Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Indonesia syurga kepada lebih 250 jenis sate!

Jika anda berfikir makanan istimewa Indonesia hanya setakat rendang atau nasi goreng, anda mungkin tersilap. Satu kajian baru-baru ini mendedahkan negara itu mempunyai lebih 250 jenis sate!

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia syurga kepada lebih 250 jenis sate!

Para peniaga menjual pelbagai jenis sate di Indonesia. (Gambar hiasan: Kemal Jufri/AFP)

Diterbitkan : 12 Oct 2018 07:22PM Dikemas Kini : 20 Oct 2018 11:12PM

YOGYAKARTA: Jika anda berfikir makanan istimewa Indonesia hanya setakat rendang atau nasi goreng, anda mungkin tersilap. Satu kajian baru-baru ini mendedahkan negara itu mempunyai lebih 250 jenis sate!

Murdijati Gardjito, seorang pensyarah teknologi dan sains di Universiti Gadjah Mada (UGM), Yogyakarta, mendedahkan Indonesia mempunyai 252 macam sate - hidangan tradisional yang dihasilkan dengan kepingan-kepingan daging yang dipanggang dan dihidangkan dengan kuah kacang atau sambal dan sayur-sayuran.

Daripada jumlah itu, asal usul 175 jenis sate boleh dijejaki. Yang lain bagaimanapun masih tidak diketahui asal usulnya. Ada juga dipercayai dihasilkan daripada resipi-resipi sedia ada.

"Memandangkan terdapat beraneka jenis hidangan sate di sini, sudah pasti ia layak menjadi antara hidangan masakan istimewa Indonesia," kata Cik Murdijati dalam satu forum makanan yang dianjurkan baru-baru ini. 

Menukil hasil kajian yang dijalankan antara 2014 hingga 2017, Cik Murdijati mengatakan bahawa 175 jenis sate boleh ditemui di seluruh kepulauan Indonesia, kecuali di Lampung dan Mandar.

Sate ular yang dipanggang dengan kepala haiwan itu. (Gambar: Adek Berry/AFP)

Sate ular yang dipanggang dengan kepala haiwan itu. (Gambar: Adek Berry/AFP)

Yogyakarta merupakan kawasan di mana paling banyak jenis sate ditawarkan - iaitu sebanyak 21 jenis. Ia disusuli dengan Semarang yang menawarkan 12 jenis, Bali dan Pekalongan di mana kedua-dua daerah mempunyai 11 jenis sate yang dijual, lapor The Jakarta Post.

Dari segi bahan-bahan yang digunakan, daging kekal sebagai pilihan ramai, di mana daging lembu yang paling popular dalam kalangan penduduk, diikuti dengan sate ayam dan kambing.

Rempah-ratus yang lazimnya digunakan pula adalah garam, bawang putih, bawang merah, ketumbar dan gula kelapa.

Kuah kacang pula menjadi hidangan sampingan pilihan ramai yang juga gemar memakan hidangan sate dengan sos kicap, hirisan bawang, cili, tomato dan bawang goreng.

Cik Murdijati, yang juga seorang penyelidik di Pusat Kajian Nutrisi dan Makanan universiti itu, memberitahu The Jakarta Post, beliau mendapati jenis-jenis sate baru yang dihasilkan menggunakan daging atau sayur-sayuran yang dimasak menggunakan rempah-ratus mengikut budaya di sesebuah wilayah di negara itu.

(Gambar fail: Bay Ismoyo/AFP)

(Gambar fail: Bay Ismoyo/AFP)

"Menariknya, ada juga sate yang tidak mengikut resipi tradisional hidangan tersebut. Misalnya, sate godog dari Aceh, yang dagingnya direbus dan bukan dipanggang," tambah beliau.

Menurut Jakarta Post, ada juga sate sempol ayam, yang juga tidak dipanggang dan sebaliknya digoreng.

Kalau anda akan melancong ke negara itu pada hujung tahun ini, mungkin sudah saatnya anda juga mencuba sate cendawan, sotong, ikan dan bebola daging. Ada juga sate bunthel (sate daging cincang), sate klatak (sate kambing yang dipanggang dalam api besar), sate maranggi (sate lembu berempah) dan sate kere (sate touhu).  

Sumber : Agensi berita/AQ/aq

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa