memberi keperluan khasiat yang secukupnya untuk tubuh.

Gambar hiasan. (Gambar: Unsplash)

4. ROTI MIL PENUH ATAU WHOLEMEAL

Inilah antara sajian yang mudah membuat perut berasa kenyang sepanjang pagi.

Diperkaya dengan kandungan serat, pengambilan roti mil penuh juga dapat menjadikannya sebagai sumber tenaga tanpa menaikkan kadar gula dalam darah. Berbeza dengan roti putih biasa, roti mil penuh mempunyai kandungan gula yang lebih rendah, lantas menjadikannya sajian yang baik untuk diet seharian.

Gambar hiasan. (Gambar: Unsplash)

5. KACANG PANGGANG

Kacang rendah lemak dan merupakan sumber protein.

Begitu juga dengan roti gandum yang turut mempunyai kandungan serat yang tinggi dan kadar gula yang rendah.

Menurut pakar pemakanan, kombinasi kedua sajian itu, iaitu kacang panggang dan roti gandum, tepat dijadikan sebagai menu pagi kerana ia dapat memberi tenaga dan sangat menyihatkan.

Apa juga yang menjadi pilihan. Pastikan anda mengambilnya secara sederhana dan elak daripada makan keterlaluan!

 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan