Ingin anak bijak IQ? Banyakkan berbual dengan mereka
Sentiasa berbual-bual dengan anak dikaitkan dengan kemahiran mental (IQ) lebih tinggi dan penguasaan bahasa yang lebih baik apabila si kecil mula bersekolah, menurut satu kajian baru.
Gambar hiasan. (Gambar: Teo/Facebook)
COLORADO: Sentiasa berbual-bual dengan anak dikaitkan dengan kemahiran mental (IQ) lebih tinggi dan penguasaan bahasa yang lebih baik apabila si kecil mula bersekolah, menurut satu kajian baru.
Kanak-kanak yang diberi lebih "peluang" bercakap semasa berbual dengan orang dewasa didapati secara purata mempunyai prestasi IQ lebih tinggi antara 14 peratus hingga 27 peratus, lebih memahami perbualan seseorang, dan menguasai kosa kata lebih luas.
Penulis utama kajian tersebut Cik Jill Gilkerson berkata tidak mengapa jika kanak-kanak menggunakan perkataan yang tidak betul. Apa yang lebih penting kata beliau adalah untuk memberi kanak-kanak peluang untuk berbual secara aktif dengan orang dewasa.
"Ibu bapa perlu sedar pentingnya berinteraksi dengan anak mereka yang masih kecil dan tidak semestinya sudah pandai bercakap. Lebih banyak anda berinteraksi, lebih baik," kata Cik Gilkerson, pengarah penyelidikan bahasa kanak-kanak di Yayasan LENA di Boulder, Colorado.
Kumpulan pengkaji itu menjalankan kajian mereka ke atas kanak-kanak berusia 18 bulan hingga dua tahun.
Ia mendapati, masa yang diberikan kepada kanak-kanak untuk memberi respons penting bagi penguasaan bahasa kanak-kanak tersebut.
Kanak-kanak yang sama itu kemudian melalui ujian bahasa dan kognitif apabila mereka berusia sembilan hingga 14 tahun.
Kajian mendapati bahawa kanak-kanak berusia antara 18 dengan 24 bulan yang lebih banyak diajak berbual-bual mempengaruhi IQ lebih tinggi dan kemahiran berfikir yang baik.
Bagaimanapun Cik Gilkerson berkata kajian itu tidak direka untuk memahami sebab hasil itu diperolehi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.