Iffah Syafiqah Yusof tubuhkan Senisini; ruang seni untuk belia teroka daya kreativiti

Cik Iffah Syafiqah Yusof, 26 tahun membangunkan ruang Senisini bagi menggalak orang ramai supaya berkarya tanpa berasa takut atau malu dinilai oleh orang lain. (Gambar: CNA)
SINGAPURA: Cahaya di biliknya malap namun bahagian dinding penuh dengan corak-corak menarik seperti lukisan batik dan wayang kulit, antara lain.
Begitulah suasana di sebuah kelab seni atau 'art jamming' yang ditubuhkan oleh Iffah Syafiqah Yusof.
Pertubuhan akar umbi Senisini bertujuan menyediakan ruang kepada golongan belia untuk berkarya dan meneroka daya kreativiti mereka.
Cik Iffah, 26 tahun berkata beliau memulakan Senisini beberapa rakannya pada Ogos 2024.
Projek itu dimulakan atas keinginan untuk mencuba sesuatu yang baharu semasa beliau menuntut di London, England.
'SESI ART JAMMING' YANG BOLEH DISERTAI OLEH SESIAPA PUN
Cik Iffah menyifatkan Senisini sebagai inisiatif yang menggalakkan sesiapa pun untuk berkarya dan menjadikan kegiatan seni lebih mudah diakses oleh golongan muda.
Beliau turut meletakkan penekanan pada istilah 'mudah diakses', yang bermaksud bukan dari segi memastikan setiap individu berpeluang mencuba kegiatan seni, tetapi sebaliknya menawarkan pengalaman lebih mesra, kurang menakutkan kepada mereka yang baru ingin mencuba aktiviti seni.

Beberapa sesi 'art jamming' telah diadakan oleh Senisini di Haji Lane, di pusat beli-belah, di kolong blok HDB bahkan juga di sebuah restoran.
Cik Iffah mendapat idea untuk menyediakan ruang mesra untuk para individu berkarya, tanpa perlu khuatir dinilai oleh orang lain, semasa beliau di London.

"Setiap petang Selasa, saya akan pergi ke satu ruang ini bersama beberapa individu lain, di mana kebanyakannya individu yang saya tidak mengenali, untuk berkarya," kata Cik Iffah.
"Ia sangat santai. Mereka menyediakan banyak bahan seperti pen penanda (marker), kertas, kadbod, glitter, krayon, daun kering - apa-apa sahaja yang boleh digunakan untuk berkarya.

"Selepas meluangkan masa kira-kira dua jam di ruang itu, saya berasa lebih segar, kurang tertekan dan penuh bertenaga."

Idea untuk menubuhkan kelab seumpamanya di Singapura kekal dalam benak fikirannya sehingga pertengahan tahun 2024 apabila Cik Iffah memutuskan untuk merealisasikan impiannya itu.
Selain itu, tuntutan kerja sebagai seorang penganalisis juga menyebabkan beliau menyedari betapa beliau memerlukan ruang untuk melepaskan tekanan dan mencurahkan daya kreativitinya.
Apabila beliau berkongsi idea untuk menubuhkan kelab tersebut bersama rakan-rakannya, mereka turut sama teruja.

"Saya fikir, baiklah, kita akan mulakan sesuatu dan kita lihat bagaimana perkembangannya selepas itu," kata Cik Iffah.
Sesi Senisini pertama diadakan di Pesta Amal Rumah Kebajikan Muhammadiyah, iaitu sebuah acara pengumpulan dana bagi para penghuni rumah kebajikan itu.
"Saya rasa seni seharusnya boleh disertai oleh sesiapa pun. Tidak kira anda bagus atau tidak, saya ingin permudahkan akses untuk berkarya."

Selepas itu, Cik Iffah menganjurkan beberapa sesi 'art jamming' di tempat-tempat awam termasuk kawasan terbuka bersebelahan Restoran Nur Fayidha di Sultan Gate, 60 ALLEY Bakes & Coffee di Arab Street dan The Ground Theatre di *SCAPE.
Serupa dengan di pesta amal itu, Cik Iffah dan rakan-rakannya akan membawa kotak berisi bahan-bahan lukis dan meletakkan papan tanda yang tertera "CIPTA SENI SECARA PERCUMA (MAKE ART 4 FREE)", di samping beberapa papan tanda yang mengandungi maklumat lanjut mengenai inisiatif tersebut.
Senisini kini menawarkan sebuah kelab filem.

Baru-baru ini, ia mengadakan satu sesi pada awal Mei lalu di restoran dan ruang acara di Mahmud's Tandoor.
Kelab filem Senisini mengalu-alukan penyertaan sesiapa pun - sama ia juruvideo yang baru berjinak-jinak, penggemar video ringkas di TikTok atau Instagram dan pelajar filem yang berkemahiran.
Sesiapa berminat berkongsi cerita melalui filem atau video dijemput untuk berkongsi karya masing-masing dan mendapat maklum balas oleh para penonton.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.