Grafiti 'Hall of Fame' pertama di Asia Tenggara dilancar di Singapura
Jika anda berjalan di kawasan Kampong Gelam, anda pasti pernah terpandang lukisan-lukisan tembok di sekelilingnya.
SINGAPURA: Jika anda berjalan di kawasan Kampong Gelam, anda pasti pernah terpandang lukisan-lukisan tembok di sekelilingnya.
Ini merupakan sebahagian daripada grafiti dipanggil "Hall of Fame" - bermakna tembok-tembok yang dibolehkan di sisi undang-undang untuk dilukis dengan grafiti.
Lukisan tembok atau grafiti terpanjang Singapura itu, yang sepanjang 230 meter dan setinggi 5 meter, dilancarkan hari ini (28 April) di Bali Lane dan Ophir Road.
GRAFITI HALL OF FAME PERTAMA DI ASIA TENGGARA

Menurut penganjurnya One Kampong Gelam (OKG), grafiti Hall of Fame ini merupakan yang pertama di Asia Tenggara. Projek itu turut disokong oleh badan-badan seperti Lembaga Pelancongan Singapura dan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).
Pengerusi OKG, Encik Zaki Maarof, berkata bahawa kawasan yang pada asalnya tidak mempunyai sebarang kegiatan kini diubah menjadi 'Hall of Fame'.
"Ini menjadi satu daya tarikan dan kebanggaan untuk Kampong Gelam tersendiri," kata Encik Zaki.
"Ini juga satu tanda bahawa negara kita ini tidak pernah mengetepikan bidang kesenian di Singapura dan akan selalu cuba untuk bekerjasama dengan para pelukis."
17 PELUKIS, 14 KARYA GRAFITI
Galeri terbuka lagi terbesar di Singapura ini memaparkan 14 karya grafiti dan 17 pelukis mapan mahupun yang sedang meningkat naik dan berpangkalan di Singapura.
Di kalangan mereka termasuklah seniman grafiti prolifik ANTZ dan Didier 'Jaba' Mathieu.
Pihak One Kampong Gelam menyifatkan ini sebagai "Hall of Fame" kelas dunia yang meraikan kepelbagaian, semangat bertenaga dan kebebasan berekspresi.

Terdapat juga satu karya yang merupakan kerjasama antara artis tempatan ZERO dan artis popular Indonesia, Stereoflow. Dipanggil 'Under the Same Sun' ia mahu mencetuskan perbualan tentang masa depan pelancongan.
TIDAK MUDAH HABISKAN LUKISAN MURAL
Hakikatnya bukan mudah untuk menghabiskan 14 lukisan mural itu. Bagi salah seorang pelukis grafiti yang kenali sebagai 'Boon Baked', cabaran datang dengan cara tidak disangka.

"Waktu saya menandatangani kontrak, malam itu juga tangan saya patah jadi saya harus membiasakan melukis dengan satu tangan," kata 'Boon Baked' yang nama sebenarnya ialah Taufiq Rosle.
Bagi Didier Mathieu atau dikenali sebagai 'Jaba', beliau menghadapi cabaran sebagai seorang pelukis bila mula-mula tiba di Singapura beberapa tahun yang lalu.
"Pertama kali saya tiba ke Singapura, sekitar 13 atau 14 tahun yang lalu, tiada ruang bagi kami untuk melukis grafiti dalam skala yang besar," ujar beliau.
"Kini, kami akhirnya mempunyai ruang melukis. Selepas sempadan jalan dibuka semula, kami boleh mula menjemput rakan-rakan kami dari Malaysia, Indonesia, Vietnam dan Philippines untuk melukis di samping kami dalam skala yang besar ini," tambahnya lagi penuh positif.

Bagi kedua-dua pelukis ini, mereka amat berbesar hati diberi peluang melukis bersama para pelukis lain yang handal.
Yang pasti, pihak penganjur menyatakan ia berharap kanvas-kanvas konkrit ini akan menjadi pentas untuk evolusi pelukis grafiti terbaik Singapura dan juga dunia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.