Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Ibu muda ini hidap barah lidah tahap 4 ketika hamil; terpaksa gugurkan kandungan demi jalani rawatan

Pada Disember 2014, Aslin Harminah Anuar menyedari beliau kerap mengalami ulser di mulutnya. Ia akan keluar di bahagian yang sama - di bahagian belakang sebelah kiri lidahnya - sebelum mereda selama beberapa minggu dan kemudian timbul semula.

Anggaran Waktu Membaca:
Ibu muda ini hidap barah lidah tahap 4 ketika hamil; terpaksa gugurkan kandungan demi jalani rawatan

Aslin Harminah Anuar mengimbas kembali bagaimana beliau berjaya mengatasi barah lidah Tahap 4A termasuk menjalani proses pemulihan menyukarkan, melibatkan terapi pertuturan selama berbulan-bulan. (Gambar: Kelvin Chia/CNA)

SINGAPURA: Pada Disember 2014, Aslin Harminah Anuar menyedari beliau kerap mengalami ulser di mulutnya. Ia akan keluar di bahagian yang sama - di bahagian belakang sebelah kiri lidahnya - sebelum mereda selama beberapa minggu dan kemudian timbul semula.

Pada April 2015, ketika sedang bercuti bersama suami dan anak sulungnya - ketika itu berumur tiga tahun, Cik Aslin perasan ulser yang dialaminya bertambah besar. Bahkan, ia juga berdarah. Ini membuatkan beliau berasa seakan-akan ada sesuatu yang tidak kena.

Sekembalinya Cik Aslin sekeluarga ke tanah air Singapura, beliau jatuh sakit dan berasa kurang senang tentangnya. Beliau memutuskan untuk berjumpa dengan seorang doktor klinik swasta yang memberinya krim ulser untuk disapu tetapi ulser itu tidak hilang walaupun selepas tiga hari.

Cik Aslin kemudian pergi berjumpa seorang doktor gigi yang melihat ulsernya dan berkata ada sesuatu yang "agak tidak kena". Doktor gigi itu mencadangkan agar Cik Aslin menemui seorang pakar mulut.

Beliau berjaya mendapatkan janji temu dengan seorang pakar mulut tetapi slot paling awal adalah pada Ogos iaitu masa menunggu selama lagi tiga bulan.

Ketika itu, Cik Aslin berasa cemas sedikit dan memutuskan untuk berjumpa dengan seorang lagi doktor gigi.

DAPAT TAHU ULSER ADALAH BARAH

"Sebaik sahaja doktor gigi itu melihat ulser (saya), mukanya berubah dan saya tahu pasti ada sesuatu yang tidak kena. Beliau berkata beliau mengesyaki ia adalah barah dan beliau perlu melakukan satu biopsi untuk memastikannya," tulis Cik Aslin dalam satu rencana yang dikongsikan dalam rencana CNA Women.

Doktor gigi itu mengaturkan supaya Cik Aslin mengadakan satu janji temu bersama seorang pakar onkologi.

"Saya menjalani biopsi dan seminggu kemudian, hasil biopsi itu mengesahkannya. Saya menghidap barah," katanya.

Cik Aslin berjumpa dengan pakar onkologi itu selang beberapa hari kemudian dan pakar tersebut mengesyaki beliau mengalami barah lidah tahap dua.

"Beliau memberitahu saya bahawa ia tidak begitu teruk dan saya boleh hidup dengan menjalani pembedahan, yang akan membuang bahagian kecil barah pada bahagian kiri lidah saya," ujarnya.

Cik Aslin menambah pakar onkologi itu memberi jaminan kepada beliau bahawa semuanya baik-baik sahaja dan beliau bahkan tidak perlu menjalani kemoterapi atau terapi sinaran (radiation therapy).

JALANI PEMBEDAHAN KETIKA HAMIL

Beberapa hari selepas sesi konsultasinya bersama pakar onkologi berkenaan, Cik Aslin mendapati dirinya hamil anak kedua.

Cik Aslin bertanya doktor-doktornya berulang kali jika kehamilannya itu akan terjejas memandangkan beliau perlu menjalani bius am sewaktu pembedahan selama empat jam. Pakar sakit puan Cik Aslin memberinya jaminan bahawa ia selamat untuk beliau menjalani pembedahan itu.

Aslin Harminah Anuar disah menghidapi barah lidah tahap 4A pada usia 29 tahun. (Gambar: Kelvin Chia/CNA)


"Pasukan perubatan saya sudah merancang untuk membuat imbasan CT dan MRI sebagai persediaan bagi pembedahan itu tetapi oleh kerana saya mengandung, mereka hanya boleh membuat ultrabunyi leher. Saya dibenarkan pulang selepas itu kerana pasukan tersebut mahu membincangkan keputusannya dengan doktor saya," kata Cik Aslin.

Malam sebelum pembedahannya dijadualkan, Cik Aslin mendaftar masuk ke hospital seperti yang dirancangkan. Seorang doktor yang membantu pakar bedah Cik Aslin berjumpa dengannya dan berkata bahawa hasil ultrabunyi menunjukkan bahawa barahnya sudah merebak.

"Daripada hanya mengeluarkan bahagian barah itu, mereka kini perlu membuang sebahagian lidah saya dan juga menggores leher saya untuk mengeluarkan nodus limfa di bahagian itu."

TANGANI KETIDAKTENTUAN PASCA PEMBEDAHAN

Cik Aslin terlantar di hospital sekitar seminggu selepas menjalani pembedahan.

Perkara pertama yang beliau bertanya kepada ibunya adalah jika pakar sakit puan sudah memeriksa bayinya menggunakan ultrabunyi untuk memastikan dia okey.

Ibu Cik Aslin meyakinkan beliau bahawa semuanya baik-baik sahaja tetapi pembedahan itu dijalankan kira-kira lapan jam.

"Sehingga itu, saya tidak melihat diri saya di cermin. Apabila saya akhirnya berbuat demikian, pada hari keempat selepas pembedahan, saya faham mengapa semua orang kelihatan sedih - parut di leher saya sepanjang kira-kira 15 sentimeter," kata Cik Aslin.

Apabila wanita itu pulang ke rumah, anak perempuan beliau yang berumur tiga tahun tidak mahu menghampirinya.

"Keadaan saya selepas pembedahan pasti agak mengejutkan dirinya sedikit," luahnya.

Seminggu kemudian, apabila Cik Aslin kembali ke hospital untuk menanggalkan jahitan, doktor beliau memberitahunya apa yang pasukan itu temui tatkala pembedahan.

"Barah telahpun merebak dan naik ke Tahap 4A, kata beliau, dan ia tidak lagi hanya tertumpu pada bahagian kiri lidah (saya); ia juga merebak ke bahagian kanan. Untuk membendungnya daripada terus merebak, doktor-doktor saya perlu membuang nodus limfa di leher saya dan separuh lidah saya," kongsi Cik Aslin.

"Apabila anda mendengar perkataan 'Tahap 4', sekalipun jika anda tidak tahu apa-apa tentang barah, anda akan berfikir bahawa anda berkemungkinan besar akan mati dan anda tidak mempunyai banyak masa lagi."

Cik Aslin berkata doktornya menerangkan bahawa barah mulut Tahap 4A tidak sama seperti barah paru-paru atau barah kolon di mana peluang untuk pulih amat rendah.

"Saya masih berpeluang untuk hidup seperti yang saya diberitahu," ujarnya.

MULAKAN RAWATAN BARAH SEGERA; PUTUSKAN TENTANG KEHAMILAN

Oleh kerana barah Cik Aslin sudah merebak ke lidah dan lehernya, beliau perlu mejalani terapi sinaran serta kemoterapi.

"Perkara pertama yang terlintas di fikiran saya adalah, apakah yang akan berlaku pada bayi saya? Saya berasa amat takut."

Doktor Cik Aslin merujuk beliau kepada seorang pakar onkologi sinaran, yang memberitahunya bahawa beliau memerlukan sekitar 32 sesi terapi sinaran dan tiga kitaran kemoterapi.

"Suami saya dan saya duduk berbincang dan ia seolah-olah kami berdua tahu peluang untuk menyimpan kandungan kami adalah rendah. Walaupun kami mahukan anak kedua, kami memutuskan untuk menggugurkan kandungan itu - ketika itu saya hamil 10 minggu," ungkapnya.

"Itu adalah perkara paling sukar bagi seluruh ujian pahit itu dan antara keputusan paling menyakitkan yang pernah saya buat kerana suami saya dan saya selama ini merancang untuk membina sebuah keluarga besar. Saya tidak mahu mengingati apa-apapun tentangnya."

Sokongan serta dorongan berterusan keluarga Aslin Harminah Anuar membuatkan beliau terus bertahan dan berpegang pada sinar harapan untuk kembali hidup seperti sedia kala.

Cik Aslin perlu menjalani lebih banyak ujian untuk menentukan bahagian tubuh mana yang memerlukan terapi sinaran. Beliau meminta doktor supaya berterus terang dengannya tentang peluang untuk dirinya terus hidup.

Doktor Cik Aslin berkata semuanya bergantung kepada imbasan - sekiranya sel-sel barah tidak merebak ke organ penting, beliau mempunyai peluang 60 peratus untuk hidup. Namun, sekiranya ia merebak, Cik Aslin mungkin hanya ada tempoh enam bulan lagi untuk hidup.

"Saya ingat dengan jelas apa yang saya beritahu keluarga saya ketika itu: Jika imbasan menunjukkan sel-sel barah merebak, saya tidak mahukan rawatan. Saya hanya mahu berada di rumah. Ibu dan suami saya amat sedih kerana mereka mahu saya melawan penyakit itu tetapi saya berkata (saya) tidak mahu," kongsi Cik Aslin.

Pada hari Cik Aslin menerima hasil imbasan, pakar onkologi sinaran memberitahu beliau bahawa barahnya tidak merebak dan masih ada peluang untuk dirinya meneruskan kehidupan.

"Mereka berkata mereka melakukan sehabis baik dalam melakar rancangan rawatan untuk memastikan saya dapat terus hidup kerana saya hanya berusia 29 tahun ketika itu."

"Saya berpegang dan menaruh harapan kepada peluang dan sinar harapan itu. Saya mempunyai segala-galanya - saya ada seorang anak, saya berada di kemuncak kerjaya saya sebagai seorang pegawai perkhidmatan awam dan saya mempunyai masa hadapan yang cerah," katanya.

TERUSKAN HIDUP; BANGKIT LEBIH TEGUH

Doktor Cik Aslin memberitahunya bahawa kaum lelaki berusia 45 tahun ke atas atau perokok berisiko lebih tinggi menghidap barah lidah.

"Jadi saya tidak faham mengapa ia berlaku pada saya. Saya muda dan saya tidak merokok atau mengambil minuman keras," soalnya buntu.

"Saya memutuskan untuk berhenti bertanya mengapa saya menghidap barah dan mula berfikir tentang bagaimana untuk bertahan, melawannya dan kembali hidup seperti sediakala."

Tatkala proses pemulihan, Cik Aslin menjalani terapi pertuturan selama hampir setahun untuk belajar cara bagaimana untuk makan dan bercakap semula kerana beliau sudah kehilangan separuh daripada lidahnya.

"Sewaktu beberapa bulan pertama, saya cuba menulis untuk berkomunikasi tetapi ahli terapi saya memberitahu saya untuk berlatih bercakap dengan lebih kerap supaya saya dapat bertutur semula," ujarnya.

Kini, Cik Aslin bergantung kepada ubat-ubatan sepanjang hayat untuk hipotiroidisme - sebuah isu tiroid yang merupakan kesan sampingan biasa akibat terapi sinaran). Selera makan Cik Aslin juga terjejas. Beliau kini tidak boleh mengambil makanan pedas mahupun goreng-gorengan dan lebih memilih sup sebagai gandingan dengan hidangannya.

Doktor Cik Aslin berkata beliau boleh mengandung lagi sekiranya beliau selesai menjalani rawatan tanpa menjadi bentan.

"Kami boleh memikirkan tentangnya (kehamilan) selepas lima tahun iaitu pada 2020. Keluarga saya dan saya begitu gembira apabila saya mengandung pada 2020."

Setelah melanjutkan tempoh berehatnya daripada kerja buat 10 bulan untuk memberi tumpuan kepada pembedahan serta pemulihan dirinya, Cik Aslin akhirnya kembali bertugas secara sambilan pada Februari 2016 dengan pertubuhan yang sama.

"Saya berusia 36 tahun sekarang, Setiap tahun, saya menantikan untuk meraikan hari lahir saya kerana ia mengingatkan saya bahawa satu lagi tahun sudah berlalu. Sebagai matlamat, saya mula menjalani dan menghargai kehidupan setahun demi setahun."

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan