Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Hari Batman disambut Sabtu ke-3 setiap Sep; jatuh pada 17 haribulan tahun ini

Hari ini adalah Hari Batman dan ia disambut seantero dunia.

Anggaran Waktu Membaca:
Hari Batman disambut Sabtu ke-3 setiap Sep; jatuh pada 17 haribulan tahun ini

Gambar yang dikeluarkan oleh Warner Bros menunjukkan Robert Pattinson dalam sebuah adegan "The Batman". (Gambar: Jonathan Olley/Warner Bros. Pictures menerusi AP)

WASHINGTON: Hari ini adalah Hari Batman dan ia disambut seantero dunia.

Menurut laman National Today, Hari Batman disambut pada Sabtu ketiga setiap bulan September, yang jatuh pada tanggal 17 September tahun ini.

Pada Hari Batman, orang ramai meraikan adiwira itu dan riwayat hidupnya yang seolah-olah tidak dimamah zaman melalui buku-buku komik serta filem.

Hari Batman diraikan di seluruh dunia disebabkan sosok popular Batman di televisyen, filem dan juga komik.

Selama 80 tahun, Batman meraih populariti sebagai watak adiwira yang mencerminkan keadilan bagi para peminat di seluruh dunia.

SEJARAH HARI BATMAN

Hari Batman sebenarnya diraikan bagi memperingati kemunculan pertamanya dalam ‘‘Detective Comic’’ pada tahun 1939. Hari itu pada asalnya jatuh pada bulan Jun tetapi ia sudah beberapa kali ditukarkan.

Hari Batman yang pertama secara rasminya jatuh pada 23 Jun 2014 untuk memastikan ia bertepatan dengan acara konvensyen 'Comic-Con International' di San Diego pada tahun tersebut.

Di Comic-Con, ulang tahun ke-75 Batman diraikan melalui penjualan barang-barangan Batman dengan kedai yang mengambil bahagian menjual bekalan Batman dari empat era berbeza sepanjang kerjaya watak protagonis itu.

Sepanjang lima hingga enam tahun yang lalu, syarikat penerbit filem Warner Bros dan syarikat hiburan DC Entertainment mengadakan sambutan Hari Batman yang memperingati watak klasik itu. Tahun ini, ia menjanjikan sambutan yang paling besar dan gah.

Secara tradisional, peralatan dan barangan berkaitan Batman akan ditawarkan di kedai runcit rakan kongsi. Setiap tahun, DC Entertainment akan berhempas-pulas untuk melaksanakan barisan acara yang paling membuat orang ramai teruja.

Pada 2019, tanda kelawar untuk melambangkan adiwira itu menghiasi langit malam di bandar-bandar utama di seluruh dunia seperti Paris, Berlin, Tokyo dan New York City - yang dikatakan adalah Gotham City yang sebenar.

Acara-acara lain yang turut dianjurkan termasuk sesi bercerita tentang Batman dan maraton lima kilometer bertemakan adiwira itu.

FAKTA MENARIK

Keputusan untuk menyambut Hari Batman pada September masih tidak jelas diketahui dan kekal satu misteri sepertimana watak adiwira itu sendiri.

Bagi menghormati Hari Batman, menara Empire State Building biasanya akan dinyalakan dengan cahaya berwarna kuning.

Setiap tahun pada Hari Batman, sebuah panel perbincangan yang menghimpunkan para penulis Batman akan diadakan di New York.

Batman boleh bertutur dalam 400 bahasa.

Pada 2019, Hari Batman disambut dua kali iaitu pada 30 Mac dan 21 September.
 
Sumber : Sumber Web/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan