Skip to main content

Gaya Hidup

Hantaran: Lambang kasih & keikhlasan

Anggaran Waktu Membaca:
 Hantaran: Lambang kasih & keikhlasan

(Gambar: Pexel)

Diterbitkan : 22 May 2026 09:19PM Dikemas Kini : 22 May 2026 09:20PM
SINGAPURA: Dalam budaya masyarakat Melayu, hantaran bukan sekadar pelengkap majlis pertunangan atau perkahwinan, tetapi merupakan lambang penghargaan, tanda kesungguhan, serta simbol penyatuan dua keluarga.

Tradisi ini telah lama menjadi sebahagian daripada adat resam yang diwarisi turun-temurun dan sehingga hari ini masih kekal diamalkan walaupun dalam bentuk yang lebih moden dan segar.

Walaupun perubahan zaman membawa pelbagai pembaharuan dalam cara hidup masyarakat, nilai asas dalam pemberian hantaran tetap tidak berubah, ia melambangkan tanda hormat, kasih sayang dan permulaan ikatan yang lebih bermakna antara dua insan dan keluarga.

Jika dahulu dulang hantaran lebih sinonim dengan sirih junjung, kain pasang, telekung selain manisan tradisional, kini pilihan pasangan lebih kepelbagaian, kreatif serta bersifat peribadi. Perubahan gaya hidup generasi muda telah menjadikan hantaran bukan sekadar simbol adat, tetapi juga satu bentuk ekspresi diri.
Trend masa kini tidak lagi tertumpu kepada nilai semata-mata, sebaliknya lebih menekankan elemen estetika, fungsi serta identiti pasangan itu sendiri. Setiap hantaran kini sering dipilih berdasarkan minat selain gaya hidup. Kehadiran media sosial seperti TikTok, Pinterest dan Instagram juga memainkan peranan besar dalam membentuk trend gubahan hantaran moden.

Platform ini kini menjadi sumber inspirasi utama bagi bakal pengantin untuk mencari idea dekorasi yang menarik, unik dan terkini. Tidak hairanlah ramai pasangan kini lebih cenderung memilih konsep hantaran yang minimalis, eksklusif dan mesra fotografi.

Selain dapat serlahkan keindahan majlis secara visual, gaya ini juga membantu menghasilkan gambar yang lebih kemas, estetik dan sesuai untuk dikongsi di media sosial sebagai kenangan.
PILIHAN WARNA DAN KONSEP

Penggunaan warna-warna neutral seperti putih, krim dan pastel lembut semakin menjadi pilihan kerana ia memberikan kesan bersih, tenang dan mewah secara visual. Konsep gubahan yang tidak terlalu sarat tetapi tersusun rapi juga semakin digemari kerana ia mudah disesuaikan dengan pelbagai tema majlis, sama ada tradisional, moden atau kontemporari. Gaya sebegini ternyata lebih malar segar dan tidak mudah lapuk ditelan zaman.

Dari segi pemilihan barangan hantaran, selain wangian berjenama, jam tangan, beg tangan dan kasut, semakin ramai pasangan juga memilih untuk menghadiahkan gajet serta barangan yang lebih dekat dengan minat dan gaya hidup masing-masing. Sebagai contoh, jersi bola, kasut sukan edisi khas bagi penggemar sukan, jam pintar untuk individu yang aktif selain set kamera bagi mereka yang meminati bidang fotografi.

Ada juga yang memilih barangan hobi seperti alat muzik atau peralatan teknologi tertentu. Jelas sekali, trend hantaran masa kini lebih versatil, moden dan mencerminkan keperibadian serta hubungan unik antara pasangan.
Dari segi gubahan pula, ada yang memilih untuk menggunakan khidmat penggubah profesional bagi memastikan hasil hantaran tampil lebih eksklusif, kemas dan selari dengan tema majlis. Dengan adanya kepakaran dalam dekorasi, setiap dulang hantaran dapat direka dengan lebih terperinci dan menarik perhatian.

Malah, ada bakal mempelai juga sanggup memperuntukkan bajet yang besar untuk gubahan hantaran kerana ingin memastikan keseluruhan majlis kelihatan lebih premium, teratur dan meninggalkan impak visual yang eksklusif dan lebih menarik.

Namun begitu, dalam keghairahan mengikuti trend semasa, konsep sederhana tetap tidak diketepikan kerana ia lebih praktikal, menjimatkan kos dan tidak membebankan kewangan pasangan.

Hakikatnya, yang paling penting ialah keikhlasan serta usaha dalam menyediakan hantaran sebagai tanda penghargaan kepada insan tersayang.
Related article image
(Gambar: Ola Lola)
10 IDEA GUBAHAN DULANG HANTARAN

Bagi bakal pengantin yang sedang mencari idea, berikut merupakan antara inspirasi gubahan hantaran yang sederhana dan boleh dijadikan rujukan. Gabungan elemen tradisional dan moden ini mudah di olah dan disesuaikan mengikut tema majlis masing-masing. Antaranya...

Sirih junjung klasik moden

Simbol tradisi ini kekal relevan dalam adat Melayu. Kini ia diberi sentuhan moden dengan tambahan bunga rampai atau air mawar yang memberikan aroma harum serta menyerlahkan lagi keindahan gubahan.
Related article image
(Gambar: Ben Dasuki)
Bekas kaca minimalis

Rekaan kotak kaca lutsinar dengan bingkai emas memberikan sentuhan moden dan mewah. Hiasan seperti bunga kecil, mutiara dan reben satin menambah elemen elegan menjadikan hantaran lebih eksklusif.
Related article image
(Gambar: Pexel)
Kotak hantaran elegan

Rekaan ringkas tetapi kemas ini mudah disesuaikan dengan pelbagai tema majlis. Hiasan minimal seperti reben lembut atau bunga kecil sudah cukup untuk menaikkan seri tanpa kelihatan berlebihan.
 
Related article image
(Gambar: Pexel)
Gubahan bunga segar

Bunga segar sentiasa menjadi pilihan kerana aura romantik dan keindahannya yang semula jadi. Warna pastel seperti putih, krim dan merah jambu sangat sesuai untuk fotografi dan suasana majlis.
 
Sangkar burung

Sesuai untuk tema taman atau rustik, sangkar burung memberikan sentuhan klasik yang unik. Apabila dipadankan dengan bunga dan renda, ia menghasilkan gubahan yang romantik dan estetik.
 
Related article image
(Gambar: Pexel)
Fabrik minimalis

Penggunaan fabrik seperti satin, batik atau renda untuk membalut hantaran memberikan sentuhan kemas dan sofistikated. Hiasan ringkas seperti kerongsang sudah mencukupi untuk melengkapkan gaya.

Bakul anyaman tradisional

Ia kekal menjadi pilihan kerana sifatnya yang versatil dan klasik. Ia boleh dihias dengan bunga kecil, reben atau kain lembut untuk menghasilkan tampilan yang sederhana tetapi menarik.
Related article image
(Gambar: Pexel)
Bekas kayu rustik

Gaya natural ini semakin digemari kerana tampil estetik dan sesuai untuk tema rustic. Selain cantik, ia
juga boleh digunakan semula sebagai dekorasi rumah selepas majlis.

Origami wang kreatif

Alternatif moden kepada pemberian wang tunai biasa, lipatan origami berbentuk bunga, hati atau corak kreatif menjadikan hantaran lebih menarik, unik dan klasik.
Related article image
(Gambar: Pexel)
Terrarium moden

Menampilkan rekaan seperti taman mini dalam bekas kaca yang moden dan minimalis. Sesuai untuk mempamerkan aksesori kecil seperti barang kemas atau minyak wangi, sekali gus memberikan sentuhan yang lebih eksklusif dan unik.
 
Related article image
(Gambar: Pexel)
Secara ringkas, tidak kira apa juga konsep gubahan yang dipilih, dulang hantaran seharusnya mencerminkan personaliti pasangan. Hantaran yang cantik tidak semestinya mahal, sebaliknya bergantung kepada kreativiti, susunan dan cara persembahan.

Ia merupakan lambang penghargaan yang menjadi kenangan bermakna dalam detik istimewa pasangan pengantin. Sama ada ringkas atau mewah, nilai keikhlasan tetap menjadi elemen utama yang menjadikan sesuatu hantaran itu lebih bermakna dan dikenang sepanjang hayat.
Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita