Skip to main content

Gaya Hidup

Ilmu dan kesedaran penting bagi pesakit semput urus rawatan dengan baik, kata pakar

Anggaran Waktu Membaca:
Ilmu dan kesedaran penting bagi pesakit semput urus rawatan dengan baik, kata pakar

Gambar hiasan. (Gambar: BERNAMA)

KUALA LUMPUR: Kesedaran masyarakat terhadap ancaman pelbagai penyakit tidak berjangkit (NCD) kronik boleh dikatakan semakin meningkat, namun menurut pakar, rata-rata masih menganggap semput sebagai penyakit “biasa” yang tidak memerlukan rawatan segera.

Hakikatnya, penghidap penyakit semput yang tidak terkawal dan tidak mendapatkan rawatan sewajarnya berisiko menemui ajal.

Kira-kira dua juta rakyat Malaysia menghidap penyakit semput dengan 90 peratus daripada mereka diklasifikasikan sebagai kes tidak terkawal dan berisiko tinggi untuk mengalami tahap kesihatan yang buruk serta jangka hayat yang pendek.

Malah, negara itu melaporkan kes maut akibat kerumitan semput sekitar empat angka saban tahun dengan kira-kira 1,700 kes dicatatkan pada 2014.

Angka itu mungkin dianggap kecil jika dibandingkan dengan punca kematian lain, namun menurut pakar, kebanyakan kes kematian akibat penyakit semput boleh dielak jika penghidap mendapat rawatan awal dan sewajarnya.

TINGKAT KESEDARAN

Pakar perubatan berpandangan langkah proaktif perlu dilaksanakan segera bagi meningkatkan tahap kesihatan dan mengurangkan kadar kematian “tidak perlu” akibat penyakit semput.

Menurut Pakar Perunding Kanan Perubatan Respiratori Hospital Perempuan Zainab II di Kota Bharu, Kelantan, Dr Mat Zuki Mat Jaeb, penjelasan tepat adalah langkah pertama yang perlu diambil bagi merawat dan mengurus penyakit itu secara berkesan.

Beliau berkata penyakit semput diklasifikasikan mengikut tiga tahap iaitu ringan, sederhana dan teruk dengan penilaian dibuat berdasarkan, antaranya, jenis dan dos ubat yang diperlukan oleh pesakit.

“Tahap kesedaran orang ramai bahawa penyakit semput wujud dalam tiga tahap keterukan yang berbeza masih rendah. Setiap tahap memerlukan pendekatan rawatan yang berbeza.

“Pesakit teruk memerlukan perhatian khas kerana mereka lebih cenderung mengalami serangan semput yang lebih kerap walaupun sudah mempunyai kemahiran menggunakan inhaler yang betul. Hal ini disebabkan oleh faktor-faktor lain yang menyumbang kepada keadaan semput teruk mereka, antaranya tahap sel darah putih dalam badan yang terlalu tinggi.

“Pesakit yang menghidap semput teruk bukan sahaja terpaksa berdepan dengan masalah dan gangguan tidur setiap hari, malah keupayaan mereka untuk melakukan aktiviti harian juga terhad. Mereka turut dibebani kebergantungan terhadap ubat yang memberikan kelegaan segera seperti inhaler dan steroid oral (OCS) setiap hari dan untuk jangka panjang,” kata Dr Mat Zuki kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau bagaimanapun berkata penggunaan OCS untuk tempoh yang lama boleh membawa kepada pelbagai risiko kesihatan seperti kencing manis, penyakit tulang rapuh (osteoporosis), penyakit jantung dan peningkatan berat badan.

ILMU URUS PENYAKIT

Rawatan awal dan tepat, diikuti rawatan susulan yang kerap serta pematuhan kepada rawatan lanjutan adalah antara aspek penting dalam penjagaan yang baik.

Berpendapat tentang pesakit semput perlu mempunyai ilmu dan kesedaran kendiri mengenai penyakit mereka, Dr Mat Zuki berkata ketiadaan dua perkara itu boleh mengakibatkan pengurusan yang kurang berkesan dalam kebanyakan kes semput, sekali gus menghalang peningkatan tahap kesihatan pesakit.

“Pakar mendapati ramai pesakit asma tidak cukup motivasi untuk mengawal penyakit mereka. Ada sesetengah pesakit yang menggunakan keadaan mereka sebagai alasan untuk tidak melakukan aktiviti fizikal seperti bersenam atau mengelak daripada pergi ke sekolah atau bekerja.

“Walaupun wujud sikap tidak ambil peduli dalam kalangan pesakit, masih penting untuk memperkasa pendidikan sebegini supaya mereka boleh terlibat lebih aktif dalam pengurusan penyakit. Pesakit perlu dibimbing untuk memahami tanda-tanda dan gejala semput bagi membantu mengenal pasti masa yang tepat untuk mendapatkan rawatan perubatan.

“Rawatan awal dan tepat, diikuti rawatan susulan yang kerap dan pematuhan kepada rawatan lanjutan adalah antara aspek penting dalam penjagaan asma yang baik,” tegasnya.

Menurutnya, penyakit semput yang tidak diuruskan dengan baik boleh menjejaskan mutu hidup pesakit, terutamanya jika tidak dikesan lebih awal oleh doktor.

“Kebiasaannya serangan semput boleh mengganggu tidur sehingga menyebabkan pesakit berasa letih dan lesu di siang hari. Ini boleh menjejaskan prestasi di tempat kerja dan kehadiran pelajar di sekolah, selain meningkatkan risiko kemalangan.

“Ini juga boleh menjejaskan ekonomi kerana produktiviti kerja yang terjejas dan kehilangan pendapatan, selain peningkatan kos penjagaan kesihatan untuk rawatan atau kemasukan ke hospital,” tambah beliau.

Sumber : Bernama/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita