Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

'Glamping' unik ini bakal ditawarkan Taman Warisan Melayu sempena cuti sekolah hujung tahun

Kegiatan berkelah seperti yang diketahui ramai biasanya diadakan di tepi pantai. Namun, 'perkelahan' yang bakal ditawarkan oleh Taman Warisan Melayu pada 15 hingga 24 Disember ini, jauh berbeza.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Kegiatan berkelah seperti yang diketahui ramai biasanya diadakan di tepi pantai.

Namun, 'perkelahan' yang bakal ditawarkan oleh Taman Warisan Melayu pada 15 hingga 24 Disember ini, jauh berbeza.

Program itu bukan diadakan di tepi pantai, sebaliknya orang ramai berpeluang untuk ber'glamping' di tempat yang amat unik iaitu di tapak Taman Warisan Melayu sendiri.

Lebih menarik lagi, mereka akan dapat menikmati warna waktu senja memamah suasana menerusi program 2 Hari 1 Malam, Kampong G(e)lamping @ TWM.

SUASANA 'GLAMPING' DI KAWASAN MONUMEN NEGARA

Pengurus Besar TWM, Asmah Alias berkata: "Buat masa ini, orang ramai masih tidak berpeluang untuk ke luar negara, jadi ramai yang mencari-cari pakej yang unik untuk 'Singapoliday' iaitu bercuti di dalam negeri. Jadi, kami bekerjasama dengan rakan-rakan dan peniaga-peniaga di Kampong Gelam untuk mengeluarkan pakej ini yang juga berbaloi.

Acara unik yang diadakan buat pertama kalinya di dalam sebuah kawasan monumen negara itu menawarkan satu slot setiap hari yang dapat menampung sehingga lima orang setiap slot.

Disebabkan program tersebut dijalankan selama 10 hari, ia bermakna hanya 10 kumpulan keluarga atau bersama rakan akan dapat menikmati keunikan pengalaman program tersebut.

Pakej yang ditawarkan pada harga S$450 itu antaranya menawarkan lawatan berjalan kaki ke kawasan Kampong Gelam - menyusuri sejarahnya sambil mendengar kisah-kisah menarik para peniaga di kawasan itu pada sebelah petang.

Mereka juga akan diajak mengunjungi galeri-galeri TWM, termasuk pameran khas Urang Banjar: Warisan dan Budaya Banjar.

Pada sebelah malam pula, juadah seperti Nasi Kerabu dan Sambal Tempe akan dihidangkan untuk santapan mereka oleh cef peribadi Ruqxana Vasanwala.

Sebelum pulang pada keesokan hari, senaman yoga secara bersama akan menyambut pagi mereka.

APA YANG ADA DALAM KHEMAH?

Sebuah 'hammock' akan disediakan di luar khemah bagi para peserta tidur di bawah langit malam.

Khemah-khemah juga akan disediakan dengan dua katil saiz 'Queen' di samping sofa 'bean bag'.

Bagi mengisi waktu lapang pula, para peserta boleh menggunakan projektor yang disediakan dan boleh menonton pelbagai rancangan Netflix.

Setiap khemah juga akan dilengkapi dengan alat hawa dingin untuk keselesaan para peserta.

Bagi mencegah sebarang jangkitan, langkah-langkah keselamatan juga akan dilaksanakan.

Setiap khemah dan peralatannya akan dibersihkan secara menyeluruh setiap hari manakala semua peserta perlu memakai pelitup dan memeriksa suhu badan sebelum mendaftarkan diri.

Pendaftaran bagi program Kampong G(e)lamping @ TWM akan dibuka pada Jumaat (23 Okt) melalui Facebook dan Instagram Taman Warisan Melayu.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan