Hadiah Lamborghini untuk suami supaya sentiasa di sisi semasa berpantang
KUALA LUMPUR: Belum pun melahirkan cahaya mata sulung, seorang bakal ibu sudah membuat persiapan awal untuk menjalani tempoh berpantang selepas bersalin.
Bukan biasa-biasa persediaannya apabila sebuah kereta mewah Lamborghini dihadiahkan buat suami sebagai 'ganjaran' kerana menjaganya ketika berpantang.
Semasa berkongsi pengalaman bersama mStar, wanita itu, Anes Ayuni Osman berkata, hadiah diberikan menerusi satu kejutan di sebuah pusat penjualan kereta di Kuala Lumpur pada Jumaat (11 Mac).
Bakal ibu muda berusia 19 tahun itu memberitahu mStar, kereta Lamborghini model Huracan Evo warna 'turquoise' yang dibeli khas buat suaminya itu bernilai RM2 juta (S$648,968).
"Alhamdulillah rezeki kami tak pernah putus sejak berkahwin. Suami pun menjaga saya dengan begitu baik terutama ketika kehamilan saya.
"Selain menghargai pengorbanan suami, hadiah Lamborghini ini kerana mahu dia sentiasa di sisi saya sepanjang tempoh berpantang," katanya yang sarat hamil sembilan bulan kepada mStar.
Dijangka menyambut kelahiran cahaya mata sulung pada akhir bulan ini, dia yang lebih mesra dipanggil Ayuni mempunyai alasan mengapa hadiah yang merupakan kereta kegemaran suaminya, Ahmad Weldan Zulkefli, 20 tahun, diberikan lebih awal.
"Saya beri hadiah awal-awal sebab masa berpantang nanti tak boleh pergi jauh-jauh. Ikut perancangan, saya akan berpantang di rumah keluarga saya di Pasir Mas, Kelantan.
"Mengikut amalan berpantang yang sering dilakukan oleh keluarga saya di Kelantan, tempohnya sehingga 100 hari. Maka tiga bulanlah suami kena ikut saya 'berkampung' di rumah mak ayah saya," ujarnya yang berasal dari Pasir Mas dan menetap di Kota Bharu.
Menurut usahawan muda yang mendirikan rumah tangga pada Februari 2021 ini, pastinya dia mengharapkan yang terbaik daripada suami untuk menjaganya sepanjang tempoh berpantang.
"Saya jangkakan suami bukan sekadar sentiasa bersama saya, tapi dia kena jaga siang dan malam. Sebabnya saya kemungkinan akan bersalin secara 'czer'.
"Ibu-ibu pasti tahu sakitnya selepas bersalin 'czer'. Jadi, saya mahu lebih perhatian daripada suami," kata Ayuni yang merahsiakan jantina anak tapi mendedahkan namanya akan mempunyai awalan huruf A sebagaimana namanya dan suami, yang juga merupakan seorang usahawan.
Selain menjaga bayi sepanjang tempoh berpantang, Ayuni yang mengusahakan bisnes kosmetik turut berharap suami akan mencuci lampin dan membersihkan najis serta kencing anak.
"Suami okay je nak bersihkan sebab selama ni dia juga selalu buat perkara sama pada kucing peliharaan kami. Suami juga boleh berjaga waktu malam sebab otak bisnes suami lebih ligat waktu malam buat kerja marketing.
"Suami pernah tak tidur sampai ke pagi. Dia cuma risau bila berjaga malam dan siang tidur, masa siang tu pula anak meragam. Kalau jadi macam tu, saya kena kejutkan suami untuk uruskan anak," ujarnya secara bergurau.
Video Ayuni membuat kejutan kepada suaminya meraih lebih sejuta tontonan kurang 24 jam menerusi aplikasi TikTok, menurut mStar.
Kisah Ayuni pernah tular apabila berbelanja sebanyak RM50,000 (S$16,220) dalam masa sehari bagi membeli beberapa beg jenama mewah Louis Vuitton untuk keperluan bayi yang bakal lahir.
Wanita ini juga pernah meraih perhatian apabila mengidam untuk memiliki kereta mewah Lamborghini model Aventador SV bernilai RM3 juta (S$971, 910) ketika hamil, dan permintaan itu ditunaikan suaminya selepas berjaya memenuhi syarat dengan salah satu videonya di aplikasi TikTok mendapat 100,000 likes.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.