Halloween Horror Nights ke-11 di USS tampil lebih banyak rumah hantu

(Gambar: Resorts World Sentosa)
SINGAPURA: Bersiap sedia untuk menyelami malam yang menyeramkan mulai 29 Sep hingga 4 Nov, dengan kembalinya Halloween Horror Nights (HHN) bagi edisi ke-11 tahun ini. Acara kali ini akan diadakan sepanjang 18 malam dan bakal menampilkan lima rumah hantu, tiga zon seram, dua pertunjukan langsung dan pengalaman makan malam pelbagai deria.
Berikut ini apa yang perlu anda tahu sebelum beli tiket:
LIMA RUMAH HANTU

Selain daripada kerjasama dengan 'All Of Us Are Dead' yang diumumkan sebelum ini, Halloween Horror Nights tahun ini akan ada empat lagi rumah hantu:
- Rebirth of the Matriarch di mana watak dari HHN yang pertama tampil hadir. Tetamu akan memasuki sebuah rumah ketika upacara untuk menghidupkan semula 'The Matriarch' sedang diadakan.
- DIYU: Descent Into Hell yang mengetengahkan mitologi Cina di mana tetamu akan berdepan dengan Raja Yama yang menghakimi dan menjatuhkan hukuman atas dosa yang dilakukan semasa di dunia.
- Grimm Encounters menampilkan watak Pied Piper yang memainkan lagu-lagu untuk merosakkan cerita dongeng kegemaran ramai.
Butiran bagi rumah hantu yang terakhir akan diumumkan pada satu tarikh kelak.
TIGA ZON SERAM
Dalam perjalanan anda meneroka rumah-rumah hantu, pastikan anda teroka juga zon seram di sekitar Universal Studios Singapura (USS).
- Dead Man's Wharf di mana tetamu akan bersemuka dengan Madame Dragon, lanun Cina yang menakutkan dengan disertai anak kapalnya yang beraneka ragam.
- The Hacker, sebuah kecerdasan buatan (AI) berbahaya yang berkuasa atas alam semesta siber yang menakutkan.
- The Cursed Kiramam, sebuah perkampungan India di mana penduduknya yang dahulu makmur, kini wujud dalam keadaan azab selepas disumpah para dewa.
Dua persembahan turut akan diadakan setiap malam untuk meningkatkan lagi faktor menyeramkan acara itu.
Para tamu juga boleh mencabar diri mereka dengan duduk semeja sambil makan malam bersama Raja Yama dalam 'Jamuan di Neraka'. Mereka boleh menikmati sajian tiga hidangan sambil dilayan makhluk-makhluk Raja Yama.
Acara makan malam itu diadakan di Hollywood China Arcade dalam tiga sesi 80 minit: 6 petang, 7.45 malam dan 9.20 malam. Pengalaman ini berharga S$128 tidak termasuk tiket ke HHN 11.
Pada malam biasa pada hari Isnin dan Selasa, dari 2 hingga 31 Oktober, acara makan malam itu diadakan dua kali sehari pada 5.30 petang dan 7.30 malam. Tiket berharga S$148.
Tiket HHN 11 boleh didapati di lelaman Resorts World Sentosa.
Tiket awal boleh didapati dari sekarang hingga 17 Ogos, dengan harga S$89 bagi malam-malam sibuk dan S$79 bagi malam-malam biasa. Selepas itu, tiket tetap akan mula dijual mulai 18 Ogos. Setiap tiket disertakan dengan baucar makanan dan minuman Halloween Horror Nights S$5, baucar runcit S$5 dan gelang tangan LED interaktif. Bagaimanapun, pengunjung awal juga akan menerima cenderahati Halloween Horror Nights edisi terhad.
Pas ekspres yang membolehkan anda tidak perlu beratur dijual pada harga tambahan S$50.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.