Hati-hati tunjuk isyarat 'peace' semasa bergambar boleh akibatkan maklumat peribadi dicuri
Tahukah anda bahawa maklumat biometrik anda boleh dicuri hanya menerusi gambar-gambar dengan isyarat tersebut?
Gambar hiasan seorang wanita menunjukkan isyarat 'peace'. (Gambar: AFP)
JEPUN: Ramai antara kita yang biasa menunjukkan isyarat 'peace' menggunakan jari hantu dan jari telunjuk semasa mengambil gambar.
Namun, tahukah anda bahawa maklumat biometrik anda boleh dicuri hanya menerusi gambar-gambar dengan isyarat tersebut ataupun yang menunjukkan bahagian perut jari?
...teknologi kamera pengguna kini sudah semakin canggih sehingga gambar yang dipetik dari sejauh 3 meter sekalipun boleh mengutip maklumat biometrik seseorang individu. - Prof Isao Echizen
Para pengkaji di Institut Informatik Nasional Jepun (NII) memberi amaran bahawa gambar-gambar yang mendedahkan bahagian perut jari boleh menimbulkan risiko keselamatan, lapor laman Alphr.
Ini kerana, para penggodam boleh mengimbas dan meniru cap jari tersebut. Lebih-lebih lagi, dengan teknologi kamera yang semakin lama semakin canggih.
Menurut seorang profesor NII, Isao Echizen, teknologi kamera pengguna kini sudah semakin canggih sehingga gambar yang dipetik dari sejauh tiga meter sekalipun boleh mengutip maklumat biometrik seseorang individu.
"Hanya dengan melakukan isyarat 'peace' di hadapan kamera, cap jari boleh diperolehi dengan meluas," Profesor Echizen memberitahu akhbar Sankei Shimbun dan di petik oleh laman Alphr.
"Data cap jari boleh dihasilkan semula jika ia kelihatan jelas dan terang dalam gambar," tambah beliau.
Profesor Echizen dan para pengkaji lain di NII berupaya meniru cap jari yang wujud dalam gambar-gambar yang dipetik menggunakan kamera digital.
Mereka mengatakan bahawa proses meniru itu langsung tidak memerlukan teknologi yang begitu canggih, lapor laman Alphr lagi.
Gambar hiasan. (Gambar: AFP)
Ini bukanlah kali pertama sejak kebelakangan ini, demonstrasi pencurian data biometrik menerusi gambar seperti itu dibuktikan boleh dilakukan.
Pada 2014, penggodam Jan "Starbug" Krissler berupaya menggunakan gambar definisi tinggi untuk meniru cap jari Menteri Pertahanan Jerman Ursula von der Leyen.
"Selepas ini, ahli politik mungkin akan memakai sarung tangan apabila berada di tempat umum," seloroh beliau.
TAPI SAYA BUKAN AHLI POLITIK...
Namun, adakah orang-orang biasa juga perlu berhati-hati untuk tidak mendedahkan perut jari mereka semasa mengambil gambar?
Jawapannya, ya!
Biometrik semakin kerap digunakan bagi memastikan keselamatan. Malah, ia dilihat sebagai jauh lebih selamat berbanding kata laluan (password).
Lihat sahaja di sekeliling anda. Dari telefon bijak ke kenderaan, hampir semuanya menggunakan biometrik.
Tambahan lagi, gambar-gambar yang dipetik seringkali dimuat naik ke media sosial. Ini bermakna, lebih mudah untuk seseorang meniru atau mencuri data biometrik anda dan menjualnya di 'dark web' atau lelaman gelap.
Berbeza dengan kata laluan yang boleh diubah-ubah dari masa ke masa, cap jari anda kekal sama sepanjang hayat.
Di Singapura sendiri, biometrik digunakan untuk mengakses khidmat-khidmat awam, seperti SingPass. Ini tentunya mengandungi begitu banyak maklumat peribadi seseorang individu.
Mungkin selepas ini, anda akan berfikir dua kali sebelum memetik gambar sambil menunjuk isyarat 'peace!'.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.