Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Google, YouTube lancar ciri keselamatan baru untuk kanak-kanak

Google pada Selasa (10 Ogos) melancarkan satu siri langkah keselamatan online untuk kanak-kanak termasuk penetapan privet bagi video yang dimuat naik oleh remaja dan perlindungan bagi iklan yang ditayangkan kepada pengguna di bawah usia 18 tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
Google, YouTube lancar ciri keselamatan baru untuk kanak-kanak

Ikon Google di sebuah skrin telefon bijak. (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 11 Aug 2021 10:26AM Dikemas Kini : 11 Aug 2021 10:29AM

WASHINGTON: Google pada Selasa (10 Ogos) melancarkan satu siri langkah keselamatan online untuk kanak-kanak termasuk penetapan privet bagi video yang dimuat naik oleh remaja dan perlindungan bagi iklan yang ditayangkan kepada pengguna di bawah usia 18 tahun.

Ciri-ciri baru itu, yang muncul di tengah-tengah kebimbangan terhadap eksploitasi dan keselamatan online kanak-kanak ketika penggunaan internet semakin meningkat semasa pandemik global sekarang, turut menjejas platform video YouTube milik Google dan juga khidmat onlinenya seperti fungsi carian dan Google Assistant.

"Oleh kerana kanak-kanak dan remaja menghabiskan lebih banyak masa online, ibu bapa, pendidik, pakar keselamatan dan privasi kanak-kanak serta penggubal dasar tentunya prihatin tentang cara menjaga keselamatan mereka," kata pengarah pengalaman produk dan pengguna Google, Mindy Brooks.

"Kami berhubung dengan kumpulan-kumpulan ini secara kerap, dan berkongsi keprihatinan ini."

Ciri "carian selamat" Google - yang menyaring kandungan sensitif atau dewasa - akan menjadi penetapan automatik untuk pengguna di bawah usia 18 tahun. Sebelum ini, penetapan automatik itu hanya untuk pengguna di bawah usia 13 tahun.

Di wadah YouTube yang sangat popular, kandungan daripada pengguna berusia 13 hingga 17 tahun akan menjadi privet secara automatik, umum gergasi teknologi itu.

"Dengan muat naik berciri privet, kandungan hanya dapat ditonton oleh pengguna dan sesiapa yang mereka pilih sahaja," menurut catatan blog oleh Encik James Beser, ketua pengurusan produk untuk YouTube Kids and Family.

"Kami ingin menolong pengguna yang lebih muda membuat keputusan yang tepat mengenai jejak online dan privasi digital mereka ... Sekiranya pengguna ingin membuat kandungan mereka terbuka kepada tontonan umum, mereka dapat mengubah penetapan bagi menentukan siapa yang dapat menonton video-video yang dimuat naik dan kami akan menghantar peringatan yang memaklumkan kepada mereka siapa yang dapat melihat video mereka."

Google juga akan menjadikannya lebih mudah untuk keluarga memohon agar gambar anak mereka dipadam daripada pencarian imej.

"Tentunya, memadam gambar daripada pencarian tidak akan memadamnya dari web sama sekali, namun kami yakin perubahan ini akan membantu memberi orang muda lebih banyak kawalan ke atas gambar online mereka," kata Cik Brooks.

Dalam satu lagi langkah keselamatan, Google akan menutup sejarah lokasi untuk semua pengguna di bawah usia 18 tahun di seluruh dunia, tanpa pilihan untuk membukanya kembali. Ini sudah dilaksanakan bagi mereka yang berumur di bawah 13 tahun.

Google juga akan membuat perubahan dalam cara ia menayangkan iklan kepada kanak-kanak di bawah umur, menyekat sebarang kategori "sensitif usia" dan melarang sasaran iklan berdasarkan umur, jantina atau minat individu di bawah usia 18 tahun.

Sumber : AFP/TQ/tq

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa