Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Gerai milik Melayu dan 'Mat Salleh' Muslim ini jual piza, pasta wagyu dan burger

Gerai menjual makanan barat yang halal banyak terdapat di merata Singapura, namun bila anda berlalu di hadapan gerai di kedai kopi Bedok North ini, anda mungkin akan terhenti sekejap.

Anggaran Waktu Membaca:
Gerai milik Melayu dan 'Mat Salleh' Muslim ini jual piza, pasta wagyu dan burger

(Gambar: 8days)

Diterbitkan : 30 Nov 2021 11:30PM Dikemas Kini : 01 Dec 2021 07:28AM

SINGAPURA: Gerai menjual makanan barat yang halal banyak terdapat di merata Singapura, namun bila anda berlalu di hadapan gerai di kedai kopi Bedok North ini, anda mungkin akan terhenti sekejap.

Namanya saja - Mat Western - sudah cukup menarik perhatian. Tapi yang mungkin membuat anda hairan adalah apabila melihat pasangan yang sedang mengendalikannya - saudara baru Umar Fabrice, yang dilahirkan di Perancis, dan warga Singapura Hidir Kasim - kedua-duanya mempunyai banyak pengalaman dalam bidang F&B.

Gerai yang dibuka pada 29 Oktober itu menghidangkan piza, burger dan banyak hidangan utama lain.

Antara ciri-ciri yang membuatnya lebih menonjol berbanding gerai-gerai lain adalah menu ditulis di papan hitam besar dan kaunter piza seakan di restoran.

RANCANGAN BUKA RESTORAN TERGENDALA

Pasangan cef itu sepatutnya membuka sebuah restoran piza di Johor Bahru pada awal 2020.

“(Hari itu) adalah hari terakhir saya bekerja di [restoran Itali] Brunetti dan saya pergi ke JB untuk membuka restoran piza pada keesokan harinya. Ketika itulah mereka mengumumkan akan menutup sempadan [Johor - Singapura]. Ia satu tamparan hebat buat kami,” kongsi Hidir.

Pada masa itu, Hidir dan Umar telah pun menandatangani pajakan dan membeli semua peralatan untuk kedai piza. "Kami tinggal pergi ke JB dan membuka restoran," kata Hidir.

“Kami memutuskan untuk tangguhkan pembukaannya. Sementara itu, kami ingin membuka operasi yang lebih kecil kerana kami sudah penat bekerja untuk restoran lain. Ia akan menjadi seperti ujian, menawarkan beberapa barangan yang kami rancang untuk hidangkan di restoran piza itu,” tambah Umar.

Meski perlu menyesuaikan operasi dalam sekitaran yang lebih kecil dan panas berbanding dapur restoran mewah, pasangan itu sangat menikmati kebebasan "menjadi majikan sendiri".

"Kami suka kebebasan untuk tentukan apa yang patut dimasukkan ke dalam menu dan bila untuk menukarnya," kata Hidir.

Umar berkata ramai pelanggan Melayu tertarik melihatnya di gerai. "Mereka mula-mula was-was melihat Mat Salleh masak makanan mesra-Muslim (kerana gerai itu tidak ada sijil halal), sehinggalah saya beritahu mereka saya pun seorang Muslim."

HIDANGAN DI GERAI HASIL AIR TANGAN BEKAS CEF RESTORAN MEWAH

Gerai itu menyajikan pelbagai jenis piza, burger, pasta dan hidangan daging. Hidir bertanggungjawab bagi semua menu piza, manakala Umar menguruskan semua menu yang lain.

Umar, yang berasal dari Brittany di barat Perancis, mendapatkan latihan di sekolah masak di Pontivy (sebuah bandar di Brittany) dan menjadi cef eksekutif pada usia 19 tahun di sebuah restoran makanan laut di kampung halamannya.

Dia mula bekerja di Singapura sebagai seorang sous cef sekitar 15 tahun lalu.

Pada 2010, Umar, 40 tahun, bekerja dengan Hidir, yang berusia "lewat tiga puluhan" di 7Adam. Umar ketika itu adalah cef eksekutif, dan Hidir bekerja sebagai chef de partie.

Rakan sekerja itu serasi dan menjadi kawan, dan sejak itu terus bekerja bersama di beberapa restoran dan penyedia makanan lain.

Sementara Umar terlatih dalam hidangan Perancis, Hidir pula handal dalam makanan Itali, khususnya piza.

Antara pengalamannya adalah sebagai ketua cef di restoran Itali Brunetti and Malthouse, dan juga anggota pasukan yang membuka Osteria and Pizzeria Mozza di Marina Bay Sands pada 2010, di mana dia bekerja selama sekitar setahun.

MULANYA PERJALANAN BUKA KEDAI SENDIRI

“Kami kerap pergi ke JB untuk makan dan kami perasan tidak banyak restoran harga pertengahan yang baik dan menyediakan hidangan lazat. Jadi kami mula memikirkan idea membuka pizzeria di sana," kongsi Umar.

"Hidir buat piza gaya Itali, namun kami mahu campur adukkan dengan cita rasa tempatan seperti rendang dan laksa. Satu-satunya piza yang benar-benar rasa 'Itali' [di Mat Western] adalah margherita."

Kesemua perisa piza itu boleh dinikmati di gerai mereka di Bedok. Namun menariknya, gerai pertama yang mereka buka nun jauh di kawasan perindustrian Jurong Pier, berdekatan Pulau Jurong.

Namun langkah-langkah sekatan COVID-19 dan jaraknya yang sangat jauh dari kawasan perumahan menjadikan perniagaan di sana sukar bertahan.

Bulan lalu, mereka membuka gerai Mat Western di kedai kopi Bedok North, yang dikelilingi flat HDB.

"Sambutannya lebih hangat di sini, terutama dalam kalangan masyarakat Islam," kongsi Umar, gembira.

TIDAK SABAR ALU-ALUKAN PEMBUKAAN SEMPADAN

Pembukaan sempadan darat antara Singapura dengan Malaysia di bawah aturan Perjalanan Penumpang Sudah Divaksin (VTL) sememangnya sangat dialu-alukan pasangan itu.

“Kami tidak sabar untuk ke sana (JB) kerana pizeria itu adalah restoran pertama kami. Hidir akan ke sana dahulu untuk membuat persiapan dan saya menyusul kemudian," kongsi Umar dengan ghairah.

Mereka akan terus menguruskan kedua-dua cawangan.

“Kami mahu terus mengendalikan Mat Western di Singapura dan pizeria di JB. Kami mahu ambil dan latih pekerja untuk pastikan kedua-dua tempat terus beroperasi. Kami juga bercadang untuk membuka lebih banyak cawangan (gerai penjaja), seperti gerai Mat Pizza yang hanya jual piza," kata Umar.

Meskipun Hidir seorang yang membuat piza di Mat Western setakat ini, cef-cef veteran itu memberi jaminan kedua-dua mereka cukup mahir untuk masak semua hidangan yang ditawarkan dalam menu.

"Jadi jika salah seorang daripada kami tidak ada di gerai, kami masih boleh teruskan operasi" kata Umar.

Berikut adalah butiran gerai Mat Western:

Alamat: Kedai kopi Blk 122 Bedok North St 2, S460122.
Waktu operasi: Dibuka setiap hari 11pagi-9.30 malam, kecuali Selasa; Jumaat 4petang-9.30 malam.

Facebook: https://www.facebook.com/MatWestern2021
Instagram: https://www.instagram.com/mat_western/

Sumber : CNA/TQ/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan