i Light Singapore kembali dengan 14 pemasangan cahaya dan aktiviti lain di Marina Bay & Raffles Place
i Light Singapore kembali berlangsung dari 5 hingga 28 Jun. Acara tersebut akan menampilkan 14 pemasangan cahaya serta pelbagai program di Marina Bay dan Raffles Place.
Festival i Light Singapore yang dianjurkan oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dan dipersembahkan oleh UOB kembali berlangsung pada Jun 2026. (Gambar: CNA/Joyee Koo)
Dianjurkan oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dan dipersembahkan oleh UOB, festival seni cahaya tahunan itu mengangkat tema "Movement" atau "Pergerakan" tahun ini, dengan meneroka bagaimana manusia, idea dan masyarakat berkembang serta berinteraksi dengan ruang bandar.
Edisi 2026 menampilkan karya para artis dari Singapura dan merata dunia.
Antara tarikan utama ialah "Barbershop Wonderland" oleh artis Korea Selatan Jeon Byeong-sam, yang terdiri daripada 200 tiang tukang gunting rambut berputar yang bertindak balas terhadap kehadiran pengunjung menerusi cahaya dan pergerakan.
Sementara itu, artis tempatan Nawal Azhar menampilkan "Steps", yang menggunakan tangga sebagai metafora bagi pelbagai perspektif berkaitan pembangunan Singapura.
"Arch Flower" oleh artis Perancis Cyril Lancelin akan menjadi satu-satunya pemasangan festival itu di Raffles Place, manakala selebihnya terletak di sekitar Marina Bay.
Antaranya termasuk pertunjukan grafiti secara langsung di Marina Bay Link Mall pada 6 dan 19 Jun, serta sesi yoga Vinyasa oleh Submersion pada 27 Jun di The Promontory @ Marina Bay, yang menggabungkan yoga, cahaya dan muzik elektronik dalam pengalaman luar yang dipandu.
"Silent Disco Parade" juga akan kembali pada 20 Jun, di mana para peserta boleh bergerak dan menari di sekitar kawasan festival sambil mendengarkan muzik menerusi fon kepala tanpa wayar.
Para pengunjung juga boleh mengunjungi GastroBeats, festival makanan, muzik dan gaya hidup tahunan yang berlangsung secara serentak dengan i Light Singapore.
i Light Singapore berlangsung setiap hari dari 7.30 malam hingga 10.30 malam, manakala GastroBeats diadakan dari 4.00 petang hingga 11.00 malam setiap hari. Kemasukan adalah percuma, namun sesetengah program memerlukan tiket atau pendaftaran.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.