Skip to main content

Gaya Hidup

Hendak buat apa pada cuti umum 9 Ogos? Ini idea untuk anda

Anggaran Waktu Membaca:
 Hendak buat apa pada cuti umum 9 Ogos? Ini idea untuk anda

Gambar hiasan. (Gambar: Rogan Yeoh/Unsplash)

SINGAPURA: Cuti umum Hari Kebangsaan ke-58 Singapura sudah bermula!

Jika anda masih belum ada rancangan atau idea apa yang mahu dilakukan bersama keluarga dan rakan-rakan, kami sudah mendapatkan idea-idea menarik daripada beberapa pembaca BERITA mediacorp.

Berikut antara kegiatan yang boleh anda lakukan pada 9 Ogos dan juga sepanjang minggu ini.

LAWAT MUZIUM

Muzium Negara Singapura menawarkan pelbagai aktiviti, memaparkan ikon-ikon negara, bakat-bakat tempatan serta pameran khas.

Bermula sebelah petang pada 9 Ogos, anda boleh menyaksikan siaran langsung Perbarisan Hari Kebangsaan menerusi layar lebar di halaman depan muzium sambil berkelah di bawah langit bertatahkan bintang gemerlapan.

Permukaan bangunan Muzium Negara pula akan bermandikan cahaya, dengan warna serta lambang Singapura, antara pukul 7.30 malam hingga pukul 12.00 tengah malam pada 9 Ogos.
(Gambar: Muzium Negara Singapura/Facebook)
Jika anda hendak ke sana, anda digalakkan untuk menaiki pengangkutan awam memandangkan tempat meletak kereta di lokasi terhad. Anda juga boleh mencari tempat alternatif untuk meletak kenderaan.

Lebih banyak maklumat boleh diperolehi dari laman Muzium Negara

Anda juga boleh mengunjungi muzium-muzium lain seperti Muzium Tamadun Asia dan Muzium Artscience.

JALAN-JALAN DI KAMPONG GELAM

Pada 9 Ogos, Kampong Gelam akan dibanjiri para pengunjung, yang kemungkinan sebahagian besarnya akan menggayakan pakaian warna merah putih, untuk memeriahkan pelbagai acara.
Ini termasuk pasar lambak dan jualan 'carboot', yang menawarkan barangan daripada pembuat kraf tempatan serta barangan gaya hidup hemat atau 'thrifting', permainan catur dan siaran langsung Perbarisan Hari Kebangsaan.

Ini juga merupakan jualan 'carboot' pertama di Kampong Gelam!

Ia diadakan di Muscat Street, Arab Street dan Baghdad Street dari pukul 4.00 petang hingga pukul 10.00 malam.

MANDI-MANDA DI WILD-WILD WET

Ini kegiatan yang bukan sahaja seronok bagi kanak-kanak, bahkan orang dewasa juga!

Luangkan masa bermandi-manda di Wild Wild Wet yang terletak di Downtown East Pasir Ris.

Cabar diri untuk mencuba gelongsor air terpanjang di Asia atau bermain bersama anak-anak di taman permainan air Professor's Playground.

Tiket-tiket boleh dibeli online pada harga antara S$26 dengan S$35.

Wild Wild Wet dibuka dari pukul 11.00 pagi hingga pukul 6.00 petang.

TEROKA TAMAN PERMAINAN SG

Meski ia sebuah negara yang kecil, seluas 734.3 kilometer persegi, tidak sedikit taman permainan di Singapura ini.

Pergi sahaja ke mana-mana estet, pasti ada taman permainan. Bukan setakat satu, kadangkala dua hingga tiga taman permainan disediakan.

Berikut antara taman permainan terbesar di Singapura untuk anda terokai pada cuti umum ini:

1. Taman Permainan Admiralty Park
Alamat:
31 Riverside Road, Singapore 730000

2. Coastal Playgrove di East Coast Park
Alamat:
East Coast Park, Area B, Carpark B2 (berdekatan Road Safety Park)

3. Taman Permainan Marine Cove
Alamat:
1000 ECP, Singapore 449876

4. Taman Permainan West Coast Park
Alamat:
W Coast Ferry Road, Singapore 126978

5. Taman Permainan Jurong Lake Gardens
Alamat:
Jurong Lake Gardens, 100 Yuan Ching Road, Singapore 618662

'HOTPOT', 'STEAMBOAT', 'BBQ' DI RUMAH

Jika anda memilih untuk berada di rumah sahaja pada hari cuti ini, tidak bermakna anda tidak boleh berseronok.

Apa kata anda kumpulkan anggota keluarga untuk makan 'steamboat', BBQ atau 'hotpot' di rumah.
Steamboat. (Gambar: Amanda Lim/Unsplash)
Setiap anggota keluarga yang hadir juga boleh membawa satu hidangan dah akhirnya, pelbagai juadah terhidang di atas meja.

Sambil-sambil makan dan bersembang, anda boleh menonton perbarisan hari kebangsaan di televisyen dan bernyanyi lagu-lagu kegemaran anda beramai-ramai. Terserlah semangat patriotik!

BERBASIKAL MERATA SG

Semarakkan semangat Singapura dengan berbasikal di merata Singapura, lengkap berpakaian merah putih dan hiasan bendera negara pada basikal.

Mungkin juga boleh mainkan lagu-lagu Singapura sepanjang jalan.

Dengan lebih 200 kilometer penghubung taman disediakan di merata negara, pasti banyak yang dapat dilihat dan membangkitkan rasa bangga kita sebagai rakyat Singapura, menerusi kegiatan berbasikal ini.
Sumber : BERITA Mediacorp/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita