Skip to main content

Gaya Hidup

Iftar lebih sihat dengan bubur enak & kaya dengan khasiat

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Teksturnya yang lembut dan lembap menjadikan hidangan ini mudah untuk dinikmati oleh semua peringkat usia, termasuk kanak-kanak dan warga emas.

Pada bulan Ramadan, setelah berpuasa lebih 12 jam, tubuh memerlukan hidangan lembut yang mudah dihadam. Semangkuk bubur merupakan antara pilihan terbaik untuk menenangkan perut dan memulihkan tenaga selepas seharian berpuasa.

Berbeza dengan sajian lain yang lebih berat, bubur dapat membantu mengurangkan risiko kembung dan ketidakselesaan perut, terutama bagi yang mempunyai sistem pencernaan yang sensitif. Dari sudut kesihatan, hidangan ini dapat menyokong fungsi perut dan usus dengan lebih baik, sekaligus memudahkan penyerapan khasiat.

Praktikal dan mudah dimasak, menjadikan ia pilihan ideal untuk sajian berbuka secara sihat tanpa mengorbankan rasa. Menariknya, sajian bubur tampil dalam pelbagai perisa bergantung pada bahan yang digunakan mengikut selera masing-masing.

Antaranya, termasuk campuran sayur-sayuran, kekacang atau sumber protein seperti ayam tanpa kulit, isi ikan, udang atau daging yang dapat membantu mengekalkan keseimbangan nutrisi. Sekali gus menjadikan hidangan ini lengkap dan menyelerakan untuk santapan seisi keluarga tanpa mengira usia sepanjang Ramadan.

ENAK & BERKHASIAT

Bagi penggemar bubur sepanjang Ramadan seperti saya, pastinya ada resipi kegemaran, sama ada bubur berempah atau berlemak santan dan sebagainya. Dengan menggunakan bahan seperti daging, ayam, udang atau ikan, setiap hidangan menampilkan cita rasa unik yang boleh disesuaikan mengikut selera keluarga.

Bubur ayam misalnya, kekal digemari merentas generasi kerana mudah disesuaikan dengan selera ramai. Isi ayam yang direneh hingga empuk menambahkan keenakan hidangan, lebih-lebih lagi apabila dilengkapi dengan taburan daun bawang dan bawang goreng yang menaikkan aroma serta selera, sekali gus menjadikannya sajian yang mudah dinikmati oleh semua peringkat usia.
 

Related article image
<p>Bubur ayam dan telur rebus. (Gambar: Vecteezy)</p>

Menyentuh tentang cara penyediaanya, sajian bubur merupakan antara pilihan sihat yang rendah lemak dan kalori. Menggunakan bahan sampingan seperti labu, lobak dan kekacang contohnya dapat menambah tekstur pada sajian ini selain membantu untuk tingkatkan lagi kandungan vitamin, mineral dan serat.

Berbanding nasi, bubur tidak mudah menyumbang kepada kenaikan berat badan, terutama jika dimasak dengan cara yang lebih sihat. Lantas, ia sesuai dijadikan pilihan ketika bersahur atau berbuka bagi yang mengutamakan kesihatan dan ingin mengekalkan berat badan ideal. Menikmati semangkuk bubur hangat secara perlahan dapat memberikan rasa kenyang yang lebih selesa dan berpanjangan.

Bukan sekadar mengalas perut, ia turut mengembalikan tenaga yang diperlukan selepas berpuasa, sambil menggalakkan pendekatan pemakanan yang lebih teratur dan sihat. Dari segi kesihatan, sajian bubur juga sering disarankan untuk mereka yang kurang sihat kerana teksturnya yang halus mudah dicerna dan tidak membebankan sistem pencernaan.

BERAS PERANG

Walaupun bubur tergolong sebagai sajian yang lebih sihat, ia tetap perlu diambil secara sederhana seperti mana-mana makanan yang lain, khususnya bagi yang mempunyai masalah paras gula dalam darah. Karbohidrat dalam bubur lebih mudah dicerna kerana teksturnya yang lembut dan boleh menyebabkan peningkatan paras gula berlaku dengan lebih cepat berbanding nasi biasa.

Sekalipun demikian, anda masih boleh menikmatinya dalam jumlah terkawal, terutama jika dipadankan dengan sumber protein dan serat bagi membantu menstabilkan bacaan glukosa. Sebagai alternatif, anda boleh menggunakan beras perang. Kandungan karbohidrat kompleks dan seratnya yang lebih tinggi dapat membantu memperlahankan proses penyerapan gula.

Related article image
Bubur ikan. (Gambar: Vecteezy)

Bubur beras perang juga mudah disediakan dan sesuai dijadikan sebagai pilihan alternatif untuk yang lebih peka terhadap pemakanan seimbang. Teksturnya yang lembut semasa dinikmati hangat dapat memberi keselesaan segera dan secara tidak langsung membantu tubuh menerima makanan secara berperingkat tanpa membebankan sistem penghadaman.

Di sebalik kesederhanaan sajian ini, ia juga mengandungi manfaat yang jarang disedari. Selain memberikan rasa kenyang yang lebih terkawal, bubur beras perang juga dapat menyokong keseimbangan khasiat harian bersama gandingan bahan-bahan lain yang digunakan dalam masakan.

Yang pasti, semangkuk bubur bukan sekadar pengalas perut, ia juga lambang kebersamaan dan kesyukuran di bulan Ramadan yang sederhana dan seimbang. Kadangkala, dalam kesederhanaan itulah tersembunyi nikmat yang paling bermakna dan mungkin sebab itu sajian bubur terus menjadi pilihan musim demi musim, terutama dalam bulan yang mulia ini!

RESEPI BUBUR KARI

Hujung minggu ini, jika anda bercadang menyediakan hidangan enak dan berkhasiat untuk berbuka, cubalah resipi mudah Bubur Kari Udang. Sajian ini mudah dihadam, berkhasiat dan mengenyangkan.

Selain udang, anda juga boleh gantikan dengan protein pilihan yang lain mengikut citarasa masing-masing. Hidangkan ketika masih panas dan nikmati bersama keluarga.

Bubur Kari Udang
(resipi : Aizam Omar)

Related article image
Bubur Kari Udang. (Gambar: Aizam Omar)
Bahan (untuk 3-4 orang)
1 cawan beras (dicuci bersih)
10 cawan air (gunakan cawan beras)
1½ cawan santan rendah lemak
1 sudu makan minyak sapi
1 sudu makan kari ikan
1 biji bawang besar ] dihiris
4 biji bawang putih ]
Halia (anggaran ¾ ibu jari) – hiris halus
5 bunga cengkih
5 buah pelaga
½ batang kayu manis
Udang segar (buang kulit)
Campuran sayur seperti lobak, kacang peas – (tidak wajib, ikut citarasa)
Garam secukup rasa
Bawang goreng, daun sup daun bawang – (untuk hiasan)

Cara
Masukkan beras yang telah dicuci di dalam periuk. Tuangkan air. Masukkan rempah kari ikan, bawang besar, bawang putih, halia, bunga cengkih, buah pelaga, kayu manis dan campuran sayur. Biarkan masak di atas api yang sederhana.

Setelah hampir masak, tuangkan santan dan gaul rata. Masukkan udang dan minyak sapi. Garam secukup rasa. Gaul perlahan dan biarkan hingga udang masak seketika. Dihidangkan hangat, hias dengan daun sup daun bawang dan bawang goreng mengikut citarasa masing-masing.
Selamat mencuba!
Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita