Hidangan luar biasa wanita ini menyebabkan tekak segelintir netizen terasa loya
Seorang wanita rakyat Malaysia mencetuskan kejutan ramai pengguna Facebook baru-baru ini setelah beliau memuat naik gambar ikan koi peliharaannya yang dimasak menjadi sup.
(Gambar: Media Sosial)
PETALING JAYA: Seorang wanita rakyat Malaysia mencetuskan kejutan ramai pengguna Facebook baru-baru ini setelah beliau memuat naik gambar ikan koi peliharaannya yang dimasak menjadi sup.
Wanita itu yang dikenali sebagai Amanda Omeychua, menulis catatan di kumpulan "Masak Apa Tak Jadi Hari Ni" sambil berkongsi gambar yang menunjukkan bangkai lebih 20 ekor ikan koi di lantai.
Menurut salah satu komen Cik Omeychua, ikan-ikan itu mati akibat sesak nafas setelah pembantu rumahnya terlupa untuk menghidupkan pam oksigen dalam kolam.
Namun daripada membiarkan ikan koinya dibuang begitu sahaja, beliau memilih untuk menjadikan ikan itu sebagai hidangan sup.
"Satu resipi tradisi diraja. Rasanya seperti ikan patin," tulis Cik Omeychua dalam catatannya yang disertakan tanda pagar #koilemas dan #supMCO.
Catatannya menjadi tular dan menarik lebih 10,000 reaksi serta 4,500 komen sejauh ini.
Beberapa pengguna tidak berasa selesa dengan hidangan masakan Cik Omeychua itu. Ada yang mengatakan bahawa mereka berasa loya memikirkan ikan peliharaannya dijadikan lauk untuk dimakan.
"Jika ia berlaku kepada saya, tidak sanggup saya untuk makan ikan peliharaan saya. Saya akan menanamnya, kerana terlalu menyedihkan," kata seorang pengguna Facebook.
"Ikan itu terlalu comel untuk dimakan. Saya rasa kita semua ada citarasa masing-masing," kata seorang lagi pengguna.
Ada juga yang terkejut setelah mendapat tahu ikan koi sebenarnya boleh dimakan.
"Jadi sebenarnya anda boleh makan ikan koi. Selama ini, saya fikir ia hanya hiasan cantik bagi kolam," kata seorang pengguna.
Beberapa warga Malaysia pula mendakwa pernah makan sup ikan koi di beberapa restoran di Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.
Dalam salah satu komennya, Cik Omeychua meminta maaf kepada sesiapa yang tekak terasa loya setelah melihat hidangannya yang luar biasa.
Ikan koi adalah haiwan peliharaan yang popular di banyak negara Asia di mana ia dilihat sebagai simbol kemakmuran.
Ikan jenis bermutu tinggi dapat mencecah harga tinggi. Malah, ikan koi paling mahal di dunia dijual pada harga AS$1.8 juta (S$2.38 juta) kepada seorang wanita Taiwan pada tahun 2018.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.