Skip to main content

Gaya Hidup

Hab gaya hidup hipster terbaharu SG di Kada

Anggaran Waktu Membaca:
Hab gaya hidup hipster terbaharu SG di Kada

Gambar: BERITA Mediacorp/ Nurul Sakina

SINGAPURA: Ramai mungkin tidak ingat lagi bangunan bekas hospital St Andrew's Mission di sebelah Pusat Makanan Maxwell. Bangunan warisan tahun 1920-an di Jalan Kadayanallur itu baru-baru ini telah diubah menjadi Kada, hab gaya hidup kreatif baharu yang menempatkan beberapa kedai F&B dan khidmat kesihatan.

Gabungan kedai dan perkhidmatan yang ditawarkan sejajar dengan nama bangunan peninggalan British itu iaitu 'KADA' yang merujuk kepada gelang tradisional orang Punjabi, dipercayai memberi tuah dan kesejahteraan.

Gambar: Hospital St. Andrew’s Mission

Hab 'moden' yang kaya dengan sejarah

Bangunan tiga tingkat itu mengekalkan struktur asalnya meski pernah dibom pada Perang Dunia ke-2. Ia juga pernah menjadi gudang bekalan perubatan dan sebuah dispensari.

Kini ia menawarkan pelbagai kemudahan kesejahteraan termasuk kafe 'hipster', studio senaman 'Pilates', sebuah hotel, gimnasium dan spa. Ia juga mempunyai sudut-sudut bergambar yang 'insta-worthy'.

Hotel di Kada mempunyai 18 bilik berhawa dingin yang berkongsi kemudahan. Ia dikendalikan di bawah Habyt Singapore, dengan Wi-Fi percuma disediakan.

Gambar: Hospital St. Andrew’s Mission

Pada tahun-tahun 1920-an, kebanyakan pesakit di hospital itu kanak-kanak yang hidap penyakit tulang belakang.

Bayangkan, jururawat hospital terpaksa mendukung pesakit kanak-kanak naik dan turun tangga sebelum ada kemudahan lif.

Lif eletrik tertua di SG

Semuanya berubah apabila lif dipasang pada 1929.

Bahkan, lif di bangunan itu dikatakan adalah lif elektrik tertua di Singapura yang masih berfungsi.

Ia masih lagi beroperasi hingga ke hari ini untuk membawa pengunjung ke tingkat 2 hingga ke bumbung di tingkat empat.

Pengalaman wartawan BERITA Mediacorp menaiki lif zaman 1920-an itu mencetuskan pelbagai perasaan. Ada perasaan takut sedikit, kalau-kalau lif mati di tengah jalan.

Ada juga perasaan teruja apabila mengenang kembali sejarahnya dan pelbagai pengunjung yang pernah menaiki lif itu sepanjang ia beroperasi.

Tidak seperti lif zaman sekarang yang mempunyai pintu automatik, pintu besi itu harus dibuka sendiri, dan seterusnya ditutup sendiri dengan rapi. Bagi anda yang ingin rasa sendiri menaiki sebuah lif antik disediaakan panduan untuk membantu anda.

Salah satu maklumat menarik tentang lif itu ialah, ia dipasang oleh syarikat British 'Smith, Major and Stevens' dan dibiayai hasil kutipan derma. Meski bunyinya agak menyeramkan, lif itu adalah antara sudut 'insta-worthy' untuk bergambar dan dimuat naik ke media sosial.

Ada makanan halal?

D'Penyetz Heritage merupakan satu-satunya kedai makanan yang bersijil halal di Hab Gaya Hidup KADA. Ia menghidangkan makanan Indonesia seperti Nasi Ayam Penyet, Mi Soto, Indomie dan sebagainya.

Gambar: Nur Syafeera

Meskipun ia cawangan D'Penyetz, namun satu-satunya yang mempamerkan tanda 'warisan' serta menyediakan sajian eksklusif sambal madura.

Sebilangan besar kedai F&B lainnya merupakan kafe yang dikendalikan usahawan muda.

Inisiatif SLA pelihara bangunan warisan

Seperti projek di New Bahru yang juga baru-baru ini juga diubah suai, Hab Gaya Hidup KADA adalah insiatif Penguasa Tanah Singapura (SLA) untuk memelihara bangunan-bangunan warisan dan sejarah.

Ini dilakukan dengan mengekalkan struktur bangunan dan menjadikannya tempat-tempat yang lebih sesuai dengan gaya hidup penduduk Singapura pada zaman sekarang.

Mungkinkah Hospital Lama Changi pula menjadi projek SLA seterusnya diubah suai memandangkan ia belum dirobohkan? 

Sumber : BERITA Mediacorp/SF/ft
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita