Ibu ini hasilkan makanan bayi halal untuk bantu ibu bapa bekerja
SINGAPURA: Bubur nasi perang dengan daging dan bayam, sup daun bawang serta bubur oat dalam perisa seperti aprikot, pir dan kurma.
Cik Jayina Chan, 34 tahun menyediakan makanan tersebut bukan sekadar untuk menjalani gaya hidup yang lebih sihat, namun khusus buat bayi.
Tekad dan minat mendalamnya untuk menyediakan makanan yang berkhasiat buat bayi bermula pada 2017, selepas beliau melahirkan anak perempuannya, Anya.
Pada mulanya, beliau hanya menggunakan Instagram untuk memuat naik gambar anaknya, Anya yang makan menggunakan tangannya dan tidak disuap. Kaedah itu dikenali sebagai 'baby-led weaning' iaitu suatu proses memperkenalkan anak kepada makanan dan membiarkannya makan sendiri.
Cik Jayina juga akan memuat naik gambar makanan yang beliau sediakan sendiri untuk anak perempuannya itu dalam "eksperimen" menggunakan bahan-bahan segar dan kaedah memasak yang secara semula jadi meningkatkan rasa makanan tersebut.
"Ibu bapa dan penjaga mula meminta nasihat mengenai proses 'baby weaning' dan juga meminta saya untuk menyediakan makanan buat anak mereka. Pada ketika itu, saya mula melihat ada kekurangan dalam pasaran makanan bayi halal,” kata beliau kepada CNA Women, sempena Hari Wanita Antarabangsa, 8 Mac ini.
MEMULAKAN PERNIAGAANNYA
Cik Jayina memulakan perniagaannya di rumah pada 2017 dan memberi nama syarikat itu sempena nama anak perempuannya.
Anya Meals menawarkan kiub beku berwarna-warni berisi stok buah-buahan dan sayur-sayuran serta arahan tentang bagaimana untuk mencairkan kiub itu dalam periuk dan mencampurkan kiub-kiub tersbut untuk menyediakan makanan pelbagai rasa.
Sebagai contoh, anda boleh meletakkan kiub labu dan stok ayam dalam periuk bersama beras perang untuk membuat hidangan yang mudah dan seimbang, atau anda boleh merendam kiub labu dalam susu, keju parmesan, mentega tanpa garam dan daun herba untuk membuat sos nagi makaroni labu dan keju.
Kiub-kiub itu terbukti mendapat sambutan hangat. Pelanggan memberikan ulasan yang baik di media sosial. Ada daripada mereka menyifatkan stok ayam beku Cik Chan sangat berguna.
Ramai di antara pelanggan juga tidak mahir memasak namun dengan kiub itu, memberi mereka dorongan untuk memasak.
Di tengah-tengah perniagaan yang semakin mantan, Cik Jayina dan suami beliau, Aiman Majid mengambil langkah untuk mengembangkan perniagaan mereka.
Mereka mendapatkan nasihat daripada pakar pemakanan bayi untuk membantu menambah baik produk dan mengajar mereka cara yang lebih baik untuk menasihatkan pelanggan mengenai cara memperkenalkan makanan kepada bayi dan khasiat makanan.
Kiub berwarna-warni itu tidak lama kemudian disediakan di dalam bekas yang selamat untuk makanan dan boleh dipanaskan di ketuhar gelombang mikro untuk mencegah daripada pencemaran. Ini juga membolehkan pelanggan untuk membawa Anya Meals ke mana sahaja mereka berada.
Anya Meals kini menyediakan produk yang bebas daripada susu, telur, kacang tanah, gandum, makanan laut dan soya, bagi kanak-kanak yang ada alahan.
Produk tersebut juga dikatakan tidak mengandungi garam, monosodium glutamat, pengawet, pewarna dan bahan tambahan. Rasa manis adalah disebabkan penggunaan buah-buahan dan sayur-sayuran, menurut syarikat itu.
Tambahan pula, kesemua makanan itu disediakan segar, dibiarkan sejuk dan dibekukan serta-merta, kemudian dihantar kepada pelanggan setiap minggu.
Pelanggan hanya perlu melayari lelaman web mereka setiap petang Ahad untuk melihat menu yang disediakan untuk membuat pesanan dan bayaran. Produk itu kemudian akan dihantar seminggu kemudian.
"Apabila kami mula-mula merancang menu untuk Anya Meals, ia adalah menu yang sudah saya sediakan buat Anya yang mengandungi khasiat tinggi. Kami harus membuat sedikit perubahan kepada protein daging dalam bubur kami berdasarkan nasihat daripada pakar diet kami," kata Cik Chan.
Permintaan bagi Anya Meals sangat luar biasa disebabkan ketika pandemik bermula pada 2020. Ia sebahagian besarnya disebabkan sekatan COVID-19, yang mana ibu bapa bimbang mereka tidak boleh mendapatkan bahan-bahan yang diperlukan untuk menyediakan makanan untuk anak mereka.
Pasangan itu terpaksa mengehadkan pengambilan tempahan untuk memastikan mutu makanan itu terjaga.
"Pada tempoh kemuncak jualan Anya Meals, pendapatan tahunan mencapai hampir S$300,000," kata Cik Jayina.
PENJAGAAN BAGI WANITA DALAM TEMPOH BERPANTANG
Beliau berkenalan dengan suaminya ketika mereka bekerja sebagai kakitangan kabin pesawat.
Mereka kini mempunyai dua cahaya mata - Anya yang berusia enam tahun dan Adam, tiga tahun.
Beliau berkata terdapat keperluan bagi lebih banyak produk dan khidmat untuk wanita yang sedang dalam tempoh berpantang dan pulih selepas bersalin.
"Jurang yang paling besar dalam pasaran buat wanita sekarang adalah, penjagaan selepas bersalin dalam semua aspek. Iaitu aspek fizikal, mental dan emosi.
Tumpuan lazimnya diberikan kepada bayi dan bukan ibu yang bersalin, kata beliau.
Pemilik perniagaan itu berkata beliau sendiri "menderita" semasa menjaga Anya.
"Saya meluangkan masa semasa hamil untuk mencari maklumat mengenai cara menjaga bayi dan menyediakan segalanya untuk anak saya. Namun, saya gagal untuk menyediakan apa-apa untuk diri saya sendiri. Saya juga tidak sedar akan adanya pakej makanan halal semasa berpantang. Kadang-kala saya juga terlupa hendak minum atau makan."
"Bilik anak sudah siap berbulan sebelum kelahiran anak, namun adakah ibu sudah bersedia untuk diri mereka sendiri?” kata beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.