Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Ingin beli beg sekolah baru untuk si cilik? Ini antara tip yang boleh dijadikan sebagai panduan semasa membuat pilihan

Anggaran Waktu Membaca:
Ingin beli beg sekolah baru untuk si cilik? Ini antara tip yang boleh dijadikan sebagai panduan semasa membuat pilihan

Gambar hiasan: Unsplash

SINGAPURA: Pejam celik, pejam celik cuti sekolah hujung tahun bakal berakhir. Begitu cepat masa berlalu dan bagi ibu bapa yang mempunyai anak yang akan melangkah ke Darjah 1 terutamanya, mereka pasti ghairah membuat persiapan kelengkapan sekolah. Selain membeli pakaian seragam, buku dan alat tulis, beg sekolah juga merupakan antara benda yang penting untuk dimiliki.

Jika diperhatikan terdapat pelbagai jenis, jenama dan corak beg sekolah di pasaran. Semasa ingin membuat pilihan, kadang kala timbul keinginan untuk membeli mengikut citarasa dan kehendak ibu bapa. Namun untuk berlaku adil, pastikan pilihan anda adalah dengan persetujuan bersama anak.

Ini membolehkan mereka juga mendapat peluang untuk membuat pilihan yang tersendiri. Lagipun, anak yang akan memakai beg ke sekolah nanti. Apa pun pilihan, sebagai ibu bapa pastikan kita membuat pilihan yang tepat, adil dan yang bersesuaian.
Gambar hiasan: Pexels
CIRI-CIRI BEG

Apabila ingin membeli beg sekolah, penting untuk elak membuat pilihan berdasarkan warna atau corak yang cantik semata-mata. Sebaliknya, pastikan ia merupakan pilihan yang tepat demi untuk kesihatan dan kesejahteraan anak.

Terdapat pelbagai jenis beg galas yang di jual di pasaran. Setiap satu mempunyai ciri-ciri yang tersendiri. Tampil dalam pelbagai jenama, bentuk, corak dan warna yang berbeza-beza.

Cara memilih beg yang tepat bergantung kepada pelbagai faktor. Antaranya, jenis, ruang dan saiznya. Menurut pakar fisioterapi, pilihlah beg yang direka dengan dua tali penyandang yang dilapik dengan span. Ini dapat memberi kusyen keselesaan pada si cilik. Lebih baik jika beg galas ini direka dengan klip penyambung di bahagian depan.

Selain itu, pastikan ia juga direka dengan pembahagi ruang agar buku-buku dapat diatur dengan rapi jika diletakkan pada ruang yang dekat dengan tubuh si pemakai. Pada masa yang sama, saiz beg turut memainkan peranan yang penting. Bahagian atas beg harus berada di paras belikat dan bahagian bawahnya berada di lengkung pinggang. Jika ia mencecah punggung, ia menandakan beg pilihan adalah terlalu besar dan pastinya tidak sesuai untuk si pemakai.
Gambar hiasan: Pexels
Selain itu elak daripada memilih beg silang atau 'sling bag' untuk kanak-kanak. Beg jenis ini tidak sesuai kerana beratnya hanya tertumpu pada sebelah bahagian bahu sahaja. Lambat laun si pemakai tidak akan rasa selesa dan ia boleh membahayakan atau mencederakan bahu.

Bebanan tidak simetri juga boleh menyebabkan skoliosis atau tulang belakang menjadi bengkok. Beg jenis ini adalah lebih sesuai untuk golongan remaja atau mereka yang lebih berusia, di mana mereka tidak perlu membawa banyak buku ke sekolah.

Berat sesebuah beg dapat diseimbangkan pada kedua-dua belah bahu. Tapi, si pemakai harus elak daripada membawa bebanan beg yang terlalu berat. Ini penting kerana ia akan membuat mereka tidak rasa selesa kerana potongan beg yang tidak sesuai dengan postur tubuh mereka.

Lantas ia boleh memudaratkan tubuh dalam jangka yang panjang. Antaranya, ia boleh membuat tengkuk rasa sakit selain menimbulkan masalah tulang belakang seperti skoliosis dan kyphosis yang akan mengakibatkan postur tubuh melengkung ke belakang secara tidak normal.

TIP GALAS BEG

•Berat bag


Pastikan kandungan dan berat beg tidak melebihi 15 peratus daripada berat badan si pemakai. Contohnya jika berat badan si pemakai anggaran 20kg, beg yang digunakan tidak harus lebih dari 3kg.
Gambar hiasan: Pexels
Sekiranya terdapat buku atau muatan yang berlebihan untuk dibawa, bawalah di tangan atau dakap pada dada. Jika anda letakkan ke semuanya di dalam beg, dari masa ke semasa ia akan menjejas kesihatan bahu dan tulang belakang si pemakai, membuat tubuh rasa sakit dan tulang rasa sengal.

•Tali penyandang

Pendekkan tali penyandang sehingga beg rapat ke tubuh agar ia tidak kelihatan terlondeh. Ini penting untuk memastikan berat bag dapat ditampung dengan baik dan sekaligus ia dapat elakkan beg berhayun apabila si pemakai berlari atau berjalan.
Gambar hiasan: Pexels
Pilihlah tali beg yang lebar dan berlapik untuk bahu kerana ia dapat memberikan keselesaan dan melindungi bahu daripada tekanan. Elakkan daripada menggunakan hanya sebelah tali kerana ia boleh menyebabkan ketegangan tambahan pada bahagian bahu.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan