Ikan yu 'ajaib' SEA Aquarium rai ulang tahun ke-5 pada Hari Kebangsaan S'pura
Vanda, ikan yu rimau kelahiran Singapura yang digelar "bayi ajaib", akan menyambut ulang tahunnya yang kelima pada Isnin (9 Ogos)apabila Singapura menyambut Hari Kebangsaan ke-56.
Vanda adalah yu rimau 'ajaib' pertama S.E.A Aquarium. (Gambar: S.E.A Aquarium)
SINGAPURA: Vanda, ikan yu rimau kelahiran Singapura yang digelar "bayi ajaib", akan menyambut ulang tahunnya yang kelima pada Isnin (9 Ogos)apabila Singapura menyambut Hari Kebangsaan ke-56.
Dilahirkan pada 2016, Vanda disifatkan sebagai "bayi ajaib" pertama oleh SEA Aquarium Resorts World Sentosa (RWS). Ini kerana pengurus akuarium percaya ia dilahirkan secara aseksual tanpa 'bapa'.
Ikan yu yang melahirkan anak secara aseksual adalah satu fenomena jarang berlaku. Proses semula jadi ini dipanggil partenogenesis, merujuk kepada perkembangan embrio tanpa persenyawaan telur. Ini dicatatkan dalam tumbuh-tumbuhan dan haiwan termasuk ikan, ular serta cicak di hidup liar dan di bawah jagaan manusia.
Dalam kalangan sembilan telur yang dikumpulkan dan dieram oleh pengurus akuarium di SEA Aquarium antara Mac dengan Jun 2016, hanya Vanda yang hidup lantas menjadikannya sangat istimewa kepada pasukan kurator.
Vanda kemudian diletakkan di bawah jagaan peribadi pengurus akuarium, Kenneth Kwan, sejak lima tahun lalu.
“Saya amat gembira Vanda membesar dengan sihat dan kini menjadi antara bintang di akuarium," kata Encik Kwan.
"Pada awalnya, kami menyangka Vanda akan menjadi kelahiran sekali sahaja tetapi alangkah terkejutnya kami apabila sekitar awal Januari tahun ini, kami menemui satu lagi bekas telur ikan yu rimau yang disenyawakan," kongsi beliau.
Ia dinamakan Hope, yang juga disyaki dilahirkan melalui partenogenesis pada 9 Januari lalu. Berukuran sepanjang kira-kira 80 sentimeter sekarang, Hope diletakkan di dalam kawasan kuarantin akuarium itu di mana ia didedahkan kepada kegiataan pengayaan seperti pemberian makanan bersasar.
Menurut pakar pemuliharaan hidupan laut, kemampuan ikan yu rimau betina untuk membiak keturunan dari telur yang tidak disenyawakan boleh menjadi mekanisme kelangsungan hidup yang tidak ternilai jika tiada pasangan yang sesuai. Ini adalah cara untuk menjaga keturunan mereka selama satu atau dua musim pembiakan sehingga betina tersebut menemui pasangan jantan yang sesuai.
Di seluruh dunia, jumlah ikan yu rimau semakin berkurangan akibat aktiviti manusia seperti kemerosotan dalam mutu habitat terumbu karang, pencemaran dan penangkapan ikan yang berlebihan termasuk penangkapan sirip ikan yu.
Ikan yu rimau adalah oviparus dan betinanya mengeluarkan telur besar berwarna coklat tua yang juga dipanggil "mermaid's purses" atau dompet duyung. Sebaik sahaja seekor ikan betina bertelur, pihak akuarium akan mengumpulkan bekas telur dengan teliti untuk mengeram dan memantau perkembangan embrio sehingga ia menetas.
Telur boleh memakan masa antara empat sehingga enam bulan untuk menetas jika ada embrio. Telur itu juga sangat sensitif terhadap keadaan air seperti suhu, pengaliran dan kemasinan di dalamnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.