Gigi anda kuning? Ini 12 cara alami untuk tanganinya sebelum terlewat

Gambar hiasan. (Gambar-gambar: Unsplash/Pexel)
SINGAPURA: Senyuman yang menawan, tambahan lagi dengan barisan gigi putih dan bersih, tentu sekali membantu mewujudkan tanggapan pertama yang baik tentang diri kita.
Lantaran itu, tidak hairanlah mengapa sesetengah orang sanggup berhabisan duit semata-mata untuk menjaga gigi mereka.
Kebersihan gigi merupakan antara perkara yang penting dalam penjagaan diri dan perlu diberi tumpuan. Apabila gigi sihat, bersih dan tidak bermasalah ia akan membuat anda berasa selesa untuk tampil lebih berkeyakinan apabila berkomunikasi dan sebagainya.
Tahukah anda, semakin lanjut usia adakalanya gigi akan bertukar warna menjadi sedikit kekuningan?
Lazimnya gigi orang dewasa akan kelihatan lebih kusam berbanding kanak-kanak. Perkara ini dianggap sebagai sesuatu yang biasa dan boleh dicegah.
Menurut kajian, apabila seseorang meningkat dewasa, permukaan gigi mereka akan menjadi haus dan ia akan mendedahkan struktur yang berwarna kekuningan. Pada masa yang sama, makanan yang kita ambil seharian juga boleh meninggalkan kesan kekuningan pada enamel, iaitu lapisan paling luar gigi. Plak yang hadir pada gigi juga boleh menyebabkannya menjadi kuning.
Selain itu, antara punca gigi menjadi kekuningan termasuk malas menggosok gigi atau cara menggosoknya tidak betul, mereka yang mempunyai tabiat kerap minum kopi atau teh dan golongan yang kuat merokok. Kopi dan teh mengandungi bahan tanin, yang dapat membuat warna gigi berubah begitu juga dengan bahan nikotin yang hadir dalam rokok.
Jika anda mengalami masalah ini, usah biarkan tanpa dirawat. Terdapat beberapa cara mudah dan alami yang boleh anda amalkan agar ia tidak berlarutan.
Jadi bagaimana caranya untuk mengelakkan gigi agar tidak cepat atau mudah menjadi kuning?
Merawat gigi ternyata bukan hanya dengan cara menggosok gigi menggunakan ubat gigi dan memantau tabiat yang kurang sihat seperti pemakanan sahaja.
Terdapat pelbagai cara untuk merawatnya seperti mendapatkan nasihat daripada pakar gigi yang bertauliah. Bagi yang tiada masalah gigi yang rumit dan ingin cuba mengatasi masalah kekuningan ini secara alami dan tradisional, cubalah tip-tip berikut. Belum cuba, belum tahu.
12 CARA ALAMI RAWAT GIGI
1. Kayu sugi
Ramai yang mungkin sudah pun tahu tentang kehebatan kayu sugi atau miswak dalam merawat gigi. Kayu itu asalnya dari sejenis dahan atau akar pokok yang boleh digunakan untuk membersihkan gigi, gusi dan mulut. Jika kerap mempraktikan cara tersebut dari awal, ia akan membantu membuat gigi kelihatan bersih dan bersinar.

2. Kulit limau
Jika makan limau jangan buang kulitnya. Ia juga dapat berfungsi sebagai pembersih gigi. Gunakan bahagian dalam kulit limau yang berwarna putih untuk menggosok gigi yang kuning. Ulang secara rutin setiap hari.
Ia dapat membantu memutihkan gigi secara semula jadi. Tapi, hati-hati jika anda mempunyai gigi sensitif kerana kehadiran vitamin C ada kalanya tidak sesuai untuk gigi anda.

3. Arang
Ini merupakan petua orang lama. Arang dipercayai dapat memutihkan gigi seperti kapas.
Walaupun arang berwarna hitam, cara ini amat berkesan untuk menghilangkan warna kuning pada gigi. Awas, jangan berlebihan menggunakan arang kerana ia dikatakan boleh merosakkan dan membuat gigi berasa sakit.

4. Minum susu
Amalkan makanan yang mengandungi kalsium tinggi. Contohnya produk susu seperti susu, keju dan tairu kerana ia mengandungi kalsium tinggi dan sangat baik untuk membantu memutihkan dan menguatkan gigi secara semula jadi.

5. Strawberi, epal, lobak, daun saderi
Enak dan sihat untuk dinikmati dan ia juga dapat membantu untuk memutihkan gigi secara alami kerana teksturnya yang berserat.
Jadikan ia sebagai snek kerana ia dapat membersihkan sisa makanan yang terlekat antara gigi dan sekaligus mengesat plak yang kekuningan di celah gigi.

6. Had kopi, teh dan minuman manis
Kopi dan teh merupakan musuh ketat gigi kerana ia merupakan antara punca gigi menjadi kuning. Namun jangan bimbang. Anda tak perlulah mengelak minum kopi.
Sebaliknya, cuba hadkan pengambilan minuman sedemikian setiap hari.
Sementara itu sajian manis juga dapat merangsang tumbuhan bakteria yang menjadi punca plak dan gingivitis yang akan merosakkan gigi selain menjejas warna putihnya. Apa sahaja minuman yang dinikmati haruslah berpada-pada.

7. Berhenti merokok
Tahukah anda setiap batang rokok mengandungi tar dan campuran tembakau yang menjadi punca gigi bertukar kuning.
Cuba kurangkan merokok dan jika anda berhenti merokok, ia bukan sahaja dapat memelihara kerbersihan gigi malah menjamin kesihatan seluruhnya.

8. Serbuk penaik
Campurkan satu sudu teh serbuk penaik dengan sedikit ubat gigi. Berus gigi seperti biasa dan bilas bersih dengan air. Ulangi rutin ini seminggu sekali atau setiap dua minggu. Elak daripada penggunaan keterlaluan kerana serbuk penaik mampu menghakis enamel gigi anda.

9. Garam
Selain menambah sumber mineral, garam dikatakan dapat menyerlahkan gigi yang putih.
Caranya mudah, ambil sedikit garam dan sapu pada gigi, kemudian berus dan bilas bersih dengan air. Walaupun garam dapat beraksi sebagai bahan anti bakteria, elak daripada menyapu garam tepat pada gusi kerana ia boleh menyakitkan.

10. Gunakan straw
Bila minum kopi, teh atau minuman bergula, gunakan straw untuk elakkan interaksi langsung dengan gigi. Jika tidak menggunakan straw, pastikan anda bilas mulut selepas 30 minit menikmati minuman.

11. Daun salam
Ambil daun salam dan kulit limau, jemur hingga kering. Tumbuk sampai halus dan campurkan dengan air menjadikannya pes. Gunakan ia seperti ubat gigi setiap hari atau selang seli. Lihat keberkesannya dalam jangka yang terdekat.

12. Flos dan berus
Jangan pandang remeh rutin untuk berus dan bersihkan gigi dengan menggunakan flos atau benang yang berlilin pada celah-celah gigi.
Memberus gigi secara betul dan sistematik dapat membantu untuk menanggalkan kotoran yang melekat pada gigi. Begitu juga dengan flos yang dapat mengeluarkan sisa makanan yang terselit di celah-celah gigi dengan berkesan.
Jika tidak dibersihkan atau dikeluarkan daripada celahan ia boleh menghasilkan bakteria dan plak gigi yang tidak diingini.

Ok, tunggu apa lagi? Anda masih belum terlambat untuk meneruskan tahun 2022 dengan rutin penjagaan gigi yang lebih sihat agar tampil lebih cantik dan berkeyakinan walaupun wajib menggunakan pelitup!
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.