Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Guna minyak masak berulang kali boleh tingkatkan risiko hidap barah?

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Penggunaan minyak masak satu kemestian bagi menyediakan pelbagai jenis makanan, meskipun ada kaedah lain boleh menggantikan bahan itu untuk melengkapkan hidangan.

Malah, banyak produk makanan segera, makanan terproses dan makanan bergoreng juga menggunakan minyak, seperti dinukil BH Online.

Sudah menjadi kebiasaan sejak zaman-berzaman, contohnya digunakan untuk menggoreng pisang, ikan atau lain-lain, lantas sebilangan pihak termasuk peniaga mahu menjimatkan belanja sanggup menggunakan berulang-ulang kali sehingga warna kekuningan jernih bertukar kepada kehitaman, berseredak dan berbau tengik.

Dengan kenaikan harga minyak yang begitu tinggi sekarang, mungkin ramai yang melakukan tindakan itu.

Namun, sejauh mana penggunaan minyak masakan ini memberi kesan buruk kepada kesihatan?

Tahukah anda, kolesterol dan gula dalam darah meningkat serta boleh menyebabkan penuaan sekali gus memberi implikasi buruk kepada kesihatan jika kerap menggunakan minyak masak terpakai, lapor BH Online.

Kajian dijalankan turut mendapati, jika berterusan menggunakan minyak masak terpakai boleh menyebabkan kandungan protein di dalam badan berkurangan.

Kesan lain adalah ia boleh menyebabkan penyakit dan serangan jantung, angin ahmar, radang sendi atau arthritis serta penyakit yang dikaitkan dengan sistem saraf sekali gus menyebabkan penyakit barah.
Gambar: Sumber Web
TINGKATKAN RISIKO KESIHATAN

Menurut Ketua Unit Kesihatan Awam Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Suhainizam Muhammad Saliluddin, minyak masak yang dipanaskan berulang kali boleh meningkatkan risiko buruk kepada kesihatan.

Katanya lagi, ia kerana minyak masak yang dipanaskan berulang kali sehingga suhu 160 sehingga 190 darjah Selsius akan mengalami tindak balas kimia iaitu radikal bebas.

"Radikal bebas ini berbahaya serta boleh menyebabkan sel dan molekul badan rosak. Apabila sudah ada kerosakan, ia akan menyebabkan masalah kesihatan pada badan," katanya.

Minyak masak sepatutnya hanya digunakan maksimum tiga kali dan selepas itu tidak lagi selamat digunakan, lapor BH Online.

"Namun, dalam keadaan harga bekalan itu yang meningkat naik, pengguna boleh melihat tanda-tanda minyak itu sama ada sesuai digunakan lagi atau tidak.

"Jika warna minyak sudah bertukar gelap, menjadi lebih pekat, berbau tengik, lebih cepat berasap dan sudah banyak serdak makanan, ia petanda sudah tidak sesuai digunakan lagi," katanya.

GUNA TIDAK LEBIH 3 KALI

Dr Suhainizam berkata, bagi yang banyak memasak di rumah, mereka tiada masalah untuk memastikan pengguna minyak masak tidak melebihi tiga kali.

Namun katanya, bagi yang banyak membeli juadah di kedai terutama di gerai dan pasar malam, mereka boleh melihat dahulu minyak yang digunakan dan jika sudah gelap, boleh cuba elak membeli.

"Jika di restoran, memang kita tidak dapat lihat minyak digunakan, tetapi kita dapat melihat makanan yang disediakan kurang berkualiti, selain berbau serta lebih berminyak dan itu petanda mudah penggunaan minyak masak berulang kali," katanya.
Gambar: sumber web
MINYAK MASAK 'CUCI' DENGAN TEPUNG JAGUNG

Berkenaan segelintir pihak yang mendakwa minyak masak boleh digunakan semula seperti minyak baru selepas 'mencuci' dengan tepung jagung, Dr Suhainizam berkata, ia tidak digalakkan.

Katanya, ini kerana apabila kali pertama minyak masak dipanaskan ia sudah mengeluarkan radikal bebas.

"Dari segi keadaan minyak memang sudah kelihatan bersih dan jernih seperti minyak yang belum digunakan, tetapi tidak digalakkan buat kerana ia masih sama seperti menggunakan minyak terpakai berulang kali," katanya.

Bagaimanapun, minyak masak terpakai yang sudah tidak boleh digunakan lagi boleh dikumpulkan dan dijual.

"Jangan sesekali membuang minyak masak dalam sinki atau longkang kerana ia boleh menyebabkan pencemaran.

"Minyak masak terpakai boleh dijual dan harganya adalah kira-kira RM1.50 (S$0.48) sekilogram jadi berbaloi untuk dikumpulkan dan dijual," katanya.

CARI ALTERNATIF LAIN MASAK TANPA MINYAK

Justeru beliau berkata, sudah tiba masa orang ramai bukan sahaja mengurangkan penggunaan minyak masak dan minyak masak terpakai, tetapi pada masa yang sama mencari alternatif makanan bergoreng.

Katanya lagi, orang ramai boleh memasak menggunakan kuali menggunakan minyak yang sedikit atau menggunakan 'air fryer' yang memasak tanpa menggunakan minyak.

"Selain itu, untuk melawan semula radikal bebas yang terdapat di dalam badan, boleh memperbanyakkan makan makanan antioksidan seperti sayur-sayuran dan buah-buahan.

"Cara ini bukan sahaja dapat menjimatkan penggunaan minyak, pada masa yang sama dapat memastikan pola pemakanan lebih sihat," katanya.

Justeru, beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa menjalani saringan kesihatan secara berkala bagi memastikan tahap kesihatan sentiasa berada pada keadaan yang baik.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan