Hotel mewah The Laurus di RWS dibuka pada suku ketiga 2025, tawar bilik suite
Sebuah hotel mewah baharu di Resorts World Sentosa (RWS) dijangka dibuka pada suku ketiga 2025.
The Laurus, sebuah hotel mewah yang menawarkan sebanyak 183 bilik suite di Resorts World Sentosa. (Gambar: Resorts World Sentosa)
Mulai Mei 2025, para pelancong dan pengunjung tempatan boleh membuat tempahan untuk menginap di The Laurus, resort pertama di Singapura di bawah jenama The Luxury Collection.
The Luxury Collection ialah sebuah jenama di bawah naungan Marriott International.
Jenama mewah lain dibawah Marriott termasuk JW Marriott, St Regis, The Ritz-Carlton dan Edition. Menurut laman web Marriott, The Luxury Collection merupakan “himpunan terpilih bagi hotel ikonik dunia yang benar-benar mendefinisikan destinasi mereka”.
The Laurus, yang menggantikan Hard Rock Hotel, terletak di pinggir hutan tropika. Hotel lima tingkat tersebut menawarkan sebanyak 183 bilik suite yang dihias dengan elegan.
Kemudahan lain termasuk ruang halaman, bilik majlis bagi acara dan majlis berskala kecil, kolam renang dan spa terbuka, bar, serta restoran dengan konsep sajian sepanjang hari.
Pilihan suite yang ditawarkan termasuk Deluxe Suite, Premier Suite, Grand Deluxe Suite dan Presidential Suite.
Setiap suite menawarkan “kelengkapan tidur yang mewah untuk menjamin tidur yang lena” serta “sentuhan monokrom yang elegan”, menurut RWS dalam siaran medianya.
“Kerjasama bersejarah kami dengan Marriott International untuk membawa hartanah jenama The Luxury Collection yang pertama ke Singapura memperkukuh komitmen kami untuk mendefinisikan semula pengalaman mewah bagi para tetamu.
The Laurus, sebuah resort di bawah The Luxury Collection, melambangkan teras usaha kami untuk menawarkan pengalaman destinasi terpilih sebagai sebahagian daripada rancangan peluasan transformasi RWS,” kata Tan Hee Teck, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) RWS.
“Kami teruja untuk mempelawa para tetamu mendalami warisan Singapura yang kaya, menikmati keindahan flora dan fauna Sentosa yang menawan, sambil menikmati layanan ikonik RWS yang didefinisikan oleh sentuhan unik yang tiada tandingan, kualiti cemerlang dan inovasi,” tambah Encik Tan.
Resort tersebut akan “meraikan keunikan bandar ini, dan kami menantikan kehadiran para pengembara global untuk merasai daya tarikan Singapura menerusi perspektif jenama kami,” tambah Encik Menon.
Hotel baharu tersebut merupakan sebahagian daripada usaha RWS untuk menyegarkan penawarannya dalam landskap pelancongan yang kompetitif.
Dua hotel juga akan ditambah kepada rangkaian enam hotel RWS yang sedia ada, iaitu Crockfords Tower, Equarius Hotel, Equarius Villas, Hotel Michael, Hotel Ora dan The Laurus.
Pada Mac 2025, RWS mengumumkan rancangan untuk memperkenalkan satu kelompok gaya hidup premier baharu, Weave, pada separuh kedua tahun ini.
Weave akan menampilkan lebih 40 jenama gaya hidup dan jenama premium, termasuk beberapa konsep kulinari baharu yang pertama kali diperkenalkan di Singapura.
Ini termasuk Maison Pierre Hermé Paris oleh Pierre Hermé, konsep makanan jalanan Timur Tengah WeWa, serta dua konsep sajian oleh cef bertaraf Michelin Paul Pairet – sebuah kedai aiskrim dan dapur Perancis yang menampilkan hidangan daging panggang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.