Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Guna peranti 2 jam sebelum tidur jejas tidur, sukar lelap mata

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Penggunaan peranti mudah alih dalam tempoh dua jam sebelum tidur akan mengaktifkan hormon di dalam badan hingga menyukarkan seseorang untuk melelapkan mata selepas tempoh itu.

Menghabiskan masa dengan peranti sudah menjadi kelaziman kepada semua golongan termasuk yang berusia, seperti dilaporkan oleh BH Online.

Lebih parah lagi, disebabkan pelbagai faktor lain menyebabkan golongan berusia melebihi 50 tahun ke atas lebih berisiko berdepan masalah sukar tidur malam dan menghidapi pelbagai penyakit.

Justeru, sering kali kita mendengar keluhan hampir kebanyakan warga emas dan golongan pertengahan usia mengadu kerana sukar melelapkan mata pada waktu malam hingga menginjak ke lewat pagi.

Bahkan berdasarkan pengamatan ramai, ibu yang berusia awal 70an turut mengalaminya.

Bagaimanapun, ia seolah-olah 'alah bisa tegal biasa' bagi warga tua sedemikian kerana perkara itu berlaku setiap hari hampir bertahun lamanya, lapor BH Online.

Adakah ia hakikat yang pasti ditanggung oleh golongan berusia, iaitu sukar tidur malam atau insomnia?

KURANG HORMON MELATONIN

Mengulas mengenainya, Pakar Perubatan Klinikal dan Ketua Jabatan Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Alvin Oliver Payus, berkata tidak dinafikan masalah tidur memang sering berlaku kepada golongan pertengahan bermula umur 50 tahun sehingga usia melangkaui 66 tahun ke atas.

Katanya, warga emas berusia 66 tahun ke atas memang dikenal pasti mempunyai masalah sukar untuk tidur disebabkan hormon di dalam badan berkurangan antaranya melatonin.

"Di peringkat ini, rata-rata waktu tidur mereka sedikit sahaja dan sukar untuk mendapatkan tidur yang lena," kata beliau.

"Memandangkan ia adalah perkara yang sering dihadapi, warga emas ini sentiasa disarankan untuk mendapatkan jumlah tidur yang mencukupi, iaitu antara tujuh hingga sembilan jam dalam sehari biarpun bukan pada waktu malam.

"Selain itu, dari segi pemakanan pula, mereka dinasihatkan untuk tidak minum kafein pada waktu tengah hari atau petang, kurangkan merokok dan alkohol untuk fokus tidur pada waktu malam," kata beliau.

Menurut kajian Yayasan Tidur Kebangsaan (NSF) pada 2015, mutu tidur yang baik adalah dalam jangka masa tujuh hingga sembilan jam secara berterusan.

Sekiranya terbangun untuk buang air kecil sekali sahaja tidak mengapa kerana ia adalah normal dan pastinya keesokan hari bangun, bertenaga dan tidak lesu.

PERLU TIDUR YANG BERMUTU

Dr Alvin berkata, berbeza bagi golongan usia pertengahan, keadaan mungkin bertambah teruk dalam tempoh pandemik ini sekiranya mereka kerap menghabiskan masa dengan peranti sebelum tidur.

"Maksudnya gaya hidup mereka berubah secara tidak langsung ketika pandemik kerana tidak dapat menjalankan gaya hidup aktif seperti biasa sebelum ini.

"Bahkan tempoh masa lebih lama di rumah, secara tidak langsung jadual tidur tidak teratur hingga mengganggu tempoh tidur yang sepatutnya dilalui sebelum ini," kata beliau.

Menjelas lebih lanjut kepentingan tidur bermutu pada waktu malam, beliau berkata ia adalah waktu proses penyembuhan berlaku dan sekiranya terganggu, ia boleh mengundang pelbagai penyakit kardiovaskular.

"Sekiranya penggunaan gajet berlaku dalam tempoh dua jam sebelum tidur, ia akan mengaktifkan hormon di dalam badan hingga menyukarkan mata untuk terlelap.

"Dari sudut kesihatan, ia memberi risiko penyakit kardiovaskular seperti sakit jantung, lumpuh, berat badan meningkat, diabetes dan sistem imunisasi akan berkurangan dengan mudah.

"Selain itu, apabila proses penyembuhan tidak berlaku dengan lancar, ia akan menyebabkan salur darah tersumbat, sel badan akan kurang sensitif dan dalam masa yang sama anda akan lapar dan makan pada waktu malam," katanya.

NAIK BERAT BADAN, DARAH TINGGI

Beliau menjelaskan, bagi golongan pertengahan usia ini mereka akan mudah mengesan tanda awal iaitu darah tinggi, berat badan meningkat dan gula tidak terkawal di dalam badan.

Selain itu, mereka akan berdepan dengan keadaan seperti kurang daya tumpuan, memori tidak bagus, emosi tidak terkawal dan mudah lesu, seperti dinukil daripada BH Online.

"Menyentuh mengenai posisi tidur bagi membantu tidur yang lena, setakat ini belum ada posisi yang boleh membantu melainkan seseorang yang berdepan keadaan perut boroi, mengandung atau sakit pinggang.

"Bagaimanapun, dari segi rawatan, sekiranya mereka didapati mempunyai masalah insomnia, kita akan berikan rawatan psikoterapi dikenali terapi perilaku kognitif dengan cara mengenal pasti apa menyebabkan sukar tidur dan membantu menyelesaikannya.

"Rawatan menggunakan ubat tidur hanyalah jalan terakhir dan hanya boleh diberikan oleh doktor berdasarkan kepada penyakit dihadapi dan selepas selidik semuanya kerana ia berbahaya jika terlebih dos," katanya.

Jelasnya, apa pun gaya hidup teratur dan pemakanan yang seimbang perlu menjadi amalan seiring penambahan usia kerana ia membantu mengekalkan kesihatan tubuh badan.

Selain itu, pastikan penggunaan bilik tidur hanyalah pada waktu sepatutnya tidur dan elakkan makan makanan dengan kandungan lemak atau protein yang tinggi.

Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan