Ingin buru Pokemon di S'pura? Kini ada pakej teksi untuk bawa anda ke sana sini
Anda peminat Pokemon? Tidak seperti Ash Ketchum, anda kini boleh menjelajah seluruh Singapura untuk memburu Pokemon dengan khidmat tempahan bas mini dan maxicab tempatan SG Cab menerusi pakej teksi yang baru dilancarkan khas bagi para peminat permainan realiti tambahan.
Pada harga S$40 sejam, SG Cab bawa anda ke lokasi utama Pokemon, termasuk di kawasan terpencil. (Gambar: SPF/Facebook)
SINGAPURA: Anda peminat Pokemon? Tidak seperti Ash Ketchum, anda kini boleh menjelajah seluruh Singapura untuk memburu Pokemon dengan khidmat tempahan bas mini dan maxicab tempatan SG Cab menerusi pakej teksi yang baru dilancarkan khas bagi para peminat permainan realiti tambahan atau lebih dikenali sebagai Augmented Reality (AR) itu.
Di bawah pakej baru berkenaan, SG Cab akan membawa para 'pelatih' Pokemon ke merata Singapura semata-mata untuk memburu Pokemon.
Anda boleh membuat tempahan bagi diri sendiri atau bersama sekumpulan 13 'pelatih' Pokemon yang lain. Setiap tempahan berharga S$40 sejam dan mesti dibuat bagi tempoh sekurang-kurangnya empat jam, tanpa mengira jumlah penumpang.
Bagi mereka yang ingin memburu Pokemon yang hanya muncul pada sebelah malam pula, SG Cab mengenakan bayaran tambahan tengah malam sebanyak S$12 bagi perjalanan antara pukul 11.30 malam hingga 7.00 pagi.
Menurut lamannya, SG Cab menyatakan khidmat yang ditawarkan meliputi "semua tompok panas utama Pokemon di negara ini" dan para pemandunya "akan menunggu sehingga anda berjaya menangkap jumlah maksimum Pokemon yang dapat ditangkap".
Antara lokasi terpencil yang boleh dikunjungi oleh para pelatih termasuk Sungei Gedong Road dan Lim Chu Kang, yang dianggap sebagai lokasi di mana terdapat jumlah besar "Pokemon jenis air, api dan tanah".
SG Cab juga sudah melancarkan pakej itu di Johor, Malaysia.
Pokemon Go menyaksikan jumlah besar pemain yang kembali ke permainan tersebut menyusuli pelancaran Pokemon Let's Go Pikachu dan Let's Go Eevee bagi Nintendo Switch pada November lalu.
Menurut The Pokemon Company, setakat Mei 2018, permainan Pokemon Go sudahpun dimuat turun lebih 800 juta kali di seluruh dunia dengan 147 juta pemain aktif setiap bulan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.