Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Hendak masak apa semasa bekerja dari rumah? Ini 6 resepi ringkas & mudah

Berikut kami kongsi enam resepi mudah. Tak sampai 15 minit sudah siap. Cubalah!

Anggaran Waktu Membaca:
Hendak masak apa semasa bekerja dari rumah? Ini 6 resepi ringkas & mudah

Hendak masak apa semasa bekerja dari rumah? Ini 6 resepi ringkas & mudah. (Gambar-gambar: Unsplash/Pixabay)

BERITAmediacorp: Bekerja dari rumah (WFH) kini sudah menjadi satu norma bagi kebanyakan orang.

Apabila sibuk bekerja, mungkin ada yang tidak sempat atau malas hendak keluar ke kedai membeli makanan. Hendak tempah menerusi wadah-wadah tempahan makanan pula, mungkin sudah terlebih belanja, khususnya apabila hampir hujung bulan.

Nampaknya, memasak adalah pilihan terbaik. Jika perkara pertama yang timbul dalam fikiran anda adalah "tidak sanggup hendak berkelentang-kelentung di dapur memasak hidangan yang renyah".

Siapa kata memasak perlu mengambil masa yang lama dan leceh?

Berikut kami kongsi enam resepi mudah. Tak sampai 15 minit sudah siap. Cubalah!

'OMELETTE' 3 MINIT

Hidangan telur dadar ini berkhasiat dan enak dimakan panas-panas.

Bahan

2 biji telur
Sedikit lada benggala (dicincang)
Kepingan daging salai/salmon (dihiris)
Sedikit bayam (dihiris)
Garam dan lada sula (ikut citarasa)

Cara

Satukan semua bahan. Kacau rata dan masukkan ke dalam bekas kecil sesuai untuk dipanaskan dalam ketuhar gelombang mikro. Masak dua hingga tiga minit. Pastikan telur melimpah keluar daripada bekas.

MURTABAK MI SEGERA

Selalunya anda makan mi segera bersup atau digoreng dengan bahan tambahan seperti sayuran, daging atau ayam.

Kali ini cuba cara berbeza untuk membuat mi segera murtabak dengan menggunakan bahan asas yang ringkas.

Bahan

1 bungkus mi segera
1 biji telur
Sedikit daun bawang
Hirisan cili (opsyenal)

Cara

Celur atau rebus mi dalam air panas hingga lembut. Buang airnya dan toskan. Pukul telur dalam mangkuk dan masukkan bahan serbuk mi segera, hirisan daun bawang dan cili hiris.

Masukkan mi yang sudah direbus tadi. Gaul rata.

Panaskan kuali leper dengan sedikit minyak dan goreng mi seperti membuat pankek atau murtabak. Goreng hingga garing kedua bahagian. Siap untuk dimakan!

AVOKADO COKLAT

Menyegarkan, mengenyangkan, berkhasiat dan mudah disediakan.

Bahan

½ avocado
1 pisang
1 cawan susu coklat

Cara

Masukkan avocado, pisang dan susu ke dalam blender dan kisar hingga halus. Tuang ke dalam gelas dan letakkan ketulan ais, jika suka. Aahhhh….Syioknya!

KEK PERIUK NASI

Pernahkah anda terfikir bagaimana anda boleh buat kek dengan menggunakan periuk nasi?

Sekarang anda boleh buat eksperimen.

Bahan

2 cawan tepung naik sendiri
2 sudu makan gula
2 bji telur (dipukul perlahan)
375ml susu

Cara

Masukkan tepung, gula dan telur dalam mangkuk dan pukul sambil masukkan susu sedikit demi sedikit. Gaul rata.

Tuangkan bancuhan ke dalam periuk nasi dan biarkan hingga masak anggaran 15 hingga 20 minit bergantung kepada periuk nasi anda.

BISKUT KACANG

Perut keroncong setibanya waktu minum teh petang. Mulut pula terasa hendak mengunyah. Daripada menempah makanan cemilan, apa kata anda nikmati biskut ini sebagai snek petang.

Bahan

125g cawan mentega kacang
Sedikit kacang (opsyenal)
60g gula pasir
1 biji telur

Cara

Panaskan ketuhar suhu 180 darjah selsius. Campurkan semua bahan-bahan dalam bekas, gaul rata. Bentukkan menjadi doh kecil. Kemudian susun doh di atas dulang pembakar yang sudah disapu dengan sedikit mentega atau minyak dan tekan adunan menjadi leper sedikit.

Bakar selama tujuh hingga 10 minit. Apabila siap, nikmatinya dengan Teh O!

PISANG KEJU

Tekak terasa nak makan pisang goreng. Tetapi tidak boleh keluar rumah untuk ke kedai.

Tiada masalah! Jika terdapat baki pisang di rumah, apa kata anda buat sendiri pisang keju berkulit popiah.

Bahan

2 biji pisang (dilenyek)
Sedikit keju (diparut)
Beberapa helai kulit popiah

Cara

Ambil kulit popiah, letakkan pisang lenyek dan keju parut. Gulung popiah. Goreng hingga garing keemasan. Toskan dan 'ngap' terus.

Tak susahkan nak siapkan sajian ringkas semasa bekerja di rumah?

Yang pasti ia mudah, cepat dan tidak perlu menggunakan banyak bahan. Selamat mencuba! 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan