Grange House, lokasi hiburan baharu Live Nation, dibuka di Orchard Road jelang pertengahan 2027
Menjelang 2027, para penggemar hiburan secara langsung di Singapura boleh berkunjung sebuah lokasi baharu untuk menghadiri konsert, acara dan pelbagai pengalaman hiburan.
Pentas bagi acara utama di Grange House. (Gambar: Live Nation)
Pertama kali diumumkan pada 2024, Grange House merupakan sebuah lokasi muzik secara langsung pertama Live Nation di Asia Tenggara dan boleh menampung seramai 3,000 orang.
Menurut kenyataan media Live Nation, lokasi tersebut akan mengisi "jurang penting" antara ruang acara berskala lebih kecil di Singapura dengan arena dan stadium yang berskala besar. Ia akan dibuka kepada semua penganjur dan pengendali acara.
Grange House akan terletak berhampiran 313@Somerset, dengan sebuah laluan pejalan kaki menghubungkan kedua-dua lokasi tersebut. Laluan itu akan menampilkan karya seni, pameran dan acara sementara yang bertukar-tukar.
Grange House juga akan mempunyai ruang dalam dan luar bangunan, termasuk teres berlandskap serta kafe dan restoran yang dibuka sepanjang hari. Ruang tersebut boleh digunakan untuk menganjurkan sesi perbincangan masyarakat, rakaman podcast dan acara awam.
Dalam satu kenyataan, Pengarah Urusan Live Nation Singapore, Edward Liu, berkata: "Singapura merupakan pasaran penting bagi Live Nation sejak kami memulakan operasi pada 2006. Sepanjang tempoh itu, kami sudah melabur dalam pasukan tempatan, membina kerjasama yang kukuh serta membawa pelbagai artis dan pengalaman hiburan secara langsung yang hebat kepada para peminat di sini.
"Kami terus melihat potensi yang sangat besar bagi hiburan secara langsung di Singapura dan Grange House merupakan langkah seterusnya dalam perjalanan tersebut."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.